Thursday, July 29, 2010

Lelaki didakwa cederakan isteri


MOHD. ZAID dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang semalam atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya.


AMPANG - Seorang lelaki yang tergamak mencederakan isterinya dengan membaling kerusi kayu ke arah wanita itu sehingga mangsa cedera parah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam.

Sheikh Mohd. Zaid Sheikh Said, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas Marina Hashim, 33, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azaraorni Abdul Rahman.

Zaid seorang penganggur didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Nirwana 36, Taman Nirwana di sini pada pukul 7 pagi 21 Julai lalu.

Semasa kejadian tertuduh didakwa baru sampai ke rumah dan membaling kerusi ke arah isterinya selepas wanita itu didakwa enggan membuka pintu rumah.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah ke atas isterinya dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nazatul Shima Abdul Wahab menawarkan jaminan RM5,000 bagaimanapun dibantah peguam Adenan Ismail yang mewakili tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula.

Di mahkamah sama, tertuduh turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang penjawat awam, Asisten Supritendan Saheela Abu Bakar dengan menendang paha dan kaki kanan pegawai polis wanita itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: