"I love you so much!" Itulah frasa pertama yang terungkap di hati dan mindanya setiap kali sedar daripada lena. Sesekali luahan ikhlas itu meluncur laju dari bibirnya, malah itulah yang mahu dilafazkan setiap hari.
Di matanya, lelaki itu yang paling sempurna. Luah Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan, syukur dia dipertemukan suami sebaik Briant.
Buah hatinya bukan saja suami, tetapi juga sahabat dan guru yang paling memahaminya. Layanan diberi sungguh istimewa hingga menyemarakkan lagi kasih sayang antara mereka.
"Dia lelaki paling sempoi dan menyenangkan pernah saya jumpa. Dia tidak mengharapkan apa-apa daripada saya, malah tidak pernah meletakkan sebarang piawaian supaya saya jadi wanita sempurna. Dia menerima saya seadanya, malah kami berjanji untuk menyempurnakan antara satu sama lain.
"Bulan ini genap usia perkahwinan kami setahun satu bulan. Ikatan ini mematangkan saya, malah membuatkan saya lebih menghargai kehidupan. Briant banyak membimbing saya dan sangat prihatin.
"Sikapnya yang tenang membuatkan saya rasa sangat selesa di sampingnya. Susah untuk lihat kami bergaduh sampai kadangkala saya tertanya-tanya bila kami nak bergaduh. Pendek kata, saya sangat bertuah kerana dijodohkan dengan Briant. Dia pandai buat saya ketawa dan rasa gembira.
"Briant juga pandai menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat Melayu. Barangkali kerana dalam hubungan ini kami sama-sama terbuka untuk menerima dan belajar perkara baru," kata Nana yang menyambut ulang tahun ke-26 pada 1 Julai lalu.
Kebahagiaan dikecapi pasangan romantik ini berganda apabila Nana kini berbadan dua. Kandungan berusia hampir enam bulan itu mengeratkan lagi kasih sayang yang terbina, sekali gus menjadi bukti cinta mereka.
Kata Nana, apabila sah bergelar suri hidup Briant, dia bersedia untuk menimang cahaya mata. Selepas sembilan bulan mencuba, impian mereka untuk memiliki zuriat diperkenankan Ilahi.
Tatkala itu Nana hanya mampu menzahirkan rasa gembiranya dengan titisan air mata. Dua garisan pada alat ujian kehamilan buat dia melonjak keriangan.
"Saya dan suami memang mahu zuriat cepat. Setiap bulan saya buat ujian kehamilan di rumah dan jawapannya menghampakan. Bagaimanapun di satu pagi Februari lalu saya tergerak hati untuk buat ujian kehamilan sekali lagi. Ketika itu jam 4.30 pagi dan Briant tengah nyenyak tidur.
"Tanda dua garisan pada alat ujian itu buat saya terkesima seketika. Rasa macam bermimpi dan cepat-cepat kejutkan Briant untuk maklumkan berita gembira itu. Dia tergamam manakala saya pula tidak dapat menahan air mata daripada mengalir. Kami sangat teruja dan saling berpelukan selepas itu.
"Sungguh, keputusan itu benar-benar buat kami rasa sangat bahagia. Jam 9 pagi kami ke klinik untuk dapatkan pengesahan doktor. Sah, positif lima minggu. Kami terus maklumkan berita gembira itu kepada keluarga.
"Sebelum itu saya teringin sangat nak ada anak sendiri. Lihat kemesraan rakan dengan anak masing-masing buat jiwa saya meronta-ronta. Saya tak sabar-sabar mahu manjakan anak dengan belikan baju dan aksesori comel.
"Imaginasi saya bukan setakat limpahan kasih sayang dan belikan itu ini, tetapi hingga hantar ke sekolah. Sesungguhnya rumah tangga lebih lengkap bila ada anak dan kerana itu saya berazam jadi ibu terbaik.
"Sebagai persediaan diri, saya banyak membaca buku keibubapaan dan melayari Internet. Hasrat saya mahu beri didikan sebaik mungkin untuk anak ini," katanya.
Kata Nana, meskipun tidak mengalami alahan, pergerakannya kini terbatas apabila cepat merasa penat. Jika rakaman berlangsung dalam jangka masa panjang, dia akan minta ruang berehat seketika untuk menghilangkan rasa mengah.
Soal makan atau alahan bau yang biasa dialami wanita hamil tidak menghantui Nana, pun begitu katanya, empat bulan pertama dia tidak boleh menaiki kereta yang dipandu orang lain kerana akan merasa pening dan perubahan itu tidak berlaku andai dia memandu sendiri.
Situasi itu bagaimanapun sudah berakhir, malah dia bertuah kerana tidak berdepan masalah atau komplikasi.
"Alhamdulillah setakat ini saya OK dan masih lincah seperti dulu, cuma perlu membataskan sedikit pergerakan demi menjaga keselamatan kandungan.
"Mana perbuatan yang boleh memudaratkan kandungan, saya jauhi. Kalau ada kemusykilan atau rasa was-was, saya merujuk kepada mak, mentua dan kawan lebih berpengalaman.
"Sepanjang tempoh kehamilan, saya amalkan pengambilan makanan berkhasiat. Gembira sungguh bila buat pertama kali berat badan saya naik melebihi 50 kilogram. Sebelum ini kurus sangat dan perubahan ini sememangnya saya nanti-nantikan.
"Briant juga memanjakan saya. Sebut saja mahu makan apa, pasti dicari sampai jumpa. Dia banyak bantu saya melakukan kerja rumah. Walaupun saya boleh buat, dia suruh saya berehat dan dengan rela hati menyelesaikan kerja-kerja itu.
"Sikapnya yang mengambil berat itu buat saya rasa terharu. Kadangkala segan juga tetapi memikirkan berbadan dua, saya turuti kata-katanya," jelas Nana.
Tambahnya, rasa teruja Briant untuk bergelar bapa tidak dapat dibendung lagi. Jadi rutin setiap hari Briant membelai kandungan sambil berbual dengan bayi mereka.
Sesekali lucu pula melihat suaminya seakan-akan tidak sabar-sabar mahu melihat wajah zuriat mereka. Kesungguhan jejaka itu menceriakan lagi momen paling bermakna dalam bahtera perkahwinan mereka.
"Saya dijangka bersalin pada 1 November depan. Insya-Allah saya bersalin di Pusat Perubatan Sunway kerana hospital ini paling dekat dengan rumah. Kalau boleh saya mahu bersalin secara normal dan harap-harap jadi kenyataan.
"Saya akan berpantang di Kuala Lumpur saja kerana tidak sampai hati berjauhan dengan suami. Saya sudah suarakan perkara itu kepada orang tua dan ibu saya sudi datang ke Kuala Lumpur untuk menjaga saya sepanjang tempoh itu.
"Kebetulan ketika itu cuti sekolah, jadi adik pun boleh ikut sama. Kami baru berpindah ke rumah baru dan keadaannya lebih selesa. Jadi bolehlah berhimpun ramai-ramai nanti.
"Memandangkan ini cucu pertama sebelah keluarga saya, mereka sangat teruja dan tak sabar-sabar menanti detik kelahirannya. Biarpun abang Briant ada anak, mentua saya tetap teruja menanti kehadiran cucu ini.
"Soal persiapan, saya belum buat apa-apa lagi kerana baru saja tahu jantina anak kami. Insya-Allah, anak yang bakal dilahirkan ini nanti perempuan. Apabila kandungan masuk tujuh bulan baru saya dan Briant akan beli keperluan bayi kami.
"Orang tua pun tidak menggalakkan kami beli barang awal-awal dan nasihat mereka kami pegang," kata Nana yang masih mencari nama sesuai untuk buah hati sulungnya.
Beralih ke perihal kerjaya, Nana ternyata semakin selesa di konti XFM. Bertugas dari jam 4 petang hingga 8 malam, celotehnya sering menjadi peneman pendengar stesen radio itu.
Ulas Nana, bulan ini XFM bakal menyaksikan banyak pembaharuan termasuk bertukar wajah, di mana akan memainkan 100 peratus muzik rock Malaysia terbaru dan terbaik bermula esok.
Bermakna stesen ini menyediakan tapak kepada bakat rock tempatan sedia ada mahupun yang baru untuk mengetengahkan muzik mereka.
Memandangkan keadaannya yang tidak mengizinkan, hos segmen Mustika dan What's Up Bolly ini hanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasnya di konti dan tidak menerima tugasan lain biarpun banyak tawaran menyusul kebelakangan ini.
"Alhamdulillah, saya gembira bertugas di XFM. Bekerja di sini tidak ada tekanan, malah teman penyampai yang lain pun baik dan gila-gila. Sepanjang tempoh kehamilan ini saya memutuskan untuk tidak melakukan banyak kerja dalam satu masa.
"Bila perut semakin besar, saya mudah mengah dan tak larat. Lagipun saya mahu fokuskan perhatian kepada kandungan dan persediaan jadi ibu.
"Kalau ikutkan, saya sepatutnya merakam single dengan Noh Hujan. Lagu sudah siap tapi Noh cadangkan supaya rakaman dibuat selepas saya bersalin.
"Tawaran berlakon pun banyak menyusul tapi saya terpaksa tolak kerana kebanyakan penggambaran dilakukan di luar Kuala Lumpur dan mengambil masa panjang.
"Sudah tertulis bukan rezeki saya dan kebetulan pula hati saya belum terbuka untuk jadikan lakonan dan nyanyian sebagai karier utama. Kolaborasi dengan Noh pun berlaku bila tiba-tiba rasa rindu nak menyanyi.
"Saya suka dengan apa yang saya buat sekarang, berceloteh dan menghiburkan orang ramai di konti. Memang dari kecil saya suka bercakap dan dengan kerjaya ini saya boleh jadi diri sendiri.
"Tidak perlu hipokrit atau jadi orang lain kerana saya bebas meluahkan apa yang ada dalam minda dan hati saya mengikut kesesuaian keadaan," katanya yang sudah enam tahun menjadi penyampai radio.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: