Saturday, July 10, 2010

Joli wang haram sampai Turki


mun phing (tengah) menunjukkan pelbagai barangan dirampas
daripada anggota sindiket kad kredit palsu di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Kegembiraan tiga lelaki dan sepasang suami isteri yang melancong hingga ke Istanbul, Turki sambil berbelanja sehingga mencecah RM100,000 berakhir dengan mereka 'disambut' pasukan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang kelmarin.

Kelima-lima suspek itu ditahan pada pukul 5.50 petang sebaik mereka baru menjejak kaki ke balai ketibaan di lapangan terbang itu.

Bersama kelima-lima suspek itu, polis merampas pelbagai barangan berjenama seperti beg tangan, dompet, pakaian dan kasut yang dianggarkan bernilai RM100,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, siasatan mendapati mereka yang tiada pekerjaan itu menggunakan kad kredit palsu untuk berbelanja di Istanbul.

Menurut beliau, daripada rekod perjalanan pada pasport kelima-lima suspek itu, mereka hanya menginap sehari di Istanbul dan dalam tempoh itu mereka hanya melakukan kerja-kerja membeli-belah menggunakan kad kredit palsu.

"Bersama suspek-suspek itu kita merampas 66 kad kredit palsu pelbagai buah institusi kewangan yang dipercayai digunakan untuk membeli semua barangan di Istanbul untuk dijual di negara ini," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Mun Phing memberitahu, polis percaya kelima-lima suspek itu merupakan anggota sindiket pemalsuan kad kredit antarabangsa yang aktif melakukan jenayah itu sejak Mac lalu.

"Selain lima suspek itu, polis sebelum ini turut menahan enam lagi anggota sindiket pemalsuan kad kredit antarabangsa daripada kumpulan sama," kata beliau.

Menurut beliau, seorang ahli sindiket tersebut ditahan pada 19 Jun lalu di KLIA ketika suspek menunggu penerbangan ke Istanbul, Turki.

"Suspek dipercayai mahu ke Istanbul untuk menggunakan 13 kad kredit palsu untuk membeli-belah pelbagai barangan bagi dijual di sini," kata beliau.

Ekoran tangkapan itu, polis kemudian menyerbu sebuah apartmen di Seksyen 31 di sini pada 23 Jun dan menahan lima lelaki termasuk perancang utama sindiket tersebut yang berusia 35 tahun.

Bersama-sama lima suspek yang ditahan di Seksyen 31 itu polis merampas lima kad kredit palsu.

Mun Phing memberitahu, pihaknya percaya modus operandi sindiket itu ialah melancong sambil membeli-belah pelbagai barangan di luar negara menggunakan kad kredit palsu.

Anggota sindiket itu dipercayai mempunyai pembeli tetap barangan yang dibawa dari Turki.

"Polis sedang menyiasat kenapa ahli sindiket itu memilih Turki untuk membeli-belah dan kemungkinan masih ada saki-baki sindiket itu," kata beliau.

Enam suspek yang ditahan pada 19 dan 23 Jun lalu telah didakwa manakala lima suspek yang ditahan kelmarin direman empat hari bermula semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: