Monday, July 5, 2010

GPS kini digunakan secara meluas termasuk pesakit jantung


Salah satu produk inovasi GPS yang direka khas untuk warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer.


DI Malaysia, penggunaan GPS telah bermula sejak akhir tahun 1980-an dalam kerja-kerja pengukuran, pemetaan dan penentuan garisan sempadan kawasan.

Di sektor pengangkutan seperti pengangkutan udara, juruterbang pesawat boleh menggunakan ruang udara dengan lebih fleksibel melalui GPS.

Selain membantu pesawat mendarat dan berlepas dengan selamat, masa penerbangan ke sesuatu destinasi juga dapat diminimumkan kerana laluan penerbangan yang lebih praktikal.

Semasa dalam penerbangan pula, penumpang-penumpang pesawat dapat maklumat berguna seperti jadual dan ramalan masa penerbangan pesawat.

Di sektor lautan, pergerakan kapal-kapal besar menjadi lebih lancar dengan menggunakan GPS sebagai panduan untuk penentuan arah ke sesuatu destinasi.

Tahap trafik kesesakan di atas laut juga boleh dikawal dan teratur.

Di samping itu juga, GPS memudahkan pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tempat kejadian kemalangan sewaktu berlaku kemalangan atau perlanggaran kapal-kapal.

Kapal-kapal kecil seperti bot nelayan, integrasi GPS dan carta batimetri dapat membantu nelayan menentukan lokasi kawasa himpunan ikan terbanyak. Sekali gus ia meningkatkan hasil tangkapan.

Bagi pengangkutan darat pula, kebanyakan bas ekspres di negara ini telah memasang GPS untuk memudahkan pengurusan syarikat memantau pergerakan bas dan sikap pemandu mereka.

Bagi menjamin keselamatan penumpang, GPS akan memberi amaran kepada pemandu yang memandu melebihi had kelajuan.

GPS juga digunapakai pada kereta persendirian, ambulans, bas sekolah dan sistem transit aliran ringan (LRT) bagi mengesan lokasi dan mengurangkan kesesakan.

Kini, banyak model telefon mudah alih di pasaran telah berintegrasikan dengan cip GPS dan peta digital untuk kemudahan para pengguna dalam membuat navigasi diri sama ada di kawasan bandar ataupun luar bandar.

Pengguna tidak hanya perlu lagi bergantung kepada peta-peta bercetak yang sentiasa tidak dikemaskini semasa menghadapi masalah tidak tahu jalan.

Selain itu, kombinasi GPS dan telekomunikasi GSM juga dapat digunakan untuk membantu mencegah kes kecurian kenderaan.

Apabila kenderaan yang dilengkapi dengan GPS dicuri, rangkaian GSM akan memberi isyarat amaran kepada pemiliknya secara automatik untuk tindakan segera.

Di sektor pertanian, GPS biasanya digunakan dalam pembahagian kawasan dan sempadan, membuat lakaran jalan-jalan ladang, menanda kedudukan tempat, menentukan jarak dan keluasan kawasan dan seterusnya pemetaan peta kawasan pertanian yang lengkap.

Di samping itu, GPS juga dapat membantu dalam menentukan lokasi infrastruktur yang sesuai dalam kawasan ladang.

Dalam pertanian moden seperti perladangan tepat (precision farming), peladang boleh membuat penyesuaian bagi kepelbagaian dalam ladang bagi ciri-ciri seperti kesuburan tanah dan populasi rumput rumpai.

Perladangan tepat menggunakan GPS serta perisian sistem maklumat geografi (GIS) untuk mengumpul, menyimpan, melihat, dan menganalisis amaun data yang banyak.

Data tersebut kemudiannya dinilai dalam membuat keputusan pengurusan perladangan yang lebih wajar bagi pengeluaran hasil tanaman.

Tidak kurang juga, GPS telah diaplikasikan dalam aktiviti pengurusan bencana semula jadi atau buatan manusia atas keupayaannya dalam memberikan ketepatan kedudukan lokasi sehingga tahap milimeter.

Ia digunakan dalam pemantauan pergerakan plat bumi dan memberikan amaran awal sebelum berlakunya bencana gempa, tsunami atau tanah runtuh.

Selain itu, GPS juga dipasangkan pada sesetengah bangunan tinggi, terowong dan jambatan-jambatan besar untuk memantau kestabilan struktur pembinaannya.

GPS untuk orang buta pula dapat membantu golongan itu bergerak lebih lancar.

Ia berfungsi memberitahu lokasi sebenar serta membantu menunjuk arah kepada orang-orang buta.

Satu lagi produk inovatif GPS yang berjaya dihasilkan di Eropah ialah teleperubatan. Satu alat yang terdiri daripada elektrokardiogram (ECG), GPS dan GSM telah dicipta khas untuk kegunaan pesakit jantung dan mereka yang telah menjalani pembedahan pintasan (bypass) atau pemindahan jantung.

Alat bersaiz telefon mudah alih itu dipakai pada bahagian dada badan pesakit dan berfungsi merekodkan data-data ECG pesakit.

Maklumat terkumpul pada setiap 30 saat dihantar melalui GSM ke pusat kawalan teleperubatan untuk digunapakai bagi memantau kesihatan pesakit.

Sekiranya pesakit diserang sakit jantung secara tiba-tiba semasa beraktiviti di kawasan luar, GPS yang ada pada alat akan bertindak menghantarkan maklumat lokasi pesakit ke pusat kawalan.

Selain pesakit jantung, sejenis alat teleperubatan berbentuk jam tangan juga telah dihasilkan di Kanada untuk golongan warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer.

Pesakit yang memakai jam tangan ini boleh sentiasa berkomunikasi secara lisan dengan pusat kawalannya pada 24/7 bagi pemantauan pergerakan dan juga kesihatan pesakit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: