Thursday, July 29, 2010

Nahas pesawat Pakistan ragut 152 nyawa


ANGGOTA-ANGGOTA penyelamat memeriksa bangkai pesawat.


ISLAMABAD - Sebuah pesawat yang membawa 152 penumpang termasuk enam krew terhempas semalam dan terbakar di celah dua buah bukit serta hutan tebal di luar Islamabad semasa hujan lebat dengan tahap pandangan yang terhad.

Semua penumpang dan krew yang menaiki pesawat syarikat Airblue itu terbunuh.

Setakat ini tidak ada sesiapa pun yang tahu punca pesawat itu terhempas dan terbakar pada pukul 9.45 pagi waktu tempatan (12.45 tengah hari waktu Malaysia).

Pegawai-pegawai penyelamat memberitahu cebisan tubuh manusia yang rentung berselerakan di kawasan nahas.

Kejadian itu merupakan nahas paling buruk pernah berlaku di Pakistan dalam tempoh 18 tahun.

Pesawat Airblue ED 202 dari Karachi itu telah diarah oleh pengawal trafik udara supaya menggunakan laluan lain untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto di Islamabad berikutan hujan lebat dan kabus tebal.

"Kapal terbang itu terbang sangat rendah. Kami kemudiannya mendengar bunyi yang kuat," kata seorang saksi yang merupakan seorang penduduk kawasan eksklusif E-7, di kaki bukit Margalla, Wajih-ur Rehman.

"Cebisan mayat tercampak ke dalam semak. Muka dua orang wanita dan seorang bayi sahaja yang dapat saya kenal pasti," jelas seorang pegawai penyelamat, Syed Zahir Shah.

Menurut pegawai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam, Zeeshan Haider, terdapat tujuh orang kanak-kanak dan dua orang bayi di dalam pesawat tersebut.

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) turut mengesahkan dua orang warganya terbunuh.

"Tiada yang terselamat. Ini satu tragedi yang dahsyat," kata Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik kepada stesen televisyen Express TV.

"Pasukan penyiasat akan meneliti semua kemungkinan yang menyebabkan tragedi itu bermula daripada cuaca buruk hingga keganasan," kata Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam, Riaz-ul-Haq.

Syarikat Airbus memberitahu pesawat itu baru berusia 10 tahun dan menawarkan bantuan sepenuhnya kepada pasukan penyiasat Pakistan.

Jurucakap Syarikat Airblue, Raheel Ahmed menyatakan pesawat Airbus 321 itu berlepas dari Karachi pada pukul 8 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia) ke sini dan ia tidak mengalami sebarang masalah teknikal.

Syarikat Airblue merupakan antara syarikat penerbangan yang paling dihormati di Pakistan.

Beroperasi sejak tahun 2004, ia menggunakan pesawat Airbus A320 dan A321 yang baru untuk penerbangan domestik dan antarabangsa ke Dubai, Sharjah, Abu Dhabi, Muscat serta Manchester.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: