Thursday, July 29, 2010

Cari wanita berkarier




PASTI ramai yang merasa janggal dengan panggilan nama baru bekas vokalis kumpulan Exist, Ezad Exist kepada Ezad Lazim bukan? Begitu juga pada si empunya diri, dia juga berasa pelik dengan nama itu untuk dikomersialkan pada umum. Namun, baginya, sejak meninggalkan Exist, dia perlu melakukan sesuatu pada nama dan imejnya agar terus menyinar dalam industri seni.

Lima tahun menyepikan diri daripada dunia seni suara, Ezad atau nama sebenarnya, Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim, kini mahu bangun semula dengan membina tapak baru sebagai penyanyi solo.

Mengakui bahawa peminat-peminatnya masih melekat dengan panggilan nama Ezad Exist, anak kelahiran Kedah ini akan mengubah panggilan namanya itu secara perlahan-lahan.

"Saya mahu orang panggil saya sebagai Ezad Lazim. Guna nama bapa pula di belakangnya. Lagipun ramai artis yang menggunakan nama bapa untuk dikomersialkan.

"Tapi saya tak marah dan halang kalau orang panggil saya Ezad Exist sebab saya adalah penyanyi yang paling lama dalam Exist. Jangan orang tak panggil nama sudah la," seloroh Ezad ketika mulakan bicara mengenai perihal dirinya.

Bertemu Ezad di studio Utusan Melayu baru-baru ini, dia kelihatan sedikit berisi dan kekok bila diambil gambar secara solo.

Katanya, inilah kali pertama dia membuat sesi fotografi tanpa ahli-ahli Exist yang lain dan perlu membiasakan diri dengan keadaan baru.

"Rasanya dah hampir lima tahun saya tak keluar dalam surat khabar. Maaf jika saya tampak kekok sedikit. Apapun, ia sebagai permulaan untuk menjadikan saya lebih berkeyakinan dalam melakukan sesuatu perkara.

"Keluar daripada Exist tidak bermakna saya lemah, tapi semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya dan saya menerima cabaran lalu untuk menjadi insan yang lebih baik.

"Banyak iktibar yang saya belajar dan saya akui pada permulaan saya keluar daripada Exist, saya agak kecewa dengan apa yang telah berlaku. Kemudian secara perlahan-lahan saya terbuka dengan pengalaman lalu dan menjadikan diri lebih positif," tuturnya.

Tambah Ezad, dia juga tidak pernah menyesal dengan apa yang dilaluinya ketika di penghujung masa bersama teman-teman Exist yang mana ketika itu, Ezad dikritik hebat mengenai perilaku yang kononnya tidak profesional dalam melakukan kerja.

"Sebenarnya penyesalan itu membuatkan kita tidak bergerak untuk mengubah kehidupan. Sekarang ini saya jadi lebih berani.

"Hal-hal lepas, biasalah bila berkumpulan, masing-masing mempunyai perangai yang tersendiri, tapi paling banyak dipersalahkan adalah saya sebab saya vokalis. Bagi saya, masing-masing ada kesilapan dan saya tak mahu tuding jari kepada mana-mana pihak," katanya.

Solo dan cari cinta

Lima tahun pulang ke kampung halaman diibaratkan seperti proses mengasah diri sebelum ingin mencapai matlamat yang diingini.


MENGAKUI kecewa dengan tindakannya keluar dari Exist, namun Ezad kini memandang ke depan penuh positif.


Jatuh bangunnya dalam membina perniagaan kecil-kecilan serta mengurangkan ego diri dengan mempelajari kelas bahasa Inggeris serta kelas motivasi membuatkan timbulnya rasa semangat azam baru dalam diri penyanyi berusia 31 tahun itu.

Malah, kini Ezad juga selesa bergerak menjadi penyanyi solo yang pada masa sama juga dapat memberi nafas baru buat peminat-peminat setianya.

"Rasanya sudah lebih 20 tahun saya menyanyi bersama kumpulan dan sudah tiba masanya untuk saya bergerak secara solo. Bagaimanapun, saya juga memiliki 'ahli kumpulan' yang berusaha untuk sama-sama naikkan karier seni saya iatu orang yang bekerja di belakang tabir menghasilkan lagu-lagu serta yang menguruskan saya.

"Dalam pada itu, kini saya dalam perancangan untuk membina perniagaan sendiri. Cuma tunggu masa untuk dipasarkan sahaja. Jika mengikut pada peracangan, saya akan menjual produk-produk minuman kesihatan serta minyak wangi. Alhamdulillah, dari segi bajet, tiada apa masalah.

"Sasaran saya ialah setelah mengeluarkan album mini dalam masa terdekat ini, saya akan melancarkan sekali produk perniagaan saya. Berjaya atau tidak, bergantung pada kerja keras saya," tegas Ezad.

Kini, dengan penampilan baru Ezad bersama single solo pertamanya, Bertemu Cintaku, penyanyi itu ternyata gembira dengan respons yang diterima daripada para peminatnya.

Masih lagi menggunakan konsep pop rock, secara kebetulan pula, lagu tersebut dicipta hasil gabungan daripada bekas-bekas ahli Exist iaitu Ajai dan Shah.

"Sebenarnya lagu ini dah lama siap bersama empat buah lagu yang lain di mana ia akan dimasukkan ke dalam sebuah mini album. Tapi melihatkan pada pasaran sekarang, rasanya lebih senang jika saya keluar satu-satu lagu dahulu.. Mungkin album saya akan dipasarkan selepas raya.

"Mengenai lagu Bertemu Cintaku, walaupun liriknya mengenai pertemuan cinta yang baru, saya memandang lagu ini kepada skop yang lebih luas di mana saya kini bertemu dengan kerjaya yang saya sayangi serta kehidupan dengan lebih baik.

"Dalam pada itu, walaupun saya tidak bersama Exist, saya masih lagi menyanyikan lagu-lagu lama Exist berdasarkan permintaan penganjur. Rasanya hal ini tidak ada masalah kot kerana saya pernah menyanyikan lagu-lagu tersebut. Malah, penyanyi-penyanyi lagin juga pernah membawakan lagu-lagu Exist.

"Apapun, misi utama saya adalah mempromosikan single terbaru saya itu. Bagaimanapun dari segi imej, saya agak keliru sedikit cara untuk menampakkan perbezaan saya dahulu dan sekarang.


TINGGAL kenangan. Ezad (dua dari kiri) bersama anggota Exist ketika menggangotai kumpulan popular itu suatu ketika dahulu.


"Mungkin saya akan tampilkan imej yang lebih matang, sesuai dengan umur saya, tetapi tetap mengikut fesyen-fesyen terkini," selorohnya.

Berbicara pula mengenai teman hidup, rupa-rupanya Ezad baru sahaja mengharungi episod putus cinta. Enggan memikirkan perkara yang lepas, Ezad kini merancang untuk menamatkan zaman bujangnya di usia 33 tahun, walaupun masih lagi belum menemui pasangan yang sesuai.

"Saya sudah tak macam dulu, nak cinta-cinta macam zaman remaja dahulu. Cukuplah dengan pengalaman 'nakal' saya dahulu.

"Senang cerita, jika sudah menemui calon yang sesuai, saya tak mahu tunggu lama dan mahu terus kahwin.

"Selain itu, kalau boleh, saya ingin mencari wanita yang berkarier. Jangan salah anggap pula, tetapi saya memerlukan wanita yang berfikiran terbuka dan faham dengan kerjaya saya yang sentiasa berjumpa dengan macam-macam orang. Saya tak mahu orang yang kuat cemburu, pening dibuatnya nanti.

"Lagipun, tak salah bukan mencari wanita bekerjaya kerana saya bukannya jutawan Arab," guraunya mengakhiri perbualannya dengan penulis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: