Thursday, July 29, 2010

Kapal tangki rosak akibat ombak misteri


GAMBAR menunjukkan kapal tangki minyak M Star yang dirempuh ombak misteri di Selat Hormuz semalam.


MUSCAT - Sebuah kapal tangki minyak Jepun mengalami kerosakan kerana dibadai ombak misteri di Selat Hormuz, salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia ketika kapal berkenaan dalam perjalanan ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Tiada tumpahan minyak dilaporkan dari kapal tangki M Star itu namun seramai 31 orang anak kapalnya cedera.

Pada asalnya, pemilik kapal itu, Mitsui O.S.K. melaporkan terdapat letupan di atas kapal yang mungkin disebabkan oleh satu serangan.

"Seorang anak kapal ternampak cahaya sebelum letupan berlaku.

"Justeru pemilik kapal (Mitsui) percaya ia mungkin disebabkan oleh serangan," jelas satu kementerian Jepun dalam satu kenyataan.

Namun, tiada bukti untuk mengukuhkan dakwaan itu.

"Punca insiden ialah ombak misteri, terdapat kerosakan di dek-dek penginapan. Kapal itu tidak ditunda kerana enjinnya tidak rosak.

"Kapal itu akan diperiksa dan boleh meneruskan perjalanannya ke Chiba, Jepun," kata seorang pengurus besar di Pelabuhan Fujairah, UAE.

Pihak pengawal pantai Oman menyatakan satu gegaran gempa bumi menjadi punca tercetusnya ombak tersebut.

Seorang ahli kajian gempa bumi di Iran memberitahu, satu gempa bumi berukuran 3.4 pada skala Richter berlaku di Bandar Abbas.

Selepas kejadian itu, pegawai-pegawai Kementerian Pengangkutan Oman menegaskan laluan perkapalan di Selat Hormuz beroperasi seperti biasa.

Kapal tangki itu membawa 2.3 juta tong minyak mentah dan mempunyai seramai 16 orang krew Filipina serta 15 orang krew India.

Impak ke atas pasaran minyak mentah sangat kecil dan kapal tangki tersebut dijangka mengambil masa tiga minggu untuk tiba ke destinasinya.

Dianggarkan sebanyak 17 juta tong minyak dibawa melalui Selat Hormuz setiap hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: