Monday, July 12, 2010

Menara ganti gazebo


PONDOK rehat yang seumpama pintu gerbang menuju ke menara yang terletak di belakang rumah.


DARI depan, seni ukiran Melayu lama pada bumbung kediaman ini mudah menarik perhatian sesiapa sahaja. Di belakang rumah milik Ahamad Khalil Abd. Wahab ini pula terdapat sebuah binaan seperti menara setinggi 3.7 meter yang pasti menggamit tetamu untuk menjenguknya.

Selain menara, pondok kecil yang terdapat di hadapan rumah juga berjaya menukar pandangan mengenai hiasan landskap di perumahan teres yang lazimnya terhad.

"Keluasan yang terhad menyebabkan rumah ini menjadi agak sesak apabila semua ahli keluarga berkumpul terutama sekali jika ada majlis berlangsung," ungkap Khalil, 50.

Menyingkap tabir rumah tersebut, semenjak mendiaminya pada tahun 1996, telah banyak ubahsuai yang dilakukan bagi keselesaan penghuninya.

Bagi menara yang dibina menggunakan kombinasi kayu dan batu-bata, ia memberi lebih ruang untuk anak-anak kecil bermain dan bersantai.

"Idea datang tidak dirancang. Mulanya hanya mahu satu sudut privasi untuk ahli keluarga bersantai. Hendak buat gazebo atau pondok besar, kawasan tidak mengizinkan," ceritanya sambil menaiki tangga batu menara itu.


HANYA hiasan ringkas melatari ruang di dalam menara.


Tidak sarat dengan hiasan, menara kosong itu menjadi pilihan untuk meninjau ke arah hutan yang terdapat di belakang rumah.

Menara itu berkeluasan 14 meter persegi dan dibina menggunakan kayu terpakai pada kira-kira tiga tahun lalu.

Bukan sekadar menjadi ruang bersantai atau meninjau burung atau hidupan liar, menara itu juga menyejukkan kawasan dalam rumah.

Menurut Khalil, sebelum menara itu dibina, kawasan belakang yang lapang tanpa pokok besar membuatkan ruang di dalam rumah khususnya dapur amat panas.

Menara tersebut juga membangkitkan kenangan Khalil sewaktu kecil di kampung.

Menyentuh mengenai ukiran kayu berbentuk tebar layar (segi tiga) yang mengelilingi beranda, ia lahir daripada minat yang mendalam terhadap ukiran kayu Melayu dan Indonesia.

Cengal terpakai

Saya gabungkan kedua-duanya dan hasilnya sangat memuaskan hati saya. Boleh dikatakan ia menjadi titik tumpuan di ruang laman ini.

"Malah, pintu masuk pun yang asalnya daripada jeriji besi, saya tukarkannya kepada kayu," katanya yang berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan.


TIDAK sekadar laluan berbumbung, ruang bersantai ini turut menempatkan kerusi dan meja kayu.


Bercerita lanjut, kayu terpakai menjadi pilihannya kerana ia menjimatkan kos apatah lagi ia daripada spesies kayu terbaik dan tahan lasak.

Tambah Khalil, tidak semestinya barangan terpakai itu berkualiti rendah. Seperti kayu yang digunakan pada pagar dan alang pada pondok kecil di hadapan rumah, ia berkualiti tinggi.

"Tukang kayu yang membuat ubahsuai ini memilih kayu cengal terpakai yang masih utuh. Ia mampu bertahan sehingga 10 hingga 15 tahun lagi," ucap Khalil.

Secara ringkas mengenai sifat kayu, Khalil memberitahu, semakin lama dan kering kayu tersebut, ia semakin keras.

Tambahnya, ira kayu lebih terserlah pada kayu yang matang. Justeru, tidak perlu ukiran yang berlebihan kerana urat kayu tersebut dengan sendirinya menjadi daya penarik.

"Cuma kita perlu rajin menyapu syelek dan lapisan cat khas sebagai perlindungan supaya seri kayu itu tidak mati," katanya.

Dalam pada itu, minat Khalil terhadap unsur hutan diterjemahkan dalam bentuk dekorasi yang melatari landskap laman yang disempadani tembok batu dan kayu.


AHAMAD Khalil bangga dapat mengekalkan ciri kemelayuan pada rumah teresnya.


Bukan sekadar pokok yang merimbun, bumbung khas yang dibina di sepanjang laluan ke menara juga disulami dengan pokok buluh Jepun.

"Ada juga beberapa pokok buah-buahan seperti rambutan ditanam namun pokok hiasan lebih menarik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: