KUALA LUMPUR - Novel bertajuk Impuls/Roh ternyata memberi tuah kepada Sri Rahayu Mohd Yusop apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori novel remaja sempena Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) ExxonMobil 2009.
Dengan kemenangan tersebut, Sri Rahayu membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000 dan hadiah iringan pada majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Md. Nizar Parman dengan novel bertajuk Silir Dak Sina dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Norziati Mohd. Rosman dengan novel, Dayung Sudah Di Tangan.
Kedua-duanya membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,500 dan RM3,000.
Pada HSKU 2009, seramai 26 penulis berjaya merangkul pelbagai anugerah dalam enam kategori iaitu novel remaja, cerpen, cerpen remaja, puisi, kajian dan rencana sastera.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan Pengerusi Subsidiari-subsidiari ExxonMobil Malaysia, Hugh W. Thompson.
Pada majlis yang sama, turut berlangsung upacara penyampaian cek penajaan ExxonMobil berjumlah RM100,000 dan majlis pelancaran buku Hadiah Sastera 2009.
Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya menjelaskan HSKU dianggap sebagai kesinambungan kepada perjuangan Utusan Melayu yang tidak pernah luntur dalam usaha memajukan warisan seni dan budaya tanah air.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: