Saturday, July 10, 2010

Masjid medan promosi ah long


RISALAH pinjaman wang ah long yang diedarkan
di masjid-masjid untuk mencari pelanggan di kalangan orang Melayu.


KUALA LUMPUR - Sebelum ini, 'profesion' ah long selalunya dikaitkan dengan kaum Cina yang memonopoli kerjaya itu.

Modus operandi mereka biasanya mengenakan bunga yang mencekik darah dan sinonim dengan taktik ganas bagi mendapatkan bayaran balik daripada peminjam.

Terbaru, sindiket berkenaan dikesan bersekongkol dengan ah long-ah long Melayu dengan mengedarkan risalah-risalah promosi pinjaman di tempat-tempat tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai.

Malah ketika orang Islam menunaikan solat Jumaat di beberapa tempat di sekitar Lembah Klang semalam, risalah-risalah dikepil pada kereta ketika mereka bersolat.

Selain di masjid-masjid, mereka juga dikesan memilih kedai-kedai makan atau restoran Melayu untuk mereka supaya meminjam wang melalui ceti haram yang dikendalikan.

Bagi pengasas dan penasihat Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKMM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya, taktik itu dibuat semata-mata bagi mengelabui mata orang ramai kerana berbanding sebelum ini, nama-nama ah long adalah terdiri daripada orang-orang Cina sudah tidak mendapat respon baik di kalangan pemiutang berketurunan Melayu.

"Mereka ini sebenarnya bertindak seperti ejen bagi tauke-tauke Cina sebab Melayu senang cakap dengan Melayu," ujarnya yang juga Pengerusi Persatuan Pelindung Pengguna Islam Selangor ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, kajian YBKMM di sekitar Lembah Klang, terdapat lebih 100 ah long Melayu dan mereka kebanyakan bekerja atau bersekongkol dengan tauke-tauke Cina yang masih ligat mencari pelanggan.

Selain taktik ah long Melayu, Shaharuddin berkata, sindiket itu juga semakin tertekan untuk mendapatkan pelanggan sehingga terpaksa mencari pelanggan dengan cara menelefon secara rambang orang ramai.

"Sesiapa yang angkat telefon mereka ditanya sama ada mereka mempunyai masalah kewangan atau tidak. Dalam ramai-ramai itu biasanya ada yang terkena," jelas beliau.

"Untuk memudahkan urusan, ah long Melayu akan pasang kaki di kawasan-kawasan tertentu. Sasaran mereka lebih menjurus kepada peniaga-peniaga kecil yang punyai niat untuk besarkan perniagaan mereka," jelasnya.

Tambahnya, jumlah pinjaman yang diberikan tidak besar dengan nilai maksimum sebanyak RM2,000.

Bagaimanapun katanya, belum ada kes ah long-ah long Melayu ini melakukan kekerasan seperti kes melibatkan ah long berbangsa Cina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: