Wednesday, July 14, 2010

'Tak tipu, tapi ditipu'

KUALA LUMPUR: “Kami tak menipu, sebaliknya kami turut ditipu,” demikian penjelasan penyampai berita TV3, Saiful Nizam Ismail mengenai dakwaan dia dan isteri, Khairul Noormaidah Zali atau Aida yang juga juara program realiti Gadis Melayu di TV9 turut bersubahat dalam penipuan sebuah syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM) atau jualan langsung.

TERTIPU...Amirol Azery menunjukkan cek tendang dan borang keahlian  syarikat MLM terbabit.
TERTIPU...Amirol Azery menunjukkan cek tendang dan borang keahlian syarikat MLM terbabit.
Saiful Nizam, 28, berkata dakwaan itu makin tersebar melalui laman sosial facebook di Internet menyebabkan dia perlu tampil memberi penjelasan bagi membersihkan namanya dan mengelak wujud salah faham terhadap dia dan isterinya.

“Hakikatnya, saya juga kerugian kerana pelaburan saya RM30,000 ke dalam syarikat itu tidak mendapat pulangan sebagaimana dijanjikan,” katanya.

Menurut Saiful Nizam, dia tidak meragui kewibawaan syarikat MLM itu dan yakin pelaburannya akan mendapat pulangan dijanjikan kerana jenama syarikat yang menghasilkan produk kesihatan dan kecantikan itu stabil, sudah dikenali dan sering terbabit kerja amal.

“Bagaimanapun, selepas beberapa bulan saya langsung tidak menerima pulangan dijanjikan. Jika mengikut perjanjian, setiap bulan saya akan menerima bayaran yang jumlahnya 10 hingga 30 peratus daripada wang yang saya laburkan.

“Saya bukan terlalu ghairah untuk menjadi kaya dengan pulangan yang dijanjikan itu, sebaliknya saya ingin membuat kebajikan kerana syarikat itu mendakwa sebahagian daripada keuntungan syarikat didermakan kepada badan kebajikan,” katanya.Menurut Saiful Nizam, selepas tidak menerima sebarang pulangan pelaburan, dia menghubungi lelaki terbabit untuk mendapatkan maklum balas, namun pelbagai alasan diberikan sebelum dia langsung gagal dihubungi.


Berikutan itu, Saiful dan isteri membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 9 Julai lalu.“Secara jujur saya dan Aida tidak tahu langsung mengenai kegiatan penipuan syarikat itu, jauh sekali bersubahat seperti didakwa sesetengah pihak menerusi facebook. Jadi, saya berharap semua pihak berhenti melemparkan tuduhan yang bukan-bukan terhadap saya dan Aida.


“Saya tampil membuat penjelasan ini kerana tidak mahu ramai lagi menjadi mangsa penipuan syarikat itu memandangkan mereka masih bergiat aktif mencari ahli di laman facebook serta tidak takut membuat promosi besar-besaran di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Aida, 25, enggan mengulas lebih lanjut mengenai kegiatan syarikat MLM terbabit kerana dia sudah melantik peguam bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

“Apapun, saya mengakui tertipu dengan ‘permainan’ syarikat itu. Saya serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan meminta orang ramai tidak menyalahkan saya dan suami kerana kami juga menjadi mangsa.

“Saya juga ingin membuat penjelasan saya dan suami bukan menyertai skim cepat kaya seperti dilaporkan dalam ruangan gosip sebuah akhbar, tapi kami menyertai sebuah syarikat MLM yang kami sangka jujur serta banyak membuat kebajikan,” katanya.

Selain pasangan selebriti itu, Harian Metro menerima aduan seorang juruteknik, Amirol Azery Abd Rahim, 26, yang mendakwa turut menjadi mangsa penipuan syarikat MLM sama selepas gagal mendapat sebarang pulangan daripada pelaburannya RM60,000.

“Saya tidak menyangka syarikat itu yang terkenal dan sudah beroperasi sejak 2000 itu rupa-rupanya melakukan penipuan profesional. Sesiapa pun boleh terpedaya dan yakin dengan perniagaan yang dijalankan mereka berdasarkan bukti ditunjukkan mereka,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro di sini.

Amirol Azery berkata, syarikat terbabit mendakwa memberi sumbangan mencecah RM200,000 kepada satu pertubuhan kebajikan dan menjalankan pelbagai aktiviti promosi di seluruh negara.

“Pemilik syarikat itu bijak bermain kata-kata dengan menggunakan ayat al-Quran dan hadis ketika berucap dalam seminar di sebuah hotel terkemuka di ibu kota,” katanya.

Menurut Amirol Azery, dia mula mendaftar sebagai ahli skim pelaburan itu penghujung tahun lalu bagi menjana pendapatan sampingan untuk melangsungkan perkahwinan dan menyambung pelajaran.

Bagaimanapun, kedua-dua hasrat itu musnah apabila cek diberikan syarikat terbabit tidak boleh ditunaikan selepas sebulan dimasukkan dalam akaun.

“Saya menghubungi bank untuk mengetahui status cek yang saya terima dan pihak bank memaklumkan ia cek tendang kerana akaun syarikat terbabit sudah ditutup pemiliknya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: