Thursday, July 1, 2010

Kolej Sains dan Kejururawatan Islam WP diperluas

PUTRAJAYA 30 Jun – Kolej Sains dan Kejururawatan Islam Wilayah Persekutuan bakal diperluaskan bagi memberi peluang kepada anak-anak golongan fakir dan miskin mendapat pelajaran dalam bidang itu sekali gus keluar dari kepompong kemiskinan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, selain menjamin peluang pekerjaan, langkah ini bertepatan untuk mengisi keperluan negara yang kekurangan profesion itu.

Sehubungan itu, kata beliau, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diarahkan untuk mencari kira-kira 13,000 golongan asnaf bagi merebut peluang tersebut.

“Anak-anak mereka tentu ada yang ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan syarat ini kita akan gunakan sebagai kelayakan untuk menyambung pelajaran di kolej ini.

“Jadi, apabila mereka belajar dalam tempoh tiga tahun, mereka bukan sahaja keluar daripada garisan kemiskinan malah membantu keluarga mereka iaitu golongan asnaf yang dibantu tiap-tiap bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima wang zakat bernilai RM602,212 daripada Percetakan Nasional Berhad (PNMB) untuk diserahkan kepada Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ) di sini hari ini.

Jamil Khir berkata, walaupun kolej itu yang mempunyai 300 pelajar dan terbuka kepada semua rakyat negara ini, ia bagaimanapun lebih memberi tumpuan kepada golongan fakir dan miskin untuk menyambung pelajaran mereka di situ.

Jelasnya, yuran pengajian di kolej itu akan ditampung oleh MAIWP bagi mereka yang kurang berkemampuan.

“Kini lebih separuh daripada pelajar sedia ada dibantu oleh MAIWP dari segi bayaran yuran pengajian.

“Ini strategi kita melihat pusingan wang tabung zakat ini secara berterusan di samping keuntungan melalui Hospital Pusrawi disalurkan semula kepada wang tabung MAWIP bagi membantu golongan tidak bernasib baik,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: