MEMANG ini bukan peluang pertama buat Amy Search berkongsi pentas dengan bintang antarabangsa. Sebelum ini vokalis rock legenda tanah air ini pernah membuat persembahan bersama beberapa grup antarabangsa termasuk Scorpions.
Namun, lamaran yang dibuat oleh syarikat penerbangan Firefly untuk beraksi sama dengan figura hebat bernama Slash adalah berita yang cukup mengujakannya. Sementelah, pemain gitar grup Gun N' Roses ini memang merupakan idolanya sejak dahulu lagi.
Begitu mengagumi Slash yang ditafsirkan Amy sebagai pemain gitar yang seksi dengan persona sendiri, Amy dijadualkan memainkan lapan buah lagu yang tujuh daripadanya merupakan lagu solo sementara satu daripada kumpulan Search.
Walaupun hanya akan menjadi artis pembuka konsert julung-julung kali Slash dalam siri konsert Slash Live in Kuala Lumpur 2010 pada 5 Ogos depan di Surf Beach @ Sunway Lagoon, kata Amy, dia sesekali tidak akan melepaskan peluang keemasan ini.
Disogok dengan persoalan walau dia teruja membuka pentas konsert kerana mampu bermain satu pentas dengan Slash, tetapi realitinya orang mahu melihat Slash, bukan dirinya, Amy tetap positif.
Rasionalnya, kata Amy yang berjanji akan memberi sebuah persembahan progresif, dia tahu banyak orang mempunyai persepsi seperti itu (dia sebagai penyeri dan tidak penting berbanding Slash).
"Tapi saya percaya, untuk bermain di atas satu pentas dengan Slash adalah peluang keemasan yang tidak pernah saya duga. Jika ada yang berpendapat saya hanya sebagai penyeri konsert dan orang tidak sabar menonton Slash, realitinya, mereka harus menonton persembahan saya dahulu.
"Jika saya mampu menarik sekurang-kurangnya 10 peratus perhatian peminat Slash pada malam itu untuk menyaksikan persembahan saya, itu sudah cukup bagus. Ini kerana sebelum Slash, saya adalah sebahagian daripada konsert itu yang harus ditonton," ujar Amy optimis sewaktu ditemui dalam sidang media pengumuman dirinya sebagai pembuka konsert Slash baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Firefly, Angelina Fernandez menjelaskan, pemilihan Amy sahaja tanpa Search sebagai pembuka konsert Slash adalah relevan dengan konsert tersebut.
"Ini merupakan konsert Slash solo tanpa Gun N Roses. Jadi kami berpendapat, ia sesuai dengan hanya menjemput Amy secara solo untuk konsert ini juga. Saya percaya peminat akan berpuas hati kerana hanya dengan satu tiket, mereka dapat menyaksikan dua legenda beraksi dalam satu masa," ujar Angelina yang turut memberitahu Firefly amat berbesar hati dengan penganjuran julung kali majlis hiburan yang selaras dengan agenda pelancongan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: