Sunday, July 18, 2010

Mimie jatuh cinta lagi

DIA masih hijau di persada seni tanah air. Pernah menyertai program realiti Mystarz LG musim kedua tapi tersungkur pada minggu kesembilan. Kegagalan itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat gadis bertubuh genit ini.

pix_middle


Gadis yang menyambut ulang tahun ke-20 pada 3 Jun lalu ini tidak kisah. Baginya, adat orang baru, perlu bersabar dan jangan terlalu mengharapkan nama naik terlalu cepat.

Hanya yang terpilih mampu menikmati populariti dengan pantas. Dia sanggup menunggu, biar berapa lama sekali pun, asalkan terus diberi peluang meneroka pentas seni.


Februari lalu, anak jati Alor Setar ini menandatangani kontrak sebagai artis syarikat rakaman NAR Records dan berpeluang merakam single Jatuh Cinta Lagi ciptaan Adi 6ixth Sense.

Mempertaruhkan genre berbeza daripada yang pernah dinyanyikan sebelum ini, Mimie percaya ia mampu memberi dimensi baru kepada penampilannya, seterusnya dapat diterima ramai, khususnya remaja. Langkah diatur penuh semangat, tekadnya biarlah Jatuh Cinta Lagi menjadi permulaan baik buat kembara seninya.

“Syukur, NAR Records sudi menerima saya sebagai artis syarikat rakaman.
Semuanya bermula apabila saya menjadi penyanyi latar untuk rakaman lagu Nubhan berjudul Pilih Aku Atau Dia di studio NAR. Selepas melihat sesi rakaman itu, pengurusan NAR memanggil saya untuk uji bakat. Tak sangka, saya terpilih.


“Jujur, saya selesa bernaung di bawah syarikat rakaman ini kerana pengurusannya sentiasa mengambil berat, malah menyokong apa saja bidang seni yang saya ceburi, termasuk lakonan dan pengacaraan.

“Mereka mengatur strategi promosi untuk single saya baik di media mahupun jelajah di beberapa lokasi, antaranya Seremban dan Johor Bahru,” kata penuntut Diploma Seni Muzik, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam ini.

Mengulas lanjut single pertamanya, kata Mimie, dia jatuh hati dan teruja untuk menyanyikannya apabila pertama kali mendengar melodinya. Bagi si manis ini, Jatuh Cinta Lagi sebuah lagu unik dan kena dengan imejnya.

“Sebelum ini saya banyak nyanyikan lagu balada tetapi Jatuh Cinta Lagi sesuatu yang berbeza, ‘catchy’ dan kena dengan suara besar saya. Ketika rakaman, Adi banyak bantu saya menyanyikan lagu ini. Paling suka apabila saya perlu berbisik dalam lagu ini dan ia sesuatu yang baru bagi saya.

“Alhamdulillah, lagu ini diputar beberapa stesen radio dan mendapat maklum balas positif. Jika sambutan berterusan, kemungkinan besar saya rakam single kedua ciptaan kumpulan 6ixth Sense tidak lama lagi. Single ini masih mengekalkan irama rancak tetapi kali ini lebih rock,” katanya yang kuat berpegang dengan prinsip ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

Biarpun kecintaannya terhadap dunia nyanyian sungguh mendalam, rezeki gadis ini dalam bidang lakonan juga kencang.

Pernah menjayakan Cafe Akhil Hayy, sitkom Senario, Studio Nabil dan memegang watak utama dalam telefilem Wira Malam Bisikan Naga arahan Adam AF, namanya terus bersinar menerusi siri Kau Aku, Hotel Mania serta telefilem seram, Datang Bulan.

Akui penggemar sukan golf ini, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bergelar pelakon kerana fokus utamanya mahu menjadi penyanyi, tetapi tawaran dihulurkan tidak wajar ditolak. Ia ibarat bulan jatuh ke riba dan sesungguhnya tidak disangka-sangka.

“Sementara menanti peluang bergelar penyanyi, saya ditawarkan berlakon. Mula-mula segan juga, maklumlah saya tidak ada pengalaman, tetapi selepas berfikir panjang saya terima.

“Alhamdulillah, percubaan saya tidak sia-sia. Satu demi satu tawaran menyusul dan kini saya rancak melakukan persiapan untuk penggambaran siri Kau dan Aku musim kedua.

“Bermula bulan ini hingga bulan depan, semua pelakon siri ini akan mengikuti kelas lakonan. Penggambaran pula akan bermula selepas Aidilfitri. Fokus jalan cerita kali ini lebih kepada permasalahan keluarga dan impian watak utama, malah lebih banyak unsur muzikal.

“Demi menjayakan drama 26 episod ini, saya menangguhkan pengajian selama satu semester,” katanya yang memegang watak sebagai Emylia dalam siri berkenaan.

Mengulas lanjut rutin seninya, selain sibuk mempromosi single pertama, Mimie kini rancak menjalani penggambaran program Remaja In-Trend musim kedua, di mana dia menjadi hos bersama Nubhan.

Pengalaman baru ini sungguh bermakna buatnya, apatah lagi satu ketika dulu kerjaya ini pernah menjadi sebahagian daripada angannya. Program berkenaan akan bersiaran setiap Sabtu, jam 12.30 tengah hari di TV2 bermula 8 Ogos depan.

>PROFIL
NAMA: Norshamimi Ahmad Haris
LAHIR: 3 Jun 1990
di Alor Setar, Kedah
TINGGI/BERAT: 152sm/48kg
PENDIDIKAN: Diploma Muzik Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor
CENDERUNG: Muzik, tarian, nyanyian, lakonan, pengacaraan dan golf
PENYANYI KEGEMARAN: Rihanna, Miley Cyrus, Lady Gaga dan Anita Sarawak

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: