Monday, July 12, 2010

Teres dua tingkat Syukur


RUANG TAMU tampak elegan dengan sentuhan penataan visual gaya moden.


SENTUHAN teliti pemilik dalam menata rias kediaman dapat dilihat sebaik melangkah masuk ke pintu pagar kediaman si bujang ini di Jenderam Hilir, Sepang, Selangor ini.

Bermula dengan curahan air dari tiga tingkat ornamen yang menyuntik irama damai di sebalik gantungan sabut kelapa susunan pokok hiasan yang dipagari batu rona kelabu serta putih nyata menyemarakkan hiasan laman kediaman teres dua tingkat tersebut.

Laman yang dibina di sudut kiri hadapan rumah ini turut menempatkan bangku bambu serta seleksi bungaan pelbagai warna yang rapi diatur mengikut saiz pasu.

Biarpun hanya diletakkan di atas potongan pohon kayu atau sekadar digantung bersama sabut di pagar besi, sentuhan Mohd. Syukur Sahim, 30, yang ditunjangi minat mendalam ini nyata mampu menghasilkan taman mini yang segar dan berseri.


Hiasan ringkas namun memiliki nilai estetika.


"Memang impian saya untuk memiliki taman di hadapan rumah. Walaupun begitu, aspek ruang dan keluasan amat dititikberatkan bagi mengelakkan taman kelihatan sarat sehingga nampak semak," ujarnya.

Melangkah masuk ke ruang tamu, terserlah palitan warna krim yang mendominasi kediaman.

Warna asal ini dikekalkan oleh Syukur walaupun pada mulanya beliau mahukan dinding yang serba putih.

"Warna krim nampak mudah untuk disuai padan dengan campuran pelbagai warna.

"Namun, ia tetap memberi cabaran kepada saya untuk menjalankan kerja-kerja menghias apatah lagi saya gemarkan perabot daripada warna tanah," tutur guru muda ini.

Tidak fokus kepada mana-mana konsep hiasan, Syukur akui beliau menghias kediaman miliknya ini melalui gerak hati.

Selain itu, beliau merujuk beberapa majalah dekorasi dan meninjau dari satu kedai ke satu kedai untuk mencari ilham dalam memilih material ornamen berunsur rekaan moden.


TAMAN mini menjadi eksperimen Syukur dan nyata sentuhan anak muda ini menjadi.


Red Apple

Dengan perbelanjaan yang tidak terlalu tinggi, Syukur menggarap pesona ruang tamu seiring dengan aspek fungsi dan nilai estetika.

"Saya mementingkan keadaan yang selesa walaupun mendiami rumah ini seorang diri.

"Jadi, apa yang saya rasa sesuai, saya akan hias tanpa meletakkan sebarang konsep.

"Saya juga akui agak teliti dalam memilih perabot dan menata reka letak hiasan di bahagian ini.

"Saya tidak mahu ruang tamu dibebani dengan hiasan yang terlalu sarat hingga menjadikannya sempit," katanya.

Berpegang pada prinsip itu, reka bentuk perabot, ornamen dekorasi dan pokok hiasan digarap dengan sebaik mungkin supaya sesuai dengan warna serta ruang.

Apa yang jelas adalah di dalam ruang yang membenarkan banyak pergerakan bebas ini, pemiliknya menampakkan pelbagai sisi cita rasa bergaya.

Menurutnya, kediaman empat bilik yang baru didiami tujuh bulan itu ditata rias agar serasi dengan jiwanya yang mengutamakan kualiti istirehat ketika berada di rumah setelah seharian bekerja.

Meminati rangkaian perabot daripada Red Apple, Syukur bijak memanfaatkan ruang kediaman dengan membahagikan kepada empat bahagian asas iaitu ruang tamu dan menonton, ruang santai ruang makan dan ruang dapur.

Tidak sekadar itu, keupayaan Syukur memilih perabot, warna dan aksesori mampu memberi kejutan dan membangkitkan rasa kagum kepada tetamu yang datang berkunjung sekali gus berjaya menjadikan ruangan di rumahnya, tidak kira sama ada laman, ruang tamu mahupun ruang makan, tampil penuh karakter.

Memilih sofa gabungan krim-mocha dengan meja lebar dengan kemasan kayu serta cermin, set perabot di ruang tamu cukup sesuai untuk lelaki solo sepertinya.

Menarik di ruang tamu ialah lampu yang tampil dengan batang melentur.

Selain bertujuan untuk mengukuhkan konsep hiasan moden dan menjelmakan sudut titik fokal, ia juga seiring dengan kehendak Syukur yang mahukan lampu itu sebagai pelengkap fungsi ruang.


RUANG kosong di tingkat atas dijadikan gim mini untuk jejaka ini beriadah di dalam rumah.


Mengambil keputusan untuk tidak membina feature wall, Syukur lebih suka memilih lukisan abstrak dengan kemasan cat akrilik dan bingkai gambar kayu sebagai hiasan dinding.

"Saya tidak berbelanja besar untuk mengubah suai rumah malah bentuk dan cat asalnya masih dikekalkan.

"Saya hanya menampal plaster siling agar kelihatan lebih elegan," katanya.

Ukur perabot

Enggan meletakkan kabinet besar untuk menyimpan koleksi peribadi, Syukur lebih senang memilih kotak pasang siap, gabungan kayu dan kaca yang kelihatan lebih unik selain mampu menjimatkan ruang.

"Saya bawa pita pengukur ke kedai perabot dan mengukurnya sebelum membeli. Saya tidak mahu terlalu banyak ruang yang terpaksa ditutup dengan perabot," ujar Syukur.

Masih memilih padanan warna krim dan mocha di kamar tidur di tingkat atas, aksesori dan kemasan di bilik ini tidak kurang menariknya biarpun nampak ringkas.

Bidai kayu sengaja dipilih sebagai penyaring sinar suria yang menyilaukan memandangkan sifatnya yang tahan lama selain tidak rumit untuk dibersihkan.

"Saya mahukan bilik tidur yang tidak mempunyai fungsi kesibukan kerja.

"Cukuplah ia bersih dan menenangkan serta dihias sesuai untuk tujuan istirehat dan mencipta ketenangan," ujarnya.

Tidak hairanlah, di kamar utama ini, tidak banyak perabot yang ditempatkan.


KAMAR tidur dihias ringkas namun kekal kemas dan teratur.


Cukup sekadar katil, meja solek dan kerusi sebagai pelengkap ruang. Baginya, biarpun ringkas, segalanya perlu tersusun dan praktikal.

Di tingkat yang sama, ruang kosong yang menjadi penghubung antara bilik tidur utama dengan dua bilik yang lain dijadikan lokasi untuknya beriadah.

Dengan kelengkapan gimnasium yang ringkas, ruang ini tidak dibiarkan kosong, sebaliknya dihias dengan ornamen dinding dan rak yang menempatkan himpunan buku serta koleksi peribadinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: