Friday, July 9, 2010

Selera Orang Asli


Manuk bakar inspirasi daripada makanan tradisional Orang Asli.


BENAR kata orang, budaya, cara hidup dan makanan tidak boleh dipisahkan. Minggu lepas selama dua hari satu malam saya berkesempatan menyertai khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh Fakulti Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang.

Program tersebut berlangsung di perkampungan Orang Asli Kampung Bukit Asu yang terletak di Pangkalan Hulu, Perak.

Para peserta terdiri daripada pensyarah dan staf seramai 60 orang. Antara objektif program ini adalah menghulurkan bantuan dan menyelami gaya hidup masyarakat Orang Asli selain memberi informasi dan aktiviti berguna kepada masyarakat berkenaan dengan menjalankan aktiviti sukaneka dan tayangan video.

Mulanya saya berasa agak gelisah kerana kehidupan serba kekurangan masyarakat tersebut mungkin tidak akan memberi keselesaan. Namun niat membantu orang yang memerlukan membuatkan saya gagah untuk meneruskan kerja mulia ini.

Kegelisahan saya terpadam sejurus tiba di tempat yang dituju apabila tarian tradisional Sewang dipersembahkan.

Tarian itu tanda simbolik Orang Asli mengalu-alukan kedatangan tetamu. Saya berasa kagum dengan keaslian budaya mereka.

Keramahan Tok Batin dan penduduk tempatan terutama kanak-kanak juga mendorong saya untuk lebih menyelami kehidupan masyarakat Orang Asli terutamanya tentang makanan tradisi mereka. Saya sungguh teruja kerana berkesempatan mempelajari dua jenis masakan orang asli iaitu nasi dalam buluh dan ayam dalam buluh.

Mungkin ini bukan perkara asing kerana saya pernah membuat masakan ayam dalam buluh yang sangat terkenal dari Sarawak dikenali sebagai 'manuk pansoh' (ayam bakar dalam buluh).

Kedua-dua suku masyarakat pribumi dari Sarawak dan Semenanjung ini memanggil manuk sebagai ayam.

Orang Asli dari kaum Kintak yang menetap di Kampung Asu ini menamakan ayam masak dalam buluh sebagai 'manuk bi'. Persamaan perkataan itu merumuskan mereka adalah daripada rumpun yang sama daripada rumpun bangsa Negrito.

Saya juga sungguh tertarik dengan nasi yang dimasak dalam buluh yang juga dikenali sebagai nasi lemang. Istimewanya 'manuk bi' dan 'nasi lemang' ialah ia menggunakan bahan-bahan semula jadi yang didapati dari hutan. Mereka menggunakan buluh, daun lirik (yang menyerupai daun kunyit tetapi lebih lebar yang berfungsi sama seperti daun pisang untuk melapik bahagian dalam buluh dan memberi aroma).

Bahan-bahan perapan 'manuk bi' sangat ringkas iaitu menggunakan bawang putih, bawang merah, halia dan garam.

Ia diperap dengan ayam yang telah dipotong kecil agar mudah untuk dimasukkan ke dalam buluh. Setelah dimasuk, ia ditutup dengan daun lirik.

Untuk penyediaan nasi lemang pula, beras yang telah dibasuh akan dibalut dengan daun lirik dan dimasukkan dalam buluh sebelum dimasakkan manakala sukatan air dan beras adalah seperti memasak beras biasa.

Kemudian, kedua-dua makanan ini dibakar dengan kayu api. Proses memasak mengambil masa selama 2-3 jam bergantung kepada kemarakan api kata penduduk tempatan yang terdiri daripada kaum-kaum wanita.

Keaslian bahan sumber semula jadi yang digunakan dalam masakan mereka ini telah memberikan keunikan dan keenakan pada 'manuk bi' dan 'nasi lemang'. Rasa dan aroma buluh dan daun lirik memang terasa dan ia sungguh lazat!

Saya memuji kesedapan kedua-dua makanan yang unik ini.

Pengalaman bersama penduduk tempatan juga telah memberi ilham kepada saya mencipta resipi minggu ini untuk dikongsikan bersama pembaca.

Inspirasi resipi minggu ini lahir dari cara memasak masakan orang asli yang telah saya pelajari dengan mengolah resipi 'manuk bi' agar lebih sesuai dengan cara hidup kita yang lebih moden.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: