Monday, July 12, 2010

Hajat Klose tidak kesampaian


KLOSE gagal untuk mengatasi rekod Ronaldo dari Brazil yang merekodkan 15 gol dalam tiga penampilan Piala Dunia.


PORT ELIZABETH - Kecederaan belakang yang dialami Mirsolav Klose memaksa dia untuk melupakan hasrat menambahkan jumlah jaringannya pada kempen Piala Dunia 2010.

Pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat menentang Uruguay awal pagi semalam, Klose tidak disenaraikan dalam kesebelasan Jerman.

Namun begitu, penjaring gol terbanyak, Ronaldo tetap melontarkan pujian kepada penyerang Jerman itu atas pencapaiannya selama ini.

Penyerang berusia 32 tahun itu terlepas aksi ketika Jerman mencatat kemenangan 3-2 ke atas Uruguay selain gagal dengan misinya untuk mengatasi rekod Ronaldo dari Brazil yang merekodkan 15 gol dalam tiga penampilan Piala Dunia.

"Dia memang mahu diturunkan, tetapi selepas latihan pada hari Sabtu, dia datang kepada saya dan beritahu dia tidak dapat untuk beraksi," kata jurulatih Jerman, Joachim Loew yang menggantikan Klose dengan Cacau pada aksi menentang Uruguay itu.

"Dia kecewa, tetapi dia sedar bahawa kami tidak akan membenarkan pemain yang hanya 80 peratus cergas untuk turun beraksi."

Pemain kelab Bayern Munich itu mengalami kecederaan di bahagian belakang dan hanya duduk di bangku simpanan sepanjang perlawanan tersebut.

Klose setakat ini berjaya mengumpul 14 jaringan, lima gol pada Piala Dunia 2002 dan 2006 serta empat di Piala Dunia 2010.

Klose yang akan berusia 36 tahun pada Piala Dunia 2014, mungkin tidak akan beraksi lagi di peringkat antarabangsa ketika itu.

Sementara itu, Ronaldo yang mengumpul 15 gol pada Piala Dunia tahun 1998, 2002 dan 2006 turut memuji perjalanan karier Klose.

"Tahniah kepada Klose kerana berjaya mengumpul 14 gol di Piala Dunia. Sungguh mengecewakan apabila dia tidak beraksi (kelmarin)," kata pemain Brazil itu.

"Saya tidak kisah jika dia berjaya memecahkan rekod saya. Saya telah melakar sejarah saya sendiri, kini tiba giliran orang lain melakar sejarah untuk diri mereka.'

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: