PENAMPILAN pelakon Siti Fazurina Mohd Famir, 28, atau Nina dengan susuk tubuh gebu dan hidung mancung menarik perhatian ramai, akhir-akhir ini.
Apa yang jelas, penampilan Nina kini kelihatan cantik menawan sehingga ada yang membuat andaian dia melakukan pembedahan muka atau menyuntik botox.
Perkara berkenaan sudah menjadi kebiasaan artis kerana tampil cantik di depan kamera adalah aset mereka hingga ramai yang sanggup melakukan apa saja untuk kelihatan cantik.
Begitupun, Nina menafikan melakukan sesuatu pada wajahnya sebaliknya menganggap kecantikan sebenar adalah dari dalam hati seseorang bukan pada paras rupa atau penampilan.
Gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah itu menegaskan tiada apa yang perlu disorokkan apabila bercakap mengenai kecantikan. Baginya apa yang lebih penting, seseorang itu perlu pandai menjaga penampilan di mana-mana sahaja."Tiada rahsia untuk kelihatan cantik dan menawan. Pada saya, semakin dewasa pembabitan seseorang dalam dunia seni, makin pandai cara merias diri.
"Saya akui ketika awal pembabitan dalam dunia seni dulu saya agak mentah soal penampilan diri, solekan dan pemilihan pakaian."Memang perbezaan tujuh tahun dulu dan sekarang agak ketara. Mungkin disebabkan itu ada yang membuat bermacam tanggapan.
"Saya hanya menggunakan pelembap wajah dan pengilat bibir setiap malam untuk mengelakkan kulit kering selain melakukan pembersihan kulit setiap dua kali seminggu.
"Saya tidak pernah melakukan pembedahan atau memakai botox. Saya pula bukan jenis individu yang mementingkan atau memakai alat solek berjenama atau mahal.
"Pada saya, mana yang sesuai dengan kulit dan muka itu menjadi pilihan. Tidak kira harganya murah atau mahal tetap saya pakai," katanya.
Tidak dinafikan Nina antara pelakon yang berbekalkan pakej lengkap. Karier seni finalis pertandingan Dewi Remaja ini semakin bersinar dengan limpahan tawaran dalam lakonan dan menjayakan pelbagai aktiviti seni.
Kata Nina, untuk kelihatan cantik seseorang perlu pandai membawa diri serta mengikut kemampuan.
Katanya, tidak perlu berlebihan soal membeli solekan atau mendapatkan rawatan terapi jika tidak berkemampuan sebaliknya penampilan diri perlu diutamakan dalam apa keadaan sekalipun.
"Selepas tujuh tahun membabitkan diri dalam dunia seni, pelbagai pengalaman dan cabaran sudah saya dilalui. Pengalaman itu dijadikan bekalan untuk masa depan.
"Saya tidak mahu ada yang memberi persepsi negatif. Biar semakin berusia, saya semakin matang dalam penampilan diri. Berbanding dulu, saya sekarang sudah pandai melakukan solekan sendiri. Saya belajar daripada pengalaman berlakon dan memenuhi sesi fotografi. Saya banyak belajar dari juru solek yang mahir mengenai teknik dan cara solekan yang betul.
"Setiap wanita kena pandai sesuaikan diri dengan solekan. Tidak semestinya solekan tebal. Kadangkala solekan nipis juga membantu penampilan seseorang," katanya.
Nina baru selesai menjalani penggambaran telefilem Pendekar La Ti Do untuk siaran Astro Prima.
Drama komedi terbitan Andermol Production Sdn Bhd itu mengisahkan tiga rakan sekampung yang berdepan berbagai dugaan dan rintangan dalam kehidupan.
Nina melakonkan watak Tipah atau Ti seorang wanita berperwatakan tomboi namun jauh di sudut hati dia masih mempunyai naluri kewanitaan yang lembut dan sensitif. Dalam telefilem arahan Emy Suffian itu, Nina bergandingan bersama Along Cham sebagai Latip dan Soya (Dollah).
Jika tiada aral, Nina bakal memulakan penggambaran drama bersiri 40 episod untuk RTM, Trilogi Cinta terbitan Suhan Movie & Trading Sdn Bhd penghujung Julai ini.
Drama arahan Amie Marziah itu menyaksikan gandingannya bersama Rosyam Nor dan Fouziah Gous.
Bercerita mengenai latar peribadi, Nina yang bakal menamatkan zaman daranya pada 10 Oktober ini memberitahu persiapan majlis perkahwinannya sudah 70 peratus siap. Begitupun, dia enggan bercerita mengenai jejaka bertuah yang berjaya menawan hatinya itu bagi menghormati suami dan keluarga.
"Alhamdulillah, persiapan majlis perkahwinan berjalan lancar seperti yang atur. Banyak benda yang sudah siap. Melalui perbincangan, kami juga sudah menetapkan tempat untuk majlis akad nikah dan persandingan.
"Saya akan mengadakan majlis perkahwinan yang ringkas, mengikut adat, agama dan budaya. Saya juga sudah bersedia dari segi mental dan rohani. Begitu juga bakal suami.
"Insya-Allah saya akan menjemput semua kenalan, peminat termasuk rakan media yang sentiasa menyokong karier seni selama ini. Soal siapa bakal suami, tidak perlu saya ceritakan terlebih dulu. Biarlah semua mengenalinya pada majlis pernikahan nanti. Tambah pula suami seorang ahli perniagaan berasal dari Pulau Pinang seorang yang sederhana dan tidak selesa dengan tumpuan media," katanya.
PROFIL
NAMA PENUH: Siti Fazurina Mohd Famir
NAMA PANGGILAN: Nina, Fazurina
TARIKH LAHIR: 9 Jun 1982
TEMPAT LAHIR: Sungai Petani, Kedah
KELUARGA: Anak kedua daripada lima beradik
KERJAYA: Pelakon
KELULUSAN: Diploma Pengurusan Perniagaan daripada Kolej Shahputra, Kuantan, Pahang
FILEM: Senario XX, Estet dan Hantu Bukit Cina
DRAMA: Puteri, Dunia Anita, Pusara Ku Pelamin Ayah, Ingin Terbang Jauh, Biarlah Rahsia, Cinta Rahsia, Rebab Tidak Bertali, Kelab Jeng Jeng, Persona Rindu dan Pendekar La Ti Do
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: