
PORT ELIZABETH - Jurulatih Jerman, Joachim Loew kagum dengan persembahan anak-anak buahnya selepas berjaya menewaskan Uruguay 3-2 untuk menamatkan kempen Piala Dunia 2010 di tempat ketiga awal pagi semalam.
Kejayaan itu sekurang-kurangnya mampu mengubat kekecewaan mereka selepas disingkirkan oleh Sepanyol dalam misi memburu tempat ke final minggu lepas.
Meskipun ketinggalan 1-2 di awal babak kedua selain beraksi tanpa dua penyerang utama, Jerman berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Marcell Jansen dan lapan minit selepas itu, Sami Khedira menghadiahkan gol kemenangan.
"Kedua-dua pasukan mahukan kejayaan dan sepanjang perlawanan itu peluang yang diperoleh adalah seimbang," kata Loew.
"Saya kagum melihat cara pemain saya melancarkan serangan dan mereka memang layak untuk menang.
"Kami tahu amat penting untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan dan pemain-pemain saya nampaknya berpuas hati dengan kejayaan ini."
Kata Loew lagi, tiada sebab untuk kecewa apabila melihat pasukannya yang rata-rata dibarisi pemain muda telah membenam Australia, England dan Argentina sebelum tewas kepada Sepanyol di separuh akhir.
"Piala Dunia 2010 sukar untuk dilupakan. Kami telah bekerja keras untuk melangkah sejauh ini. Sebahagian besar pemain tidak mempunyai pengalaman beraksi dalam kejohanan terbesar seperti ini.
"Apa yang paling saya banggakan ialah pasukan saya telah menunjukkan kehebatan di dalam dan luar padang.
"Mereka bermain sebagai satu pasukan. Selepas tewas kepada Sepanyol, semua berada dalam keadaan tertekan, tetapi tiada apa yang perlu dikesalkan. Kami akan pulang dengan rasa tenang dan bangga."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: