Monday, July 5, 2010

Kereta konsep untuk masa depan


Kereta konsep Proton.


PELBAGAI cara telah dijalankan oleh pengeluar kereta utama negara ini untuk bersaing dan mengekalkan peratusan jualan yang tinggi pada kenderaan masing-masing.

Antara langkah yang diambil adalah memperkenalkan model baru, menambahbaik model-model sedia ada, memperkenalkan ciri-ciri baru serta menurunkan harga.

Bagaimanapun, langkah-langkah itu masih belum dapat memuaskan hati sebilangan pembeli-pembeli kereta di negara ini.

Bagi mengatasi masalah ini, kereta konsep boleh memainkan peranannya yang tersendiri dalam memajukan lagi sektor automotif di Malaysia. Kereta konsep boleh dijadikan sebagai bahan menguji reka bentuk kereta yang berpotensi untuk memenuhi selera pembeli pada masa hadapan.

Walaupun terdapat beberapa kes di mana kereta konsep ini tidak dapat dikeluarkan disebabkan beberapa faktor penghalang seperti kos dan rekaan yang tidak praktikal, namun kepentingannya kepada pengeluar kenderaan tidak boleh dipertikaikan lagi.

Ia merupakan satu medium terbaik untuk menguji tahap kemampuan sesebuah syarikat pengeluar kenderaan dalam mempertingkatkan saingan mereka di masa hadapan.

Kereta konsep, terma yang digunakan bermula 1980-an, merupakan prototaip kereta yang diperbuat daripada bahan seperti lilin, tanah liat, logam, gentian kaca atau plastik bertujuan memperaga konsep, penggayaan terbaru serta teknologi masa hadapan.

Bertepatan dengan perkataan ‘konsep’ yang begitu sinonim dengan artis dan pereka, kereta konsep boleh diibaratkan sebagai satu manifestasi seni seseorang pereka kereta dalam mengetengahkan eksplorasi idea mereka untuk dihidangkan kepada khalayak.

Lantaran itu, tidak hairanlah jika sesebuah kereta konsep yang dipamerkan lebih mementingkan kepada aspek penggayaan luaran berbanding teknologi baru.

Kereta ini biasanya akan dipertontonkan kepada umum pada pameran kereta antarabangsa yang dihadiri oleh pembeli dan peminat kereta, pengedar dan pengeluar.

Sejarah

Mengimbau sejarah automobil yang dilahirkan di Jerman pada 1886, ia lebih tertumpu kepada aspek mekanikal dan bukannya reka bentuk dan penggayaan luaran badan kereta.

Sehinggalah pada tahun 1938, Harley J. Earl, Naib Presiden Bahagian Penggayaan General Motors telah memperkenalkan kereta idaman atau kereta eksperimental yang pertama di dunia yang dinamakan Y-Job.

Dengan menawarkan pembeli dengan aspek kejuruteraan dan penggayaan terkini, rekaan ini telah mendapat sambutan yang begitu hangat sehinggakan syarikat mereka menjadi begitu popular dalam sekelip mata sahaja.

Melihat kepada senario ini, General Motors seterusnya memperkenalkan kereta konsep mereka melalui pameran bergerak yang dinamakan Motorama Shows.

Kebanyakan kereta yang diperkenalkan mereka pada masa itu berkonsepkan cantik bila dipandang, reka bentuk futuristik dan radikal, enjin yang berkuasa dan kadang-kala memperkenalkan teknologi yang kontroversial.

Antara kereta konsep yang paling unik dan radikal pernah dipamerkan ialah kereta Concept 2096 yang telah dipamerkan di Pameran Auto Britain pada tahun 1996.

Apa yang menarik, kereta yang berkonsepkan binatang air yang berkulit keras ini adalah hasil usahasama pelajar dan pensyarah daripada Conventry University, United Kingdom.

Berbalik kepada senario di Malaysia, kereta konsep sebenarnya pernah suatu ketika dahulu diperkenalkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sekitar Oktober 1993 melalui satu pertandingan reka bentuk peringkat nasional. Tujuan utama diadakan pertandingan ini ialah untuk mencungkil kreativiti rakyat tempatan serta merangsang minda dengan idea-idea baru di bidang automotif.

Sambutan yang diterima daripada rakyat Malaysia terhadap pertandingan ini amat memberangsangkan dengan 115 penyertaan diterima.

Namun, agak malang sedikit, selepas pertandingan ini diadakan, tiada usaha-usaha berterusan daripada pengeluar kenderaan tempatan untuk menjadikan kereta konsep sebagai satu pelaburan penting dalam memenuhi selera pembeli dan sekaligus mempertingkatkan saingan mereka di pasaran masa hadapan.

Dengan jumlah pengeluaran kereta penumpang yang diramalkan akan mengalami sedikit peningkatan berbanding tahun lepas, industri automotif di Malaysia dilihat mempunyai banyak ruang untuk terus maju dan berkembang pada masa hadapan.

Memandangkan selera pembeli kereta di negara ini pada hari ini dilihat begitu mementingkan aspek penggayaan badan kereta, maka pengenalan kereta konsep diyakini dapat memenuhi keperluan itu.

Diharap dengan memperkenalkan kereta konsep ini, maka kereta yang akan dihasilkan nanti benar-benar sesuai dengan pembeli, mampu dimiliki dan memenuhi keperluan golongan sasar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: