Tuesday, July 27, 2010

1,000 peluang kerja

PEMBANGUNAN empat program di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, sekali gus membantu masyarakat tempatan meningkatkan taraf hidup masing-masing dalam usaha merapatkan jurang sosio ekonomi antara wilayah.

SAKSI...Najib dan Dr Zambry menyaksikan pertukaran dokumen antara Redza Rafiq (kanan) dengan Hasamudin, semalam.
SAKSI...Najib dan Dr Zambry menyaksikan pertukaran dokumen antara Redza Rafiq (kanan) dengan Hasamudin, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif NCER, Datuk Redza Rafiq berkata, program pembangunan membabitkan pelaburan RM835 juta itu akan merangkumi tiga sektor utama iaitu penternakan, pembuatan dan pelancongan.


“Setiap pelaburan yang diserapkan ke sesebuah negeri akan mewujudkan peluang pekerjaan baru kerana setiap pelaburan akan ada komponen rangkaian sokongan, dan setiap komponen akan beri peluang pekerjaan lain.


“Bermakna akan wujud peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung. Sebagai contoh, pihak Advanced Micro Devices Export Sdn Bhd (AMD) saja akan mewujudkan sekurang-kurangnya 500 peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan dan teknikal,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.


Pada majlis itu, Najib turut menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian program pembangunan di NCER membabitkan empat syarikat swasta termasuk Progressive Ocean Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusan, Azhar Mohd Yusof; Ace Front Industries Sdn Bhd (AFISB) diwakili Pengarah Urusan, Hasamudin Ami, Pens Holdings Sdn Bhd diwakili Pengerusinya, Datuk Diraja Syed Razlan Jamalulail dan AMD diwakili Naib Presiden dan Pengarah Urusannya, Datuk Dr Mohd Sofi Osman.


Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambery Abdul Kadir dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.


Pertukaran dokumen itu menyaksikan persetujuan semua pihak terbabit untuk membangunkan program pembangunan sosio ekonomi dan meningkatkan nilai rantaian ekonomi secara keseluruhan dengan mewujudkan program ladang kontrak, peluang pekerjaan dan kesan limpahan ekonomi.


Redza Rafiq berkata, projek pembangunan itu termasuk program akuakultur Sungai Mengkudu di Kedah untuk membangunkan penternakan ikan dalam 800 sangkar membabitkan 32 usahawan akuakultur daripada masyarakat setempat yang berpeluang mempelajari dan mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: