SIAPA yang pernah ke Los Angeles (LA), California, pasti teruja untuk ke sana lagi. Bukan saja mengagumi teknologi pembikinan filem di Hollywood, namun ia juga syurga beli-belah kerana pelbagai barang berjenama boleh dibeli pada harga yang lebih murah.
JASMIN...bersantai di pantai Santa Monica.
Menurut Jasmin, ini kali kedua ke sana. Sebelum ini, dia pernah menjejakkan kaki ke bandar raya yang menjanjikan 1001 keseronokan itu bersama keluarganya.
"Dulu saya juga pernah ke LA dan San Francisco, tapi kali ini agenda lebih bertumpu di LA. Seronok rasanya kerana banyak pengalaman baru saya lalui terutama di Warner Bros Studios, Sony Pictures/Columbia dan Universal Studios yang banyak membuka mata dan minda saya," kata Jasmin yang berlepas atas tiket drama Datin Wan Abe yang memenangi ASK2009.
"Saya perhatikan dalam jarak beberapa tahun, banyak tarikan baru disediakan untuk pelancong di studio berkenaan dan ia melambangkan perkembangan serta teknologi filem ciptaan karyawan di sana.
"Memang terpegun saya melihat kemudahan yang ditawarkan di taman tema Universal Studios. Paling hebat dan mendebarkan adalah King Kong 360: 3-D. Kita perlu menaiki trem khas dan memakai kaca mata 3-D untuk masuk ke dunia King Kong dan dinosaur."Walaupun menjerit ketakutan ketika melalui terowong khas dan melihat pertempuran antara King Kong dan T-Rex, kepuasan yang dirasai sungguh luar biasa," ujar Jasmin.
Katanya, apa yang ditawarkan penggiat seni Hollywood jika hendak dibandingkan dengan industri seni Malaysia bagaikan langit dengan bumi. Namun, dia faham pasaran filem Barat sangat luas dan mereka punya banyak dana untuk memungkinkan segala-galanya."Apabila melihat teknik pembikinan filem dan drama TV mereka, kita sebenarnya banyak terpedaya dengan apa yang dipaparkan. Banyak babak cuma dibuat dalam studio dan menggunakan kesan khas termasuk CGI," katanya lagi.
Tambah Jasmin, kunjungan kali ini lebih seronok kerana dia dapat bersantai dengan rakan artis seperti Rosnah Mat Aris, Erma Fatima, Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan Liyana Jasmay.
"Kalau singgah di tempat beli-belah, rambang mata kita dibuatnya. Antara tempat 'shopping' paling seronok ialah Camarillo Factory Outlet kerana barang berjenama ditawarkan pada harga murah. Ada hampir 200 kedai pelbagai jenama di sana. Saya sempat sambar dua beg tangan selain pakaian untuk anak saya.
"Cuma saya terkilan kerana tidak dapat ke satu lagi factory outlet iaitu Desert Hill kerana kesuntukan masa. Di sana, barangnya berjenama seperti Gucci dan Prada ditawarkan pada harga jauh murah. Insya-Allah kalau berpeluang ke LA lagi, saya akan ke sana," katanya yang membeli sebuah beg tangan Burberry berona hitam yang cantik.
Kata Jasmin, dia memuji usaha TV3 membawa karyawan seni Malaysia untuk 'makan angin' di Hollywood kerana ia satu bentuk hadiah yang istimewa. Imbuhan seumpama itu memang tidak ditawarkan badan penyiaran lain.
"Saya difahamkan, kos untuk seorang peserta ke LA itu sekitar RM15,000 dan semuanya ditanggung TV3. Tahun depan, giliran artis lain pula ke sana dan rugi rasanya kalau ada yang menolak peluang itu.
"Bagi saya, 'trip' ke Hollywood ini bukan sekadar melawat kosong dan kalau kita pandai rebut peluang, kita boleh bertanya sendiri mengenai hal pembikinan filem kepada petugas di studio berkenaan," kata Jasmin yang turut mengambil angin di pantai Santa Monica.
Pulang ke Malaysia pada 19 Julai lalu, pelakon drama Suara Dari Kubur ini kembali sibuk semula di lokasi penggambaran termasuk pada Ramadan ini.
"Ramadan nanti saya akan bekerja seperti biasa, malah seronok ke lokasi pada bulan puasa kerana dapat berbuka beramai-ramai dengan kru. Duduk di rumah pun jemu juga dan bertambah letih menunggu waktu berbuka.
"Selain itu, shooting waktu bulan puasa sesuai untuk cari duit raya. Saya gembira kerana tawaran berlakon sentiasa ada," katanya yang berharap dapat tawaran berlakon filem dengan watak yang sesuai.
Profil Jasmin Hamid
NAMA SEBENAR: Jasmiah Abd Rashid
PANGGILAN KOMERSIAL: Jasmin Hamid
USIA: 35 tahun
ANAK: Lan Haziq, 9, serta dua anak angkat, Rohana, 23, dan Lokman Hakim, 15
ANUGERAH: Pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 1996 (drama Jutawan Segera)
FILEM: Budak Lapok, Cinta Luar Biasa
DRAMA: Antaranya, Datin Diaries, Cameleon, Dilema Wanita, Bong, Kembali Bertaut, Harlina, Maksimum, Cuba Test, Cemburu, Memori Fazira, Hello Sayang, Mr Os, Kain Sutera Kain Cotton, Noda Semalam, Restu Syawal, Syurga Di Mana, Tarantula, Angin Syawal, Gurindam Jiwa, Kau Yang Satu, Bukan Aku Tak Cinta, Datin Wan Abe Special Raya, Bahang Ravina, Mya Zara, Mr Reed (VCD), Spa Q, Bicara Aur Dengan Tebing 1 dan 2, Novelis Babysitter
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: