Friday, July 9, 2010

Intan's Oven menuju global


Intan Zubaidah Ibrahim mempamerkan biskut cip jenama Intan's Oven yang diusahakannya sejak 2001 dan kini dipasarkan di Dubai, UAE.


BERMULA daripada hobi, biskut cip buatan tangan Intan Zubaidah Ibrahim kini dijual di pasar raya di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Biskut dengan jenama Intan's Oven itu dijangka memasuki pasaran China tidak lama lagi jika perbincangan dengan ejen dari negara itu memenuhi syarat dan terma yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Menurut Intan Zubaidah, beberapa wakil dari negara lain seperti Oman, Serbia dan Thailand juga menunjukkan minat untuk memasarkan biskut keluaran syarikatnya di negara masing-masing.

"Perbincangan awal ini diharap membuka langkah kepada usaha untuk meluaskan pasaran produk kami," katanya kepada Mega di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2010 di Matrade Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Intan's Oven memulakan perniagaan dari rumah dan kini beroperasi di sebuah kedai kafe milik sendiri di Kuantan, Pahang.

Kedai yang dibeli pada 2005 itu menjadi pembakar semangat kepada Intan Zubaidah selepas menceburi perniagaan biskut secara serius.

Ia menjadi mercu tanda kepada segala titik peluhnya sejak 2001 yang memulakan perniagaan secara sambilan dari rumah.

"Pada waktu itu, saya hanya menerima tempahan daripada rakan dan saudara-mara sahaja," ceritanya mengimbau sejarah awal Intan's Oven.

Setahun kemudian, selepas yakin dengan potensi produknya, beliau bertekad menyewa kedai untuk mengembangkan perniagaan biskut cipnya. Kedai berkonsepkan kafe bakeri itu turut menjual kek, roti, makanan barat dan juadah tempatan. Ia juga menerima tempahan hamper dari syarikat korporat.

Pada masa sama, jelasnya, Intan's Oven turut dipasarkan di stesen minyak, institusi pengajian tinggi dan kedai koperasi di sekitar bandar Kuantan selain jualan secara atas talian.

"Tempahan online akan dihantar menggunakan perkhidmatan courier ke seluruh negara," ujarnya.

Sejak itu, perniagaannya terus berkembang maju dan pada 2008 Intan's Oven menjadi kafe pertama di Kuantan yang menerima Sijil Halal.

Menurutnya, isu halal dan mutu produk amat dititikberatkan khususnya dalam pemilihan bahan mentah seperti coklat cip, tepung, badam dan gajus.

"Saya tidak berkompromi dalam hal kualiti biarpun kita mungkin boleh mendapat bekalan bahan asas tersebut dengan harga yang lebih murah," tegasnya.

Tambah beliau, produk keluarannya tidak dicampur dengan bahan pengawet, pewarna atau perasa tiruan demi mengutamakan kesihatan pengguna.

"Kawalan mutu yang menepati piawai ini membolehkan Intan's Oven memasuki pasaran antarabangsa dan kini mula dijual di kedai coklat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur," katanya yakin.

Menyentuh perancangan masa depan perniagaannya, Intan Zubaidah berhasrat untuk meluaskan pasaran produknya menggunakan sistem francais.

"Syarikat sedang dalam perbincangan untuk menjadi francaisor dengan pihak berkuasa yang berkaitan," jelasnya.

Selain itu, syarikat ini turut disenarai pendek dalam projek hab halal negeri Pahang.

Semua pencapaian ini, katanya, memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi pelbagai cabaran menguruskan perniagaan tersebut.

"Paling penting, jangan patah semangat dan bergerak ikut kemampuan sendiri," tuturnya memberi panduan.

Pesannya lagi, sesiapa yang ingin menceburi dunia keusahawanan perlu berani mengambil langkah permulaan.

Jika tidak, katanya, sampai bila-bila kita tidak akan menjadi seorang usahawan apatah lagi untuk memahami selok-belok bidang perniagaan.

"Namun galakan dan sokongan ahli keluarga amat penting khususnya dalam situasi ekonomi merundum," nasihatnya.

Sebagai pembuka jalan, Intan Zubaidah mempelawa individu yang berminat untuk menjadi ejen mengedarkan produknya sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Maklumat lanjut layari www.intansoven.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: