Wednesday, July 21, 2010

Menunggu lamaran kekasih


ROZITA Che Wan hanya menunggu masa untuk berkahwin seandainya dia menerima lamaran daripada kekasihnya.


DUDUK bersembang dengan wanita jelita ini memang cukup menyeronokkan. Bicaralah apa sahaja dengan empunya diri, tidak sesekali dia akan menafikan mahupun menyembunyikan perkara yang dirasakannya boleh dikongsi.

Cuma, kalau dirasakannya tidak wajar untuk diceritakan, dengan penuh diplomasi dia meminta untuk tidka ditulis mahupun direkodkan.

Personalitinya yang cepat mesra itu juga menjadikan Rozita Che Wan mudah didekati oleh pihak media yang tidak pernah putus mahu mendapat cerita terbarunya.

Apatah lagi dengan statusnya sebagai seorang ibu tunggal sejak tahun 2003, maka tidak hairanlah mengapa Rozita seringkali didatangi oleh lelaki yang kehausan cinta dan mendamba kasih sayang daripadanya.

Bukan sekali, tetapi sudah banyak kali Rozita dikaitkan dengan lelaki yang bukan sembarangan baik dari segi status, pangkat, darjat dan keturunan.

Tetapi jiwa Rozita cukup kental. Biarpun acap kali sering dipandang sinis dan dipandang sebelah mata oleh segelintir wanita, Rozita langsung tidak menghiraukannya.

Dengan tegas, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini menjelaskan dia tidak kemaruk kepada status dan pangkat.

Malah, suami orang juga tidak pernah menjadi pilihannya jika dia hendak mencari seseorang untuk dijadikan suami.

"Suami orang memang bukan cita rasa saya. Tak main suami-suami orang ni. Saya akan tetap mencari lelaki solo sebagai suami.

"Jadi, kepada semua wanita di luar sana, tidak perlu takut dengan saya," kata Rozita sambil disulami ketawa kecil.

Rozita yang gemar membahasakan dirinya sebagai Ita ini ditemui di lokasi penggambaran drama Lawaknya Fantasia Raya terbitan Astro di Merlimau, Melaka, baru-baru ini.

Drama yang diarahkan oleh Hisyamuddin Sehan ini bakal ditayangkan pada Syawal nanti menerusi saluran Astro Ria (saluran 104, Astro).

Bahagia

Daripada raut wajahnya yang terpancar rona bahagia itu, dapat disimpulkan Rozita sedang melewati musim cinta yang membuatkan wanita ini benar-benar bahagia.

Dengan penuh jujur Rozita mengakui, dia memang sedang berpacaran dengan seorang jejaka yang tiga tahun lebih muda daripadanya.

Bukan lelaki berpangkat, sebaliknya teman lelakinya itu hanyalah seorang pegawai bank yang kini bekerja di Singapura.

Mungkin akan ada wanita tidak percaya seorang artis cantik seperti Rozita memilih lelaki biasa sebagai pasangan.

Mahu percaya atau tidak, itu persepsi masing-masing kerana Rozita terus berpegang kepada prinsip hidupnya yang tidak mengejar status mahupun pangkat dalam memilih soal hidup.

"Saya memang dah lama kenal dengan dia. Cukup lama untuk kami mengenali hati budi masing-masing. Saya tertarik dan yakin dengan dirinya kerana dia tidak pernah putus harap untuk mendekati saya sebelum saya menjadi artis lagi.

"Daripada situ, saya percaya dia memang benar-benar ikhlas mahu berkawan dengan saya dan semuanya itu sudah terbukti.

"Anak-anak saya juga rapat dan menerimanya dengan baik. Begitu juga dengan ibu dan adik-beradik saya yang selesa apabila bersamanya," ujar wanita ramah berusia 37 tahun ini tanpa selindung.

Diminta bercerita lanjut tentang pujaan hatinya itu, Rozita menyifatkan belahan jiwanya itu sebagai seorang lelaki yang cukup bertanggungjawab.

Selain itu, sifat jujur juga merupakan salah satu faktor mengapa Rozita membuka hatinya untuk menerima cinta baru dalam hidupnya.

"Momen yang paling indah dan menguatkan lagi cinta saya terhadapnya apabila dia membeli enam biji kek untuk saya, ibu saya dan empat adik-beradik saya yang lain bergelar ibu pada sambutan Hari Ibu baru-baru ini.

"Malah, dia menghabiskan seharian bersama kami sekeluarga dengan pelbagai aktiviti seperti makan tengah hari dan bermain boling.

"Dari situ, memang terpancar jelas dia seorang yang begitu mementingkan aspek kekeluargaan dan itulah yang saya cari sebenarnya," cerita Rozita rancak.

Ditebak dengan soal perkahwinan, dengan pantas anak kedua daripada tujuh beradik itu memberikan justifikasinya.

"Memang saya sudah bersedia untuk berkahwin tetapi masalahnya sekarang dia belum melamar saya lagi (ketawa).

"Sebaik sahaja dia melamar saya, maka saya akan menamatkan zaman janda saya dengan cepat.

"Tetapi, ingin saya tegaskan di sini perkahwinan bukan punca utama mengapa saya mahu bersara dari dunia seni seperti mana yang pernah saya beritahu tidak berapa lama dulu," terang pelakon filem Jangan Tegur itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: