Thursday, July 1, 2010

JKM tidak boleh bantu

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak dapat membantu pengurusan Rumah Titian Kasih (RTK) di Persiaran Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa, di sini, bagi mendapatkan premis mereka sendiri kerana ia di luar bidang kuasanya.

NASIB...penghuni Rumah Titian Kasih akan mula berpindah hari ini.
NASIB...penghuni Rumah Titian Kasih akan mula berpindah hari ini.
Ketua Pengarah JKM, Datuk Meme Zainal Rashid, sehubungan itu berharap pihak tertentu tampil memberi bantuan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) selaras dengan konsep masyarakat penyayang.


Bagaimanapun, katanya, jika RTK masih gagal mendapatkan mana-mana premis untuk beroperasi, JKM akan menyelamatkan penghuni RTK berkenaan sama ada mengembalikan mereka kepada penjagaan keluarga atau penempatan mengikut institusi di bawah jabatan bersesuaian.


“Sejak 2001, JKM sentiasa membantu pengendali RTK mengikut bidang kuasa jabatan seperti membantu mendaftarkan pertubuhan berkenaan mengikut Akta Pendaftaran Pertubuhan 1956 agar dapat beroperasi sebagai pertubuhan yang sah.


“JKM turut mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan pengecualian cukai untuk pertimbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya orang ramai lebih berminat untuk memberi sumbangan kepada RTK,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.


Semalam, akhbar ini melaporkan seramai 73 penghuni wanita termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di RTK yang kini sedang menghitung detik untuk ‘bersesak-sesak’ bersama lebih 50 penghuni lelaki di sebuah lagi rumah perlindungan selepas diarah keluar dari kediaman itu.


Mereka terpaksa berpindah dalam tempoh 24 jam dari rumah yang disewa di Persiaran Titiwangsa selepas pemilik meminta mahkamah mengeluarkan arahan keluar dari rumah itu, April lalu.


Sementara itu, Pengasas RTK, Sharifah Adlan atau lebih dikenali dengan Mak Pah, berkata semua penghuni berpindah mulai hari ini sebagai menghormati perintah mahkamah.


Beliau berkata, mereka tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa bersesak di rumah perlindungan lelaki yang menempatkan lebih 50 orang walaupun sedar tidak mungkin rumah berkenaan dapat menempatkan semua penghuni RTK.


Katanya, ada beberapa pihak tampil untuk membantu, tetapi hanya berminat untuk mengambil anak yatim dan memindahkan ke pusat jagaan mereka sejak berita itu disiarkan.


“Saya hargai niat mereka, tetapi bukan bantuan sebegitu yang diharapkan kerana hubungan semua penghuni RTK sangat rapat dan tidak sewajarnya mereka dipisahkan apatah lagi rumah ini bukan seperti rumah anak yatim lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: