|
|
SAYA seronok dengan kerjaya saya sekarang. Ia seperti kanak-kanak yang bermain mekap dengan kawan-kawan jujur," kata Maselma Masdon, gadis manis yang ditemui di ibu pejabat Mary Kay, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Pun begitu, apabila mendengar pendapatan yang diperoleh daripada 'kerja main-main mekap' itu, penulis kagum dengan kejayaan yang diperoleh oleh Maselma.
Pada usia semuda 27 tahun dan masih solo, dia sudah memperoleh pendapatan mencecah lima angka sedangkan ramai lagi yang sehingga pencen pun tidak mampu untuk mendapat gaji sebanyak yang diperoleh olehnya.
Memegang jawatan sebagai pengarah jualan Mary Kay, sebuah syarikat kosmetik beribu pejabat di Dallas, Amerika Syarikat sejak tiga tahun lalu, Maselma berjaya memperoleh jualan sebanyak AS$800,000 (RM2.8 juta) pada tahun lalu.
Jumlah ini merupakan satu jumlah yang besar bagi seseorang yang baru menyertai syarikat tersebut apatah lagi pada usianya yang masih muda.
Kejayaan Maselma ini memberi dorongan dan semangat kepada adiknya Maselda yang turut menyertai Mary Kay dan memperoleh jualan sebanyak AS$700,000 (RM2.4 juta) tahun lepas.
Kejayaan dua beradik ini menjadikan mereka diiktiraf sebagai pengarah jualan Mary Kay yang termuda di Malaysia. Ini melayakkan setiap seorang daripada mereka untuk memiliki sebuah kereta Toyota Altis Eksekutif merah jambu bernilai RM112,000 dan merupakan yang termuda di Asia Pasifik yang menerimanya.
Menurut Maselma, hanya terdapat 30 buah sahaja kereta sedemikian di Malaysia dan mereka merupakan adik beradik pertama dalam Mary Kay yang dianugerahkan kereta tersebut.
Lima tahun menyertai Mary Kay, setiap tahun itu juga dia mendapat pengiktirafan dan menerima pelbagai insentif seperti cincin berlian, percutian percuma ke Bangkok, China, Amerika Syarikat dan Australia.
Dengan pendapatan yang diperoleh juga Maselma berpeluang menunaikan fardu haji dan membawa ibu bapa dan adik beradiknya bercuti setiap tahun ke luar negara.
Berkongsi kejayaannya, Maselma yang berkelulusan Sarjana Akaun dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), pernah bekerja sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat audit sebaik menamatkan pengajian.
Bagaimanapun rutin tugas yang sama pada setiap hari, berhadapan dengan angka dan tidak berpeluang bergaul dengan orang lain membuatkan jiwanya resah dan ingin keluar daripada dunia yang mengongkong dirinya.
''Saya inginkan perubahan dan tidak mahu kehidupan muda saya berlalu dengan perasaan tertekan sedangkan gaji yang diperolehi tidak sebanyak mana.
''Falsafah Mary Kay yang mahu memperkaya kehidupan wanita dan mengutamakan Tuhan, keluarga dan karier amat menarik hati saya untuk menyertainya. Kini saya bersyukur kerana selain saya sendiri suka dengan kerjaya ini, saya juga dapat membantu keluarga serta wanita lain di Malaysia,'' ujar anak kedua daripada enam beradik ini.
Menurut Maselma, tugas-tugas yang diserahkan kepadanya dapat dilakukan dengan baik seperti mengadakan kelas kecantikan dan mengajar wanita yang berminat untuk menjadi cantik, menjaga kecantikan kulit wajah serta cara mekap dan bergaya yang betul.
Maselma juga diberi kepercayaan untuk menjaga jualan di Malaysia dan Singapura dan di antara 10 orang pengarah jualan yang layak membuka pasaran di Singapura.
Mengulas perubahan pada dirinya sendiri sebelum dan selepas menyertai syarikat tersebut, kata Maselma; ''Jika dahulu semasa bekerja dengan syarikat audit saya tidak pandai langsung mengenakan mekap pada wajah mahupun menjaga kebersihan kulit muka namun sekarang setiap hari saya menggunakan lebih 10 langkah penjagaan bagi mendapatkan kulit yang bersih, berseri dan halus.''
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: