Thursday, July 29, 2010

Kuda dibiar bebas atas tanah kubur


BEBERAPA ekor kuda meragut rumput dan dibiarkan berkeliaran di Tanah Perkuburan Islam Masjid Rahmania, Kampung Indah, Jempol semalam.


JEMPOL - Kuda biasanya ditempatkan di zoo ataupun ladang peliharaan, namun di daerah ini haiwan itu dapat dilihat berkeliaran di Tanah Perkuburan Islam Masjid Rahmania, Kampung Indah dekat sini.

Lebih tidak menyenangkan penduduk setempat, kehadiran beberapa ekor kuda di kawasan berkenaan telah menyebabkan kerosakan pada banyak batu nisan selain meninggalkan najis di atas kubur.

Penjaga kubur tersebut, Ahmad Ariffin Samsudin memberitahu, tiga ekor kuda mula memasuki kawasan kubur tersebut sejak hampir empat tahun lalu.

"Kuda-kuda ini akan lari apabila dihalau, tetapi kemudian datang semula.

"Setiap hari ada sahaja batu nisan yang jatuh selain najis kuda yang bersepah sehingga di atas kubur.

"Saya harap pihak berwajib dapat berbuat sesuatu untuk menangani masalah ini," ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol (MDJL), Datuk Mohd. Yusuf Yunus berkata, beliau kesal dengan masalah tersebut dan akan mengambil tindakan bagi memastikan pekara itu tidak berlarutan.

"Pihak kami akan mengeluarkan notis kepada pemilik kuda terbabit supaya menjaga haiwan ternakan itu dengan betul.

"Seandainya pemilik itu masih gagal menjaga haiwan tersebut, MDJL akan mengenakan kompaun ke atas mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: