Monday, July 12, 2010

Eksklusif hitam putih


RINGKAS dan selesa menjadi elemen utama hiasan studio fotografi ini.


TATKALA melangkah masuk ke studio ini, kekuatan rona hitam putih yang dicalit pada dinding utama sebagai latar nyata menimbulkan aura tersendiri.

Aura tersebut semakin menyerlah apabila pemiliknya, Ikram Ismail menyulam warna merah sekali gus membangkitkan suasana ceria.

"Hitam warna kegemaran saya dan ia menjadi identiti studio fotografi ini. Apabila dijalinkan dengan warna merah, penataan lampu dan hiasan yang kebanyakannya daripada jenis krom, memberi gambaran terhadap tranformasi diri saya," katanya.

Menurut Ikram, konsep kontemporari yang ideanya dikutip melalui pemerhatian, pembacaan dan Internet cukup sebati dengan jiwanya.

Tambahnya, konsep tersebut memudahkan proses penyelenggaraan dan penjagaan terutama rutin hariannya sebagai jurufoto yang sentiasa dicemburui masa.

Untuk itu, foto menjadi pengganti utama sebagai pengubah mood berbanding perabot atau aksesori.


TIDAK hanya terhad pada fotografi, visual Ikram turut diserlahkan pada hiasan studionya dengan pemilihan warna putih.


Mendapat pendidikan dalam bidang grafik di Institut Mensa, Kuala Lumpur, ternyata visual lelaki berusia 40 tahun ini melangkaui imaginasi dalam memberi sentuhan pada studio tersebut.

Menyentuh mengenai gambar yang menyerikan dinding dan atas laci di beberapa sudut, Ikram menyatakan foto-foto tersebut banyak meninggalkan kenangan pada dirinya.

"Bukan sekadar testimonial kepada pelanggan tetapi setiap kali melihat gambar yang dihasilkan, ia memberi inspirasi kepada saya dan krew yang lain," ungkapnya.

Almari merah

Ruang studio yang dibahagikan kepada dua sudut utama iaitu ruang pejabat dan fotografi memberi definisi terhadap penggunaan ruang yang cekap.

Malah, sebuah almari merah daripada besi yang menempatkan hasil seni Ikram menjadi titik tumpuan di ruang hadapan.

"Walaupun simple, saya amat sukakan almari itu kerana ia seperti 'penambah perisa' pada studio ini," katanya mengenai studio yang dimilikinya sejak 2006 itu.

Tidak sarat atau terlalu kosong, nyata almari itu menjadi elemen utama yang menaikkan seri susun atur ruang karyanya yang terletak di Danau Kota, Kuala Lumpur.

Di sebalik peralatan canggih, Ikram turut menggunakan aksesori antik seperti kipas lama, lukisan abstrak serta lampu bulat.


HASIL kerja seni yang dipamerkan di ruang utama bukan hanya sebagai testimonial, malah lebih kepada pengabadian momen indah. ALMARI besi merah sebagai titik tumpuan di ruang utama.


Tidak ketinggalan, jubin hitam bersaiz besar di ruang pejabat meninggalkan kesan dramatik dengan deretan gambar bingkai warna perak.

"Jam yang diletakkan bersebelahan sofa kulit tiga tempat duduk pula memberi gaya klasik Barat," ujarnya.

Ungkapnya, kesempatan mengadakan sesi fotografi di New York beberapa tahun lalu sedikit sebanyak mempengaruhi gaya Ikram menghias studio ini.

Jubin putih

Menjengah ruang khas untuk fotografi yang dipenuhi peralatan seperti sistem pencahayaan dan props, penggunaan warna putih memberi kelebihan semasa sesi penggambaran dilakukan.

"Ia memberi visual ruang yang luas dan memudahkan pencahayaan ketika penggambaran dijalankan.

"Malah, sebuah cermin besar yang terdapat di satu sudut juga membantu memberi ilusi saiz studio ini," jelas jurugambar perkahwinan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza pada 2006 ini.

Lebih menarik, deretan pelbagai saiz gambar yang disusun secara rawak seolah-olah menjadi penyambut tetamu yang melalui laluan tersebut.


GABUNGAN warna hitam, merah dan putih serta sulaman tata rias moden menyerlahkan gaya kotemporari dan peribadi Ikram.


Bercerita mengenai studio yang berlantaikan jubin putih ini, Ikram jelas menzahirkan rasa bangganya kerana di situlah dia mencurahkan hasil kreativitinya.

"Bukan saja untuk fotografi fesyen, bahkan gambar-gambar seni kreatif untuk produk, perkahwinan dan pelbagai lagi, tercipta di studio kecil saya ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: