Wednesday, July 28, 2010

Pendidikan bermula dari rumah

KINI, memiliki anak yang boleh membaca pada usia seawal lima tahun adalah perkara biasa.

FONETIK...pengajaran menggunakan kaedah fonetik lebih memudahkan kanak-kanak membaca.
FONETIK...pengajaran menggunakan kaedah fonetik lebih memudahkan kanak-kanak membaca.

KAD IMBAS...penggunaan kad imbas boleh mempercepatkan proses pengajaran kepada kanak-kanak. CEPAT MEMBACA...buku Bacalah Anakku, Read Easy dan al-Furqan boleh membantu perkembangan minda kanak-kanak.


CEPAT MEMBACA...buku Bacalah Anakku, Read Easy dan al-Furqan boleh membantu perkembangan minda kanak-kanak.
Namun, apabila anak anda mampu mengenal huruf pada usia setahun, mereka dianggap luar biasa dan digelar anak bijak atau genius. Ini kerana tidak ramai ibu bapa tahu kaedah yang betul mengajar anak-anak di rumah sehingga mereka boleh membaca.


Bagi mempercepatkan kemahiran membaca selain menggunakan buku, rata-rata ibu bapa membiarkan anak-anak belajar menggunakan televisyen atau menonton cakera padat video (VCD). Menurut pemilik laman sesawang www.adikbijak.com, Rosnita Kisaii, menonton televisyen serta VCD adalah proses pembelajaran terkini serta cepat, namun harus dilakukan bersama-sama antara ibu dan anak. "Anak-anak tidak harus dibiarkan bersendirian menonton. Ini kerana mereka akan mula bertanya mengenai apa yang dilihat dan didengar. Justeru, ibu bapa adalah rujukan terbaik kepada anak-anak," katanya.


Justeru, penghasilan VCD berunsur pendidikan bukanlah semata-mata untuk membiarkan anak leka di hadapan televisyen sementara ibu bekerja di dapur atau bapa melakukan tugasan mereka tanpa diganggu, sebaliknya ibu bapa perlu lebih mendalaminya kemudian bersama-sama mengajar anak untuk lebih berkesan. Menurut kajian pakar kanak-kanak, murid gagal menunjukkan kecemerlangan akademik kerana gagal menguasai kemahiran membaca.


Murid yang merangkak-rangkak ketika membaca perlu menghabiskan banyak masa untuk cuba mengenali perkataan sedangkan apa yang sepatutnya dilakukannya adalah memahami keseluruhan konteks ayat.


Menurut Rosnita, ibu bapa tidak harus menyerahkan pendidikan anak-anak kepada tadika dan sekolah semata-mata. Mereka perlu proaktif memainkan peranan penting dalam pendidikan dan ini mestilah bermula dari rumah. "Kesuntukan masa tidak boleh dijadikan alasan kerana pendidikan anak-anak pada peringkat awal ini sangat penting serta tidak mengambil masa panjang.


"Ibu bapa hanya memerlukan lima sehingga 20 minit setiap hari mengajar anak. Ini kerana apabila anak-anak sudah bersekolah rendah namun masih belum membaca dengan lancar, anda harus mengambil tindakan sewajarnya," katanya.


Dalam hal ini, ibu bapa harus memilih pendidikan yang baik untuk anak-anak. Pilih VCD yang boleh membentuk minda, kemahiran berfikir serta mempunyai banyak pengajaran. Misalnya VCD Bacalah Anakku, ReadEasy dan al-Furqan yang dibentuk secara sistematik agar boleh digunakan ibu bapa bagi mengisi lima sehingga 20 minit ini dengan cara terbaik.


"Misalnya, luangkan masa selepas solat untuk mengajar anak mengenali al-Quran melalui sistem al-Furqan. Hanya lima minit diperlukan untuk setiap sesi atau luangkan lima minit selepas makan malam atau sebelum tidur untuk mengajarnya membaca.


"Tidak pun anda boleh memutarkan kaset atau VCD dibekalkan bersama-sama set pendidikan ini ketika di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan menghantar anak-anak ke pusat asuhan atau semasa bersiar-siar sekeluarga. Dengan cara ini, anak akan lebih mudah mengingatinya," katanya.


Selain al-Furqan, ibu bapa yang inginkan anaknya membaca dalam bahasa Melayu boleh menggunakan sistem pembelajaran Bacalah Anakku atau ReadEasy untuk bahasa Inggeris.Kaedah ini lebih cepat dan mudah kerana kanak-kanak didedahkan dengan bunyi huruf dan bukannya nama huruf misalnya B dibunyikan (bi) atau Y dibunyikan (wai). Kaedah tradisional mengenal huruf ini tidak banyak membantu bagi menyediakan kanak-kanak kepada kemahiran membaca. Ini kerana nama-nama huruf tidak menyumbang secara terus kepada pembentukan perkataan. "Melalui pendekatan fonetik, anak-anak akan diperkenalkan kepada bunyi huruf seperti 'beh' (untuk 'B') dan 'yeh' (untuk 'Y'). Untuk pengetahuan, satu perkataan terbentuk daripada kombinasi bunyi yang diwakili setiap huruf. Dengan menguasai bunyi setiap huruf, kanak-kanak akan lebih mudah untuk membentuk perkataan daripada kombinasi bunyi ini. "Contohnya, baju berbunyi 'beh', 'aa', 'jeh', 'uu', apabila disebut secara terus dan bersambung akan membentuk perkataan baju. Tetapi bandingkan jika anak anda cuba membentuk perkataan dengan cara menyebut nama huruf, 'bi', 'ey', 'jey', 'yu', saya pasti anda sendiri belum tentu dapat meneka perkataan yang sepatutnya dihasilkan. "Malah, menyebut huruf juga akan melalui proses yang lambat ketika proses menyambung menjadi perkataan," jelasnya. Menurut Rosnita, dia teruja memperkenalkan kaedah ini kepada ibu bapa lain selepas menggunakan kaedah ini untuk anaknya yang ketika itu berusia setahun. "Menerusi kaedah VCD, anak saya menunjukkan minat yang lebih untuk belajar. Lebih penting mudah memahami dan mengingati setiap bunyi huruf. "Apabila menjangkau usia tiga tahun, anak sudah boleh membaca dengan lancar. Sejak itu, saya percaya keberkesanan menggunakan kaedah fonetik dan terus mengambil kursus mengenai kaedah Bacalah Anakku. "Saya juga tidak menolak untuk mengajarkan anak-anak jiran menggunakan kaedah sama, selain pelajar tahun satu yang tidak mampu membaca dengan baik. Dalam masa tiga bulan sahaja, mereka sudah boleh membaca dengan baik malah lebih bagus daripada rakan lain," katanya. Bagi ibu bapa yang ingin memperkenalkan kaedah ini kepada anak mereka, mereka harus rajin dan sabar. Ini kerana latihan bukan hanya dilakukan sekali seminggu atau sekali sebulan tetapi setiap hari. Lakukan kepelbagaian aktiviti supaya anak-anak tidak bosan dan mudah menerimanya. Mereka boleh melakukan aktiviti luar seperti bermain basikal dan bola atau memasak di dapur dan pada masa sama, ibu bapa boleh mengajar menggunakan kaedah ini. "Teknik pengajaran menggunakan VCD ini boleh melatih anak-anak memberikan tumpuan kepada pelajaran selain merangsang supaya anak duduk diam," katanya. Ibu bapa boleh melatih memberikan VCD kepada anak pada awal usia enam bulan kerana ketika ini, bayi memang tidak mampu mengenal huruf tetapi boleh mendengar dan melihat. Ini akan melatih deria mendengar dan melihat, seterusnya apabila sampai ke otak maklumat ini akan disimpan dan kemudian akan dikeluarkan apabila perkembangan sudah melalui fasa sepatutnya.


Bagi mengelak rasa tertekan, jangan ada unsur paksaan sekiranya anak anda tidak mampu mengikut seperti yang sudah diajar. Ini kerana anak-anak akan dengan sendiri melalui proses belajar mengikut tahap kemampuan mereka. "Pada mulanya mungkin susah namun lama-kelamaan apabila dilakukan setiap hari dan menjadi rutin, ia akan menjadi kebanggaan kepada ibu bapa sekiranya anak menunjukkan peningkatan memberangsangkan serta boleh membaca seawal yang anda jangkakan," katanya yang akan menamatkan pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak di Universiti Malaya tidak lama lagi.

1 comment:

  1. kkkhhhaaapppuuuiiitttJuly 28, 2010 at 1:35 PM

    letak gambar pun bebetul lah. nie CIKGU tayang kad huruf A terbalik !!!!! buat MALU je

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: