|
|
SEREMBAN - Seorang pelancong warga Denmark dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga sahabat pada 4 Julai lalu.
Kenneth Jakobsen, 27, didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 277.5 arah utara Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini kira-kira pukul 5 pagi.
Dia yang ketika itu memandu kereta jenis Renault Kangoo dengan nombor pendaftaran WPF 1651 dituduh memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Ghazali Abdul Majid, 52, Zulkarnain Adam, 49, dan Mohd. Sofee Mohd. Tahir, 50.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 serta penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun.
Dia juga didakwa mengikut Seksyen 45C (6) APJ 1987 (Akta 333) kerana gagal memberikan sampel darah apabila diarahkan berbuat demikian.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 8 pagi hingga 10.30 pagi di Zon Kuning Jabatan Kecemasan, Hospital Tuanku Ja'afar di sini pada 4 Julai lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: