Tuesday, July 6, 2010

Maybank IB tingkat pasaran pembrokeran


Dari kiri:Abdul Wahid Omar, Yusli Mohamed Yusof dan Ym Zafrul Aziz menekan butang pelancaran perkhidmatan H.O.T Broking di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 5 Julai - Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) menyasarkan penguasaan pasaran lebih tinggi dalam perniagaan pembrokeran saham berbanding 6.5 peratus pada ketika ini melalui pengenalan H.O.T Broking.

H.O.T Broking merupakan perkhidmatan jendela pembrokeran Islam. H.O.T diambil daripada perkataan Honest, Open dan Transparent (Jujur, Terbuka dan Telus).

Ketua Pengawai Eksekutifnya, Tengku Datuk Zafrul Aziz berkata, dengan pengenalan H.O.T Broking, sasaran itu dapat dicapai kerana perkhidmatan yang diberikan adalah berlandaskan Syariah dan boleh dipercayai.

''Pada masa ini, pelabur takut memasuki pasaran ekuiti kerana beranggapan ia berisiko tinggi dan pasaran pula berada dalam keadaan tidak menentu. Melalui produk baru ini, ia dapat mendidik pelabur kerana mereka dibantu oleh bantuan penyelidikan yang baik dan juga tentang pengurusan risiko,''

''Beberapa tahun kebelakangan ini, penguasaan pasaran Maybank IB adalah sekitar 4.5 peratus. Kami berharap ia dapat dipertingkatkan,'' katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran perkhidmatan H.O.T Broking di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd., Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Pengarah Urusan Ekuiti Maybank IB, Ami Moris dan Pengarah Bersekutu Maybank IB, Mohamed Ariff Tun Dr. Ismail.

Zafrul menambah, perkhidmatan ini bertujuan untuk membantu menangani masalah kekurangan pelabur baru berusia di bawah 40 tahun.

''Pelabur ekuiti kini mempunyai akses kepada analisis penyelidikan dan menyediakan khidmat nasihat kepada pelabur untuk menguruskan risiko pendedahan.

''Kami juga akan memastikan tiada sebarang campuran dengan saham yang tidak berlandaskan Syariah. Aspek utama lain, perkhidmatan ini mengenakan yuran dan kadar bayaran yang tetap dan dinyatakan secara terus kepada pelabur tanpa mempunyai kos tambahan,'' jelasnya.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, Kumpulan Maybank komited dalam menyokong objektif mempromosi Malaysia sebagai pusat untuk kewangan Islam.

''Berdasarkan penyelidikan yang dibuat, 61 peratus pelabur runcit yang berpotensi tidak tahu bagaimana untuk melabur dalam pasaran ekuiti dan 48 peratus menyatakan risiko yang tinggi menyebabkan mereka enggan melabur.

''Dalam bergerak ke hadapan, inisiatif utama Maybank adalah menerajui perkhidmatan berlandaskan Islam dalam menyediakan penyelesaian Islam inovatif dalam usaha membangunkan pasaran modal Islam tempatan,'' katanya.

Pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan H.O.T Broking melalui Maybank2u, di 43 cawangan Pusat Pelaburan Saham Maybank dan cawangan Maybank di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: