Friday, July 9, 2010

'Istana' kelengkapan perkahwinan


Busana pengantin antara kelengkapan perkahwinan yang disediakan.


BUKAN senang hendak bergelar seorang ahli perniagaan. Tambahan pula apabila sesuatu perniagaan yang hendak diuruskan itu mempunyai banyak persaingan.

Namun pujian perlu diberikan kepada usahawan berjaya ini, Zaidi Osman, 38, yang mengusahakan sebuah perniagaan kelengkapan perkahwinan.

Berpeluang bertemu dengannya di premis perniagaan miliknya di Puchong, Selangor, iaitu Dios Astana Bridal, membawa seribu erti dalam perniagaan bersumberkan budaya Melayu itu.

Bangunan empat tingkat miliknya itu penuh dengan pelbagai barangan kelengkapan perkahwinan.

Pendek kata, sebut apa sahaja keperluan yang diingini oleh si pengantin semuanya ada di sini.

Barangan seperti reben, busana pengantin, kelengkapan pelamin, bunga telur, cenderahati, kraf tangan, tekstil, kad undangan dan pakej hantaran semuanya ada.

Malah pengantin juga boleh menempah baju mengikut cita rasa dan impian masing-masing.

''Dios Astana Bridal ialah pusat kraf tangan perkahwinan dan kelengkapan andaman. Kami memang terkenal di kalangan mak andam atau mereka yang berkecimpung dalam bidang perkahwinan, kerana kami menjual barangan di sini secara borong,'' jelasnya.

Bermula pada tahun 2000 di Puchong dengan sebuah kedai kecil, Zaidi kini mempunyai lima cawangan lain iaitu di Kota Bharu, Johor Bahru, Ipoh dan Sungai Petani.

Beliau dibantu oleh lebih 100 orang kakitangan dan merancang untuk membuka cawangan baru di Kuantan dan Kota Kinabalu.

Anak muda yang berasal dari Pulau Pinang ini, juga pemilik kepada Dios Textiles Industries Sdn. Bhd., yang memegang lesen mengilang, mengeluarkan tekstil, mengambil tempahan pakaian dan menghasilkan pakaian siap.

"Memang pada empat tahun pertama banyak cabaran yang dihadapi terutama persaingan hebat daripada peniaga-peniaga bukan bumiputera.

"Namun berkat minat, kecekalan dan usaha yang berterusan tanpa mengenal erti penat, perniagaan saya mampu bertahan dan berkembang sebagaimana sekarang," kata bekas akauntan ini.

Bagi meneruskan usahanya dalam perniagaan, bapa kepada enam orang anak berusia antara 13 hingga sebulan ini, kini mempelawa sesiapa yang berminat untuk menjadi usahawan berjaya menyertai program francais anjuran syarikatnya.

Katang, program francais dalam perniagaan kelengkapan perkahwinan ini dibuka khusus untuk bumiputera yang berminat di seluruh negara.

''Kepada francaisi, apa sahaja barang yang dikehendaki akan dibekalkan oleh Dios. Kita akan beri galakan dan modal serta barangan.

"Usahawan yang berminat memerlukan modal sekurang-kurangnya RM600,000.

"Namun tidak perlu bimbang kerana jumlah itu meliputi stok yang disediakan Dios sendiri berjumlah RM100,000, peruntukan PNS (Perbadanan Nasional Berhad) atau agensi-agensi kerajaan yang menyediakan dana sebanyak RM300,000 dan selebihnya modal dari usahawan itu sendiri kira-kira RM200,000).

''Satu iklan mengenai program francais ini akan disiarkan tidak lama lagi menyatakan prosedur, kawasan terpilih dan kemudahan yang diberikan serta borang.

"Namun kepada mereka yang berminat boleh bertanya kepada pihak kami sekarang ini,'' jelasnya.

Zaidi menambah tujuannya membuka dan memperkenalkan program francais kelengkapan perkahwinan di bawah satu bumbung ini adalah kerana ingin berkongsi dan mengimbangi perniagaan ini yang 90 peratus daripadanya dimonopoli oleh bukan bumiputera.

''Kita harus ingat industri perkahwinan Melayu sekarang ini bukan dimonopoli oleh bumiputera. Ia adalah sesuatu yang janggal kerana bagaimana kita punya budaya orang lain yang uruskan?

''Di samping itu, kita juga ingin memberi peluang kepada pengusaha bumiputera yang berminat untuk berniaga dan memudahkan penawaran barangan perniagaan dan stok di seluruh Malaysia,'' katanya.

Zaidi juga memberitahu mengenai jualan mega bagi kelengkapan perkahwinan yang akan diadakan serentak di seluruh negara pada 10 hingga 18 Julai 2010 ini.

Kepada yang berminat mengenai program usahawan francaisi dan jualan mega ini boleh melayari laman sesawang www.diosastana.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: