KUALA LUMPUR - Bermula 13 Disember ini, Apple Vacations & Conventions Sdn. Bhd. (Apple Vacations), agensi pelancongan, akan menyediakan perkhidmatan penerbangan terus ke Hokkaido, Jepun.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Apple Vacations, Datuk Desmond Lee, penerbangan itu akan dilakukan tiga kali dari Kuala Lumpur ke Hokkaido sepanjang bulan itu dengan menggunakan pesawat sewa khas daripada Malaysia Airlines (MAS).
Pesawat yang akan digunakan ialah model A330-300 yang mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 290 termasuk kelas perniagaan.
"Penerbangan biasa ke Hokkaido mengambil masa hampir sehari, termasuk hentian di antara lapan sehingga 10 jam sebelum meneruskan penerbangan dengan menaiki pesawat domestik.
"Namun menerusi penerbangan ini, waktu perjalanan akan dipendekkan kepada hanya lapan jam, seterusnya menjimatkan antara 20 sehingga 30 peratus kos ke Hokkaido," katanya pada majlis menandatangani perjanjian kontrak bernilai lebih RM2 juta bagi penerbangan sewa khas dengan MAS di sini semalam.
Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Lee bersama Ketua Jabatan Haji dan Sewa Khas MAS, Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain sambil disaksikan oleh Pengurus Besar Kanan Hubungan Luar MAS, Datuk Kapten Mohd. Nawawi Awang dan Pengarah Urusan Apple Vacations, Koh Yock Heng.
Lee menjelaskan, melalui persetujuan tersebut Apple Vacations kini boleh menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, selesa dan mudah kepada para pelanggannya.
Sementara itu, Nik Ahmad Huzlan berkata, walaupun telah lima tahun menyediakan penerbangan khas ke Sapporo, Hokkaido melalui kerjasama dengan Organisasi Pelancongan Kebangsaan Jepun, jalinan usaha sama dengan Apple Vacations merupakan yang pertama dijalankan dengan sebuah pengusaha pelancongan tempatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: