
PORT ELIZABETH, South Africa - Andai kapten Uruguay, Diego Forlan berjaya menyempurnakan peluang terakhir menerusi sepakan percuma pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Dunia 2010 menentang Jerman awal pagi semalam, sudah pasti perlawanan itu berlarutan hingga ke masa tambahan.
Namun, dalam bola sepak sesebuah pasukan itu kadang-kadang memerlukan sedikit nasib untuk mengubah keadaan.
Kesudahannya, Uruguay tewas 2-3 bagi membolehkan Jerman muncul tempat ketiga pada kejohanan yang buat pertama kali diadakan di benua Afrika itu.
Peluang terakhir yang diperoleh oleh Uruguay itu memang mengecewakan mereka semua kerana sepakan percuma yang diambil oleh Forlan terkena palang gol.
Jika tidak dinafikan palang gol, perlawanan itu akan berlarutan ke masa tambahan dan Forlan pula akan mendahului pemain lain dalam carta penjaring terbanyak iaitu dengan enam gol.
"Sepakan saya hampir menjadi, namun berlaku kesilapan kecil yang tidak dapat dielakkan," kata Forlan.
Forlan bagaimanapun tetap berjaya memberi satu impak yang besar buat negaranya dengan merekodkan lima gol sepanjang kejohanan ini.
Dalam pada itu, jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez menyifatkan Forlan merupakan antara pemain penting dalam pasukannya.
"Dia merupakan pemain utama bagi kami. Dia telah berjaya menjalankan tanggungjawabnya dengan baik."
Menurut Tabarez lagi, Piala Dunia 2014 di Brazil mungkin merupakan yang terakhir buat Forlan yang ketika itu sudah mencecah usia 35 tahun.
"Cuma kami harapkan dia kekal cergas."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: