Wednesday, July 28, 2010

Hayun kayu depan guru

JASIN: Sekumpulan empat pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di daerah ini bertindak ala samseng dan biadab apabila menyerang dua rakan sekelas mereka walaupun ketika itu seorang guru mengajar.

SAKIT...B Ilamaran (kiri) menunjukkan kecederaan adiknya, Alagendran.
SAKIT...B Ilamaran (kiri) menunjukkan kecederaan adiknya, Alagendran.
Dalam kejadian jam 10.45 pagi kelmarin, keempat-empat pelajar terbabit yang berusia 17 tahun menyerang mangsa dengan kayu. Bagi mengelak kejadian itu disedari guru lain, seorang lagi pelajar didakwa berada di luar kelas berkenaan bagi mengawasi keadaan.

Lebih biadab, kumpulan pelajar terbabit memaki-hamun guru berusia 50-an itu yang menegur tindakan mereka.

Akibat insiden itu, mangsa, Tan Wei Long, retak tulang tangan kanan manakala rakannya, B Alagendran, cedera di kepala serta badan.

Ketika ditemui, Tan memberitahu, ketika kejadian dia bersama Alagendran duduk di bangku barisan hadapan dalam kelas dan sibuk menyalin kerja rumah mata pelajaran Bahasa Inggeris yang diberikan guru berkenaan.

Dakwanya, tiba-tiba muncul empat pelajar samseng dikenalinya di hadapan kelas dengan masing-masing memegang kayu.“Mereka masuk ke kelas dan memukul saya dengan kayu beberapa kali. Saya hanya mampu menahan dengan tangan kanan dan tidak melawan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Tan berkata, dalam kekecohan itu, Alagendran cuba membantunya, tetapi rakannya itu dibelasah empat pelajar terbabit.Katanya, apabila melihat keadaan Alagendran semakin lemah, pelajar terbabit berhenti memukul dan memberi amaran kepadanya sambil menegaskan tidak kisah jika dibuang sekolah.


“Ketika itu keadaan kecoh, tiada siapa berani campur tangan. Mereka mencampakkan kayu sebelum beredar. Selepas itu muncul beberapa guru lelaki dan menahan kumpulan pelajar terbabit,” katanya.

Alagendran berkata, dia hampir pitam selepas dipukul keempat-empat pelajar terbabit dan selepas kejadian, dia bersama Tan dibawa guru untuk mendapat rawatan di klinik berhampiran.

“Kami membuat laporan di Balai Polis Merlimau dan Tan pula dirujuk di Hospital Melaka akibat kecederaannya,” kata Alagendran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan mengenai kejadian itu dan lima pelajar ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, semua mereka direman empat hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.

“Berdasarkan siasatan, keempat-empat suspek terbabit menyerang rakan sekolahnya itu selepas dipercayai ada kaitan dengan kes salah faham mengenai aduan dibuat dua pelajar terbabit mengenai salah laku mereka yang terbabit pergaduhan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: