ANDAI kata Norman Hakim, 34, bertemu jodoh dengan Suhaiza Suhaimi atau Memey, 22, pelakon kacak itu akan terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai bapa kepada tiga anak dan bekas isterinya, Abby Abadi, 32.
Begitu juga bekas isterinya kecuali jika dia sudah bertemu pengganti yang boleh menjaganya dengan baik.
Perkara itu juga sudah dijelaskan kepada Memey bahawa dirinya tidak boleh mengabaikan tanggungjawab terhadap anak dan Abby.
“Selagi Abby belum berkahwin, saya bertanggungjawab terhadap dirinya dan sekiranya apa-apa berlaku kepada dia, saya akan membantu apa yang patut.
“Selepas apa yang berlaku dalam rumah tangga kami sehingga terpaksa memilih jalan masing-masing, hubungan saya dengan Abby sekarang baik, tiada perbalahan dan tidak pernah bergaduh lagi. Keutamaan kami sekarang ialah anak dan saya mahu lihat mereka membesar seperti kanak-kanak lain.“Meskipun tiada lagi ikatan suami isteri kami berlima selalu keluar beli barang dapur bersama. Suasana seperti itu membuatkan anak tidak terasa kekurangan kasih sayang daripada ibu bapanya walaupun hakikatnya saya dan Abby tidak bersama lagi.
“Selepas bercerai hampir dua tahun lalu, saya masih menjalankan tanggungjawab seperti waktu saya berkahwin dulu. Saya penuhi segala keperluan mereka termasuk belanja dapur, makan minum anak, belanja sekolah dan membawa mereka berjalan-jalan.“Jika ada wang lebih pada bulan itu, saya akan berbelanja lebih untuk mereka kerana saya tidak mahu anak kekurangan apa-apa. Saya tidak menetapkan jumlah belanja untuk mereka kerana yang penting sekarang kebahagiaan anak.
“Abby juga menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu seperti biasa dan jika dia sibuk dengan penggambaran, saya akan mencuri masa untuk bersama anak agar mereka tidak kesunyian. Alhamdulillah, setakat ini segalanya berjalan dengan baik,” katanya.
Norman mengakui sangat sayangkan keluarganya dan tetap pandang kebaikan yang ada pada Abby.
Sehingga sampai pada satu tahap, dia pernah berbincang dengan Memey sekiranya ditakdirkan berbaik semula dengan Abby.
Balas Memey, dia terima apa saja yang akan berlaku kerana katanya semua keputusan terletak pada Norman.
“Pernah pada awal perceraian, saya cuba berbaik semula dengan Abby dan menghantar SMS kepadanya ajak keluar berdua, tetapi dia jual mahal. Katanya, kalau hendak berjumpa dengannya datang ke rumahnya. Habislah peluang untuk berbual berdua kerana ramai orang di rumah.
“Saya faham Abby sudah ada teman baru dan mungkin dia boleh bagi apa yang saya gagal beri pada Abby dulu. Apapun, saya doakan yang terbaik buat Abby, semoga bahagia dengan pilihannya. Jika tiada jodoh lagi antara saya Abby, saya tetap ingin berbaik dengannya atas dasar tanggungjawab.
“Apapun, saya hormat Abby kerana sentiasa sudi luangkan masa bersama saya untuk menghadiri aktiviti sekolah Danish. Apa saja yang membabitkan anak, kami akan saling bekerjasama.
“Selepas bercerai dulu, saya ingat boleh tumpukan pada lakonan, perniagaan dan boleh buat apa yang saya suka. Namun rupanya saya bukan orang seperti itu. Saya rindukan hidup berkeluarga dan kembali menjadi orang bujang membuatkan saya kesunyian,” katanya.
Mengenai hubungannya dengan Memey, jelas Norman, dia serius ingin mengambil Memey sebagai isteri kerana bukan masanya lagi untuk dia ‘main-main’.
Katanya, lagi cepat mereka berkahwin lagi bagus.
Malah, mereka sudah pun menetapkan tarikh pernikahan pada 24 Julai ini namun terpaksa ditunda pada tarikh lain kerana kesibukan masing-masing.
“Barangkali jawapannya terlalu ‘klise’ menunda tarikh perkahwinan kerana sibuk, namun itulah kebenarannya.
“Sekarang saya banyak terima tawaran berlakon, begitu juga dengan Memey.
“Sedang sibuk penggambaran, saya tidak boleh sesuka hati minta ‘break’ sebab hendak mengadakan majlis perkahwinan kerana ia akan membabitkan ramai orang dan jadual kerja akan tergendala.
“Persiapan perkahwinan juga mengambil masa kerana biarlah majlis itu berjalan dengan lancar dan sempurna. Pada pihak saya nanti, tiada majlis besar, tetapi sebelah keluarga Memey mereka akan meraikannya dengan meriah kerana inilah kali pertama Memey naik pelamin. Saya serahkan segalanya pada Memey.
“Untuk pengetahuan semua, tiada siapa yang mendesak kami berkahwin dan jika ada memaksa, pasti sudah lama kami berkahwin.
“Memey pun masih muda dan dia juga kena faham tanggungjawab besar saya pada anak. Sejak Danish masuk tahun satu ini, belanja semakin besar dan saya perlu bekerja keras untuk mereka.
“Komitmen saya terhadap anak akan berterusan namun apabila saya beritahu mereka saya hendak berkahwin, anak kata okay kerana mereka pun rapat dengan Memey. Dalam pada itu, kasih sayang mereka terhadap Abby sebagai ibu kandung memang tiada galang ganti.
“Impian saya biarlah segalanya berlangsung dalam keadaan harmoni namun ada ketika apabila membabitkan emosi, ia menjadi agak rumit.
“Selepas hampir dua tahun membujang, ada juga bertanya pada diri sendiri sama ada saya bersedia untuk bergelar suami semula. Tetapi nampaknya hidup tanpa isteri rasa tidak sempurna,” katanya.
ebelakangan ini terdengar juga khabar angin kononnya percintaan Norman dan Memey sudah bernoktah.
Menjelaskan perkara itu, kata Norman apabila hendak melakukan kebaikan pasti ada dugaan.
“Memey masih muda dan tidak pernah merasai apa yang saya lalui. Mungkin ada ketika dia berasakan yang hubungan kami sudah berakhir terutama apabila timbul isu anak dan Abby. Saya ikut saja apa yang Allah tentukan pada masa depan dan berharap jodoh saya dengan Memey dipercepatkan,” katanya.
Norman juga antara pelakon menjayakan drama lapan episod, 8 Bulan untuk siaran TV3, mulai 25 Julai ini. Majlis pelancaran drama terbitan Red Communications itu diadakan di Restoran Rebung, Bangsar, kelmarin.
Karya arahan Imri Nasution ini mengisahkan detik penting dalam kehidupan suami isteri, Linda dan Faizal dari saat menyambut kelahiran cahaya mata sehingga perancangan kewangan dalam tempoh lapan bulan.
Selain Norman, turut menjayakan dalam drama ini, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak sebagai teraju utama, Linda dan Faizal serta dibantu Tony Eusoff, Maizurah Hamzah, Yasmin Hani dan Nazril Idrus Ahmad.
>PROFIL
NAMA PENUH: Mohamed Nurhakim Zaidon
TARIKH LAHIR: 8 Januari 1976
ASAL: Kuantan, Pahang
STATUS: Duda
ANAK: Mohamed Danish Hakim, 7, Marissa Dania Hakim, 5, dan Maria Danisha
Hakim, 2
ANTARA DRAMA: Idaman, Layar Impian, Tahta Hati, Bermula Disini, Insurgensi,
Gerak Khas, Ikon, Bila Rama-Rama Terkopak Sayapnya
ANTARA FILEM: Nafas Cinta, Pasrah, Gerak Khas, Idola, Gerak Khas The Movie, Gila-Gila Pengantin, Gerak Khas 3 dan Gila-Gila Pengantin Popular, Kayangan, Skrip 070707, Dunia Baru The Movie
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: