PERTAMA kali bertentang mata dengan Henry Golding atau Henry adalah dua tahun lalu. Ketika itu dia baru diumumkan sebagai ahli keluarga baru program 8TV Quickie. Saat itu, dia masih baru di Malaysia selepas 15 tahun menetap di England, malah tutur katanya juga masih pekat dengan slanga masyarakat England.
Namun hari ini, Henry nampaknya sudah biasa dan semakin sebati dengan kehidupan di Malaysia. Jauh menyimpang dari hasratnya ketika mula-mula menjejakkan kaki di Malaysia. Niatnya kala itu, dia sekadar mahu melawat Malaysia dan dia memberi tempoh hanya tiga minggu untuknya bertahan di sini.
Bagaimanapun sekarang, dia sendiri tidak menyangka sudah mencecah lebih dua tahun menetap di Malaysia. Kerjayanya yang dimulakan di stesen televisyen 8TV juga semakin berkembang. Wajahnya pula menjadi pilihan sebagai pelaris produk, selain mula mencuba nasib sebagai pelakon.
Katanya, sejak dari awal dia tahu yang dia bakal dan mempunyai keinginan untuk menjadi seorang pelakon. Justeru, dia hanya menunggu peluang itu datang sebelum menyambarnya. Setakat hari ini, dia pernah terlibat dalam drama Goda dan membuat penampilan cameo menerusi filem lakonan utama Maya Karin dan Nur Fazura iaitu Pisau Cukur.
"Saya memang suka berlakon dan ingin menjadikan lakonan sebagai satu kerjaya saya. Tetapi sekarang, lebih banyak peluang diraih menerusi kerjaya sebagai pengacara, begitu juga dengan peragaan.
"Untuk bidang lakonan, saya masih memerlukan latihan dan saya banyak mendapat tunjuk ajar daripada teman-teman antaranya pelakon Jehan Miskin. Dia seorang pelakon yang hebat dan berkarisma, masalahnya adalah saya tidak berapa fasih bertutur dalam bahasa Malaysia dan kini masih dalam proses pembelajaran," ujarnya tidak berselindung.
Jelasnya lagi, dia pernah membuat lawatan pendek ke Hong Kong untuk meninjau peluang melebarkan sayap ke sana. Dia mendapati untuk menyertai bidang seni di sana, dia harus bermula dari bawah dan menjadi sebahagian komuniti di sana sebelum diterima oleh industri seni Hong Kong.
Tidak mahu membuang banyak masa, Henry segera pulang ke Malaysia dan menyedari betapa bertuahnya dia berada di Malaysia.
"Mungkin belum masanya. Saya dikira bertuah kerana terbang ke Malaysia tanpa sebarang perancangan. Tidak ada asas dalam bidang penyiaran kerana ketika di London saya hanya seorang pendandan rambut. Kini saya sudah mempunyai kerjaya yang membuatkan saya mampu berdiri dengan kaki sendiri tanpa bantuan keluarga.
"Peluang yang saya perolehi di sini juga tidak akan disia-siakan. Saya berterima kasih kepada 8TV. Sejak bersama 8TV Quickie, saya dapat banyak tawaran untuk peragaan dan pengacaraan. Mungkin sebab itu saya seakan-akan ada ikatan dengan 8TV," tutur jejaka berusia 23 tahun itu.
Terbaru, Henry kini terpaksa berulang-alik antara Singapura dan Malaysia kerana dia juga mengendalikan program Football Crazy di saluran sukan antarabangsa ESPN yang berpangkalan di Singapura.
"Walaupun penat, saya tidak kisah. Bagi saya biar penat kerana sibuk kerja daripada penat tanpa melakukan apa-apa. Mahu tidak mahu saya sentiasa berulang-alik antara Malaysia dan Singapura.
"Saya masih mempunyai tawaran di Malaysia dalam masa yang sama saya mempunyai pekerjaan tetap di Singapura, jadi saya harus pandai membahagikan masa supaya saya boleh melakukan dengan baik untuk semua kerja," luahnya.
Pusing Malaysia
Jejaka kacukan Inggeris (bapa) dan Iban (ibu) itu kini kembali bersama 8TV dalam program kembara yang berjudul Welcome To The Rail World. Menariknya dalam program ini, Henry selaku pengacara bakal menjelajah ke seluruh Malaysia dengan menaiki kereta api.
Mengakui seronok dan teruja menjelajah setiap pelosok kampung, Henry menyifatkan tugasnya selaku pengacara program tersebut antara tugasnya yang paling seronok.
"Bayangkan saya akan jelajah dari selatan ke utara dan dari barat ke timur dengan menaiki kereta api sahaja. Contohnya dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru mengambil masa 12 jam, jadi dalam sebulan saya tidak tahu berapa jam saya berada dalam kereta api.
"Sebenarnya cukup menarik kalau menggembara naik kereta api, memang masanya agak lama tetapi saya dapat lihat pemandangan yang saya tidak pernah lihat kalau saya menggunakan bas atau kapal terbang," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran program tersebut baru-baru ini.
Selain menaiki kereta api, program sebanyak 10 episod itu juga akan meninjau lokasi-lokasi menarik dan homestay di seluruh Malaysia seperti Kuala Kubu Baru, Taiping, Gemas, Langkawi, Arau dan Melaka.
Tambah Henry, tidak sukar buatnya untuk mengendalikan program secara berseorangan kerana dia sendiri pernah tinggal selama enam tahun di Terengganu.
"Walaupun saya bukan rakyat Malaysia tetapi saya dilahirkan di Sarawak, ibu saya berketurunan Iban. Saya pernah tinggal di Terengganu sebelum berpindah ke England sewaktu usia tujuh tahun.
"Saya juga pernah melawat saudara- mara di Sarawak, jadi saya tidak kekok untuk mengacarakan program ini, malah, saya mempunyai masa yang cukup seronok dan mengenali ramai orang sepanjang penggambaran," katanya tentang penggambaran yang mengambil masa selama sebulan itu lagi.
|
|
Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakannya adalah tinggal dan melakukan pelbagai aktiviti bersama penduduk kampung . Merasa sendiri masakan gulai tempoyak benar-benar menukarkan seleranya daripada barat kepada Malaysia.
"Siapa kata saya tidak makan tempoyak. Ia antara makanan paling sedap pernah saya makan, walaupun saya telah lama tinggalkan Malaysia tetapi kalau sudah mempunyai darah orang di sini, mana mungkin saya lupakan asal-usul saya. Sebelum ini saya pernah makan gulai tempoyak tetapi ketika penggambaran ia masih segar dan berbeza dengan yang dijual di Kuala Lumpur.
"Satu perkara lagi, saya tidak boleh lupakan pemandangan indah di Tasik Chini. Saya sifatkan Tasik Chini antara tempat paling cantik pernah saya lawati tambahan ketika matahari terbenam," ucapnya turut sempat melawat kampung Orang Asli.
Program Welcome To The Rail World yang mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan Malaysia, Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan Canon itu dipersembahkan dalam dwibahasa akan menemui penonton mulai 21 Julai depan, pukul 9.30 malam hanya di 8TV.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: