Saturday, July 10, 2010

Harley Davidson


Harley Davidson XR1200X memberikan tunggangan seperti superbike.


SIAPA yang tidak kenal motosikal Harley Davidson. Daripada deruman bunyi sahaja kaki-kaki motor sudah tahu kehadirannya.

Namun ramai yang menganggap motosikal ini hanya untuk bergaya. Ia hanya gah pada deruman tetapi bukan dari segi prestasi.

Tidak seperti superbike, Harley Davidson dikatakan motosikal untuk pameran sahaja.

Namun imej itu cuba dinafikan oleh pengeluar jenama terkenal Amerika Syarikat (AS) itu melalui model Harley Davidson XR1200X.

Sekali lihat ia hampir sama dengan model sebelumnya. Ramai yang menganggap prestasinya juga lebih kurang sama.

Tetapi mereka yang menguji buat pertama kali terkejut dengan pengendaliannya yang berbeza.

Dari segi teknikal tidak banyak yang boleh diperkatakan kecuali ia menampilkan suspensi depan dan belakang serba baru iaitu Showa 43 milimeter.

Tayarnya pula masih menggunakan Dunlop D209 Qualifiers. Tetapi disebabkan bentuk XR yang agak berbeza mereka terpaksa mencipta tayar belakang khas untuknya.

Untuk roda depan Harley menggunakan roda 18 inci.

Untuk model XR1200X ini, Harley Davidson menampilkan beberapa penambahbaikan termasuk enjin dan ekzos berwarna hitam, suspensi baru depan dan belakang serta sistem brek yang ditingkatkan.

Model XR1200 mula diperkenalkan oleh Harley Davidson pada 2007 khusus untuk pasaran Eropah.

Ia berasaskan kepada motosikal lumba dirt bike untuk dijual di luar negara.

Namun atas permintaan pelanggan pada 2009 ia turut dijual di AS.

Bagi model XR1200X ini, ia sudah mula dijual di pasaran Eropah beberapa bulan lalu. Untuk pasaran AS sendiri ia hanya boleh didapati tahun depan.

Sekali pandang mungkin tiada beza antara model XR1200 dengan XR1200X. Tetapi sebaik sahaja melangkahkan kaki ke atasnya para penguji sudah dapat merasai perbezaan.

Pergerakannya pantas dan pengendalian pula lancar. Berbeza dengan model-model Harley Davidson sebelum ini.

Walaupun fizikalnya tidak seperti superbike, namun XR1200X memberikan keyakinan untuk mengambil selekoh. Lutut boleh mencecah jalan, yang mana sebelum ini tidak mungkin boleh dilakukan dengan jentera Harley Davidson.

Saiz tayar depannya yang agak berbeza tentunya memberikan sedikit kebimbangan mengenai cengkaman. Tetapi kebimbangan itu tidak berasas kerana ia mampu mengambil selekoh dengan lancar dan stabil. Ini menjadikan ia setanding dengan superbike moden lain.

Ini kerana ia dibantu oleh tayar yang direka khas Dunlop D209 Qualifier. Soal cengkaman langsung tidak timbul. Kecuali jika melalui permukaan jalan yang tidak rata atau berpasir.

Sistem brek juga lebih baik dan memberikan cengkaman ketika sejuk. Setelah menjadi panas pun cengkamannya tetap konsisten.

Ketika diuji XR1200X boleh mencecah kelajuan kira-kira 200 kilometer sejam. Ini dipercayai dibantu oleh sistem pacuannya, malah dirasakan motosikal itu masih boleh didesak ke kelajuan lebih tinggi.

Sistem gearnya juga lancar malah penukaran dari gear rendah ke gear tinggi dan sebaliknya tidak memberikan masalah.

Posisi duduk penunggang bagaimanapun agak tegak, walaupun ini merupakan motosikal paling sporty dalam keluarga Harley Davidson.

Kedudukan handlenya memudahkan ia dicapai di samping tempat duduk yang selesa sama ada untuk pemanduan laju atau bagi tujuan bersiar-siar.

Tempat pemijak juga diletakkan di tempat yang selesa sesuai dengan kedudukan handle dan tempat duduk. Ia memberikan tunggangan yang selesa.

Walaupun XR1200X merupakan model sport dari Harley Davidson, namun ia masih memberikan keselesaan untuk tunggangan jarak jauh.

Model XR1200X ini merupakan model yang menarik daripada Harley Davidson. Prestasinya lebih baik, stabil dan pengendalian yang mantap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: