Thursday, July 1, 2010

Patuhi jadual imunisasi


Kanak-kanak memperoleh banyak manfaat daripada program suntikan vaksin yang diperkenalkan oleh kebanyakan negara di dunia.


PROSES imunisasi telah berjaya meningkatkan kesihatan, tempoh hayat dan kesejahteraan berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia.

Melalui proses itu kanak-kanak memperoleh manfaat daripada vaksin-vaksin yang dihasilkan.

Tetapi malang sekali, hari ini masih terdapat ibu bapa mengabaikan atau tidak menyedari kepentingan imunisasi kepada anak-anak mereka.

Sesetengah ibu bapa pula ditakutkan dengan laporan-laporan yang mengatakan bahawa ada kemungkinan sesetengah vaksin akan memberikan kesan-kesan sampingan.

Tetapi hakikatnya ialah risiko kepada kesihatan anak anda akan menjadi lebih teruk jika mereka tidak diberikan suntikan imunisasi.

Sebagai ibu bapa bertanggungjawab, anda perlu memastikan anak- anak mendapat kesemua vaksin yang telah disyorkan.

Menurut Pakar Pediatrik, Hospital Pusrawi Sdn. Bhd. (Hospital Pusrawi), Dr. Ruzini Abd. Ghani, vaksin yang diguna pakai adalah selamat dan lazimnya tidak ada masalah selepas suntikan.

Tambah beliau, kesan sampingan jika ada hanya merupakan tindak balas yang ringan seperti demam, kemerahan atau kebengkakan di tempat suntikan malah jarang sekali terjadi tindak balas yang membahayakan.

‘‘Apabila anak anda diberikan sesuatu vaksin, dia sebenarnya disuntik dengan kuman yang telah dilemahkan atau organisma yang telah dibunuh.

‘‘Vaksin ini boleh merangsang badannya untuk menghasilkan antibodi yang akan melindunginya daripada penyakit-penyakit yang berbahaya apabila diperlukan.

‘‘Prosedur pemberian imunisasi ini dijalankan mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ini merupakan perlindungan seumur hidup mereka,’’ ujarnyai.

Jelas beliau lagi, imunisasi perlu diberikan pada usia-usia tertentu untuk keberkesanan serta perlindungan yang maksimum.

Katanya, anak-anak sepatutnya mendapat kebanyakan imunisasinya sebelum menyambut hari lahirnya yang kedua.

Ini akan melindunginya daripada 10 penyakit utama seperti tuberkulosis (batuk kering), polio, campak, benguk, rubela, pertusis (batuk kokol), difteria, tetanus, penyakit-penyakit yang disebabkan oleh haemophilus influenza (Hib) dan hepatitis B.

Terdapat juga beberapa imunisasi lain untuk pelbagai penyakit-penyakit menular termasuk cacar air (chicken pox), cirit-birit, influenza, rabies, meningitis meningokokal, jangkitan pneumokokal dan hepatitis A.

Mengulas lanjut mengenai imunisasi, Dr. Ruzini berkata, di negara ini, perkhidmatan imunisasi disediakan secara percuma oleh pusat kesihatan dan dikenakan sedikit bayaran oleh klinik atau hospital swasta.

‘‘Jadual imunisasi merupakan aspek yang perlu diambil berat oleh orang ramai kerana pemberian imunisasi yang terlalu lewat sukar untuk mencegah penyakit tersebut.

‘‘Jumlah dos juga perlu diambil kira kerana dos yang tidak mencukupi tidak akan memberikan perlindungan yang mencukupi,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: