Monday, July 19, 2010

'Kelahiran' semula Mizz Nina


MIZZ Nina kembali selepas empat tahun 'berehat' dalam bidang nyanyian.


MENDENGARKAN suaranya pasti ramai yang menyangka dia penyanyi dari negara luar. Apatah lagi, nama yang cukup komersial dicanang sebagai Mizz Nina persis artis barat menguatkan lagi tanggapan awal khalayak kepadanya.

Namun, itu hanyalah nama semata-mata. Mungkin tidak keterlaluan dikatakan nama tersebut cukup memberi impak kepada gadis yang baru menjangkau usia 30 tahun pada 1 Julai lalu.

Pemilik nama sebenarnya Shazrina Azman ini sedikit waktu dahulu pernah menganggotai kumpulan muzik Teh Tarik Crew (TTC).

Bagaimanapun, kehadiran penyanyi yang cukup senang disapa sebagai Nina ini ketika itu tidak begitu dirasai.

Kini, Nina sudah selangkah memahat nama di pasaran antarabangsa apabila lagu Inggerisnya, What You Waiting For hasil kerjasama bersama pemuzik dan penyanyi terkenal, Colby O' Donis begitu mendapat perhatian di kalangan peminat.

Album pertamanya, Mizz Nina - What You Waiting For yang mengandungi 14 buah lagu termasuk lima lagu Melayu iaitu Pinda Minda, Kau Tahu, Ping Pong, Kurnia dan Sri Kandi.

Selain What You Waiting For, lagu Inggeris lain yang turut dimuatkan ialah Away With You, Yesterday, Let Me C U Get It, One, Sometime, Never Leave You Behind, Love dan Hope.

Enam tahun memulakan kerjaya seni di arus perdana, baru kini Nina menikmati erti sebenar bergelar artis rakaman.

Malah, tatkala sesi fotografi bersama Hits dijalankan, jelas dua pengurusnya iaitu Riz dan Joe, jadual harian Nina dipenuhi dengan pelbagai sesi fotografi dan nyanyian.

Menyingkap permulaan kerjaya seni gadis berbintang Cancer ini, bersama TTC, abdi seni Nina hanya bertahan selama dua tahun.

Manakala empat tahun selebihnya, Nina lebih selesa menyumbangkan suaranya dicorong radio sebagai penyampai Fly FM.

Biarpun mengakui dia seorang yang pendiam, Nina tetap mahu menguji kepetahannya berbicara.

memikul tanggungjawab

Di samping kerjaya sebagai penyampai radio, Nina sebelum ini pernah juga mencuba pelbagai bidang yang menampilkan dirinya di kaca televisyen.

Selain memikul tanggungjawab besar sebagai Pengarah Urusan The Singging Shop yang beroperasi di Amcorp Mall, petaling Jaya, Selangor, Nina juga pernah mencuba nasib sebagai hos rancangan televisyen dan juga model.

Masih tertumpu kepada minat yang satu sedari kecil apatah lagi, darah seni yang mengalir dalam tubuhnya diwarisi daripada ayahanda tercinta, Tan Sri Azman Hashim iaitu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad yang pernah menghasilkan album tidak lama dahulu.

Sepanjang tempoh empat tahun itu diam Nina daripada nyanyian bukanlah kosong. Dia sebenarnya merencana strategi sebaiknya untuk kembali aktif di bidang seni suara.

"Syukur, akhirnya penantian selama empat tahun berbaloi dan inilah yang saya mahu. Jika dahulu saya bergerak secara berkumpulan kali ini saya tampil solo.

"Nak kata kekok pada peringkat awal memang terasa namun, lama-kelamaan saya sudah semakin selesa dan dapat menyesuaikan diri," jelas Nina yang cukup murah dengan senyuman itu.

Bergerak solo kata Nina sudah lama dalam perancangannya. Apatah lagi, dia yang cukup mencintai muzik mempunyai idea sendiri dalam mengembangkan bakat seni yang ada padanya.

Tambah Nina, dia kini semakin yakin memperjuangkan genre muzik yang dibawanya apabila maklum balas yang diterima daripada peminat cukup positif.

Namun, dalam pada itu terhimpit juga omongan nakal pihak-pihak tertentu yang mengatakan kerana status kewangannya maka dia mampu berbuat apa sahaja untuk merealisasikan impiannya termasuklah berkolaborasi dengan artis luar.

Pertama kali bersua muka dengan gadis berambut panjang ini, apa yang menarik tentang dirinya dia cukup bersahaja dan mudah mesra biarpun mengatakan bahawa dirinya merupakan seorang yang pendiam dan pemalu.

Hakikatnya jenama Mizz Nina kini sudah semakin dikenali di persada antarabangsa. Jika dahulu tidak banyak pihak yang memandang bakat seninya kini barangkali sudah boleh menarik nafas lega.

Namun, dia bukanlah individu yang lekas berpuas hati dengan apa yang di kecapi kini.

"Saya tidak boleh berbangga. Memang orang luar sudah kenal saya tetapi tidak di negara sendiri. Untuk perjalanan seni yang lebih sukses di luar bagi Nina biarlah masyarakat di negara sendiri kenal Nina terlebih dahulu.

"Sebab itu dalam album saya, Mizz Nina - What You Waiting For saya selitkan juga lagu-lagu Melayu. Dalam perancangan, saya ingin membuat album penuh berbahasa Melayu, yang bakal menampilkan kolaborasi dengan beberapa artis terkenal tempatan," kata Mizz Nina.

Oleh kerana dia tidak begitu fasih berbahasa Melayu, menyanyikan lagu-lagu Melayu merupakan cabaran besar buat Nina yang sedari kecil terbiasa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: