Friday, July 9, 2010

Menulis kerana isteri


Pasangan ideal, Dr. Farhan Hadi dan isteri, Fatimah Syarha bersama-sama buku-buku hasil penulisan mereka.


FENOMENA Ayat-ayat Cinta yang dicetuskan oleh penulis dari Tanah Seberang, Habiburrahman Al Syirazy pada tahun 2004 benar-benar luar biasa, malah sehingga hari ini masih terasa.

Kini semakin ramai penulis yang mengambil pendekatan novel Islam sebagai satu tarikan kepada pembaca.

Walaupun berkelulusan ijazah sarjana dari Universiti Al Azhar, Mesir namun semua itu bukan penghalang Habiburrahman melahirkan Ayat-ayat Cinta, sebuah novel Islam yang meledak jualannya di Indonesia dan Malaysia.

Fenomena itu tercetus tentu sahaja kerana tujuan yang satu, iaitu dakwah, supaya Islam itu dilihat dengan lebih indah. Sekalipun bercinta tetapi suasananya mestilah dengan syariat yang terjaga.

Soalnya, bagaimana mereka yang tidak berlatarkan pendidikan dan kerjaya agama mampu melahirkan karya atau lebih tepat buku dalam pelbagai genre untuk tujuan dakwah.

Seorang doktor muda, Dr. Farhan Hadi Mohd. Taib, 26, misalnya turut mencetuskan fenomena yang sama apabila menghasilkan novel Islam iaitu Denyut Kasih Medik terbitan Telaga Biru.

Jika dihayati novel ini hingga noktah terakhir, novel ini nyata mempunyai serampang dua mata!

Ia bukan sahaja memartabatkan tugas seorang doktor yang sangat menjaga syariat Islamnya. Namun sebagai insan yang normal, seorang doktor juga melalui zaman percintaan namun tetap indah apabila, percintaannya itu disulami dengan syariat.

Maka hasilnya, suatu percintaan yang sejati untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang sakinah, mawaddah wal rahmah (tenang dan dilimpahi kasih sayang)

Cubaan pertama yang cukup menjadi. Farhan sendiri tidak menyangka dia akhirnya berjaya menghasilkan sebuah novel di sela-sela kesibukan tugasnya hakikinya di Klinik Kerajaan di Bagan Terap, Sabak Bernam.

Dalam tempoh enam bulan sahaja lahirlah novel sulungnya itu setebal 390 muka surat. Dikatakan kini jualannya menjangkau 10,000 naskhah dan sedang dalam perancangan untuk cetakan kedua.

Novel itu mesti dimiliki dan dibaca kerana ia tidak sekadar sebuah cerita mengenai seorang doktor pelatih (houseman) yang setiap hari ada sahaja dugaan dan cabaran.

Namun, termuat di dalamnya pelbagai mutiara kata, dalil-dalil, maklumat ringkas sehinggalah tip mencari jodoh bagi wanita (muka surat 215).

Secara peribadi antara yang sangat menarik yang boleh diambil daripada buku ini adalah mengenai amalan minum air selusuh yang kononnya untuk memudahkan bersalin.

Andai tidak diminum air itu maka sukarlah seseorang ibu melahirkan anak sedangkan amalan itu sebenarnya boleh menyebabkan berlakunya komplikasi kepada si ibu apabila dia akan bersalin terlalu awal dari tarikh yang dijangka.

"Saya tidak ada pengalaman menulis sebelum ini. Apatah lagi menulis fiksyen atau novel. Yang lazimnya, pasti sesuatu yang sangat mustahil bagi seorang doktor.

"Sedangkan kita mempunyai ramai doktor di negara ini, yang telah lebih lama bertugas dan menjadi seorang yang sangat pakar tetapi untuk mereka menulis novel, tidak akan pernah terlintas di fikiran," kata Farhan.

Bagi beliau, segala-galanya bertitik tolak daripada galakan isteri, Fatimah Syarha Mohd. Noordin.

Si isteri seperti yang dikenali umum, seorang novelis yang prolifik dengan pendekatan penulisan sastera Islam yang mencuit hati remaja.

Fatimah Syarha tidak sahaja dapat mencium bakat suami tetapi membantu memupuk bakat yang ada supaya ia diketengahkan.

Berkecimpung dalam minat yang sama bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan malah ia dijadikan usaha menjalankan tanggungjawab berdakwah melalui novel.

"Fatimah memang banyak membantu saya atas kesedaran kami bersama supaya liku-liku kehidupan seorang doktor dirakamkan dalam bentuk novel.

"Walaupun pada mulanya satu gurauan apabila Fatimah mengusulkan saya menulis novel tetapi dengan bantuannya, perkara yang dianggap mustahil akhirnya terbukti dapat dihasilkan.

"Benar, apabila seseorang itu merasakan dia lebih rela meratakan sebuah bukit, berbanding di suruh menulis novel," katanya sambil tersenyum.

Apabila Farhan telah menemui rentak untuk menulis maka yang beliau perlukan kini adalah istiqamah walaupun menyedari masa 24 jam sehari seakan tidak cukup.

"Sekurang-kurangnya dalam sehari, sejam mesti diperuntukkan untuk menulis. Malah dengan kesempatan menulis itulah saya mengisi masa rehat dan melepaskan lelah bekerja," katanya.

Walaupun begitu, novel tersebut tetap merupakan karya aslinya waima dia kuat dipengaruhi dengan bakat dan pengalaman si isteri.

"Fatimah sekadar editor yang banyak mengekalkan sentuhan saya sendiri kecuali kesilapan dan kesalahan yang ketara pada ejaan mahupun struktur ayat.

"Beliau sama sekali tidak menulis semula penulisan saya," kata graduan perubatan dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu.

Namun yang menariknya si isteri yang sedar akan kesilapan dan kesalahan si suami menulis itu akan menggunakan pendekatan secara berhikmah.

Beliau tetap memuji kemajuan penulisan si suami tetapi pada masa yang sama tangannya akan membetulkan kesilapan si suami.

Denyut Kasih Medik benar-benar mengangkat imej doktor perubatan yang tidak kurang dilemparkan dengan pelbagai rasa tidak puas hati orang ramai.

Mereka mungkin tidak memahami erti kesibukan tugas seorang doktor yang kadang kala terpaksa menyebabkan layanan kurang memuaskan, terpaksa menunggu lama dan sebagainya.

Melalui novel itu, pembaca akan memahami sepenuhnya tanggungjawab doktor yang tidak sahaja cuba memberi rawatan terbaik terhadap pesakit tetapi dalam masa yang sama berhadapan dengan pelbagai kerenah pentadbiran, rakan dan sebagainya.

Ia sepeti apa yang ditulis oleh penulis terkenal, Micheal Crichton ketika menghasilkan skrip rancangan TV paling popular ER.

Namun melalui Denyut Kasih Medik Farhan menampilkan watak seorang doktor yang amat sibuk namun tidak meninggalkan tanggungjawab terhadap Allah.

Tidak sahaja dapat menyempurnakan solat lima waktu malah sempat juga untuk membaca al-Quran walaupun sekadar satu atau dua surah pendek.

Perwatakan seperti itu jarang digambarkan termasuk dalam drama dan filem kecuali gambaran seorang doktor yang terlalu obses atau menjadi hamba kepada tugas-tugasnya.

Novel Denyut Kasih Medik merupakan satu usaha dakwah yang sangat murni bagi memberikan imej yang lebih bersih, segar dan dinamik mengenai dunia perubatan dan tugas seorang doktor mengikut perspektif Islam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: