MELAKA: Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan dipercayai didera berikutan mengalami kesan lebam dan kecederaan pada beberapa bahagian badan, diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sebuah rumah di Batu Berendam, semalam.
DUKUNG...bayi dipercayai didera berikutan ada kesan lebam.
Pegawai JKM Melaka Tengah, Saidatul Aini Jafri berkata, sebaik menerima maklumat pengadu kira-kira jam 11 pagi, sepasukan pegawainya bergegas ke rumah dipercayai milik pengasuh kanak-kanak itu untuk menjalankan siasatan lanjut.
Menurutnya, pengadu memaklumkan bayi itu dalam keadaan lemah, selain mempunyai beberapa kesan kecederaan.
“Sejurus tiba, pegawai kami melakukan pemeriksaan dan mendapati aduan itu berasas apabila bayi berkenaan mengalami banyak kesan lebam pada beberapa bahagian badan termasuk di muka, kaki dan tangan. Dia dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk pemeriksaan lanjut.
“Setakat ini, bayi berkenaan masih dirawat dan diletakkan di bawah pemerhatian doktor sebelum tindakan susulan diambil,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Kecemasan HM, di sini, semalam.Saidatul Aini berkata, setakat ini, pihaknya belum dapat menentukan individu terbabit menyebabkan bayi itu mengalami kecederaan.
“Kami masih menunggu laporan penuh doktor yang merawat bayi itu sama ada terdapat unsur penderaan atau sebaliknya. Apabila mendapat pengesahan perubatan sama ada bayi berkenaan didera atau sebaliknya baru kita membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.“Ketika dibawa pemeriksaan, doktor mengarahkan bayi berkenaan ditahan di hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, daripada maklumat awal diperoleh, tiga wanita termasuk seorang pengasuh berada di rumah itu bagi menjaga lima anak kepada seorang wanita berusia 28 tahun termasuk bayi malang berkenaan.
“Saya difahamkan, pengasuh terbabit juga terkejut melihat kecederaan dialami bayi berkenaan sebelum kami menerima aduan kejadian itu,” katanya yang turut menjelaskan hasil semakan sijil kelahiran mendapati bayi itu disyaki anak tidak sah taraf kerana nama bapanya tidak dinyatakan.
Difahamkan, ibu bayi malang itu mendakwa ditinggalkan suaminya sejak setahun lalu, namun masih belum diceraikan dan menetap serumah bersama teman lelakinya yang juga rakan sekerjanya di sebuah pasar raya berusia 20-an.
Menurut wanita berkenaan, dia terkejut apabila mendapati anak bongsu daripada lima beradik itu mengalami kesan lebam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: