KUALA TERENGGANU: Ketua sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Awang Misai Merah didapati benar-benar mempunyai misai lebat berwarna perang kemerahan menyebabkan kumpulan itu mendapat jolokan daripada nama berkenaan.
TAHAN...Awang Misai Merah (dua dari kanan) dan dua anaknya yang diberkas dalam serbuan pagi semalam.
Walaupun kelihatan garang dan gagah dengan misai lebatnya, lelaki berkenaan dikatakan beberapa kali ‘terkucil’ ketika diserbu dan memberitahu pihak berkuasa dia mengalami masalah itu akibat pengambilan ubat batuk secara berlebihan.
Berikutan itu, dia yang amat dikehendaki kerana bertanggungjawab terhadap beberapa kes curi kenderaan berat membabitkan pacuan empat roda dan lori di negeri ini mungkin akan menjalani ujian air kencing bagi mengetahui sama ada positif dadah atau sebaliknya.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan yang mengesahkan penahanan ketua kumpulan itu berkata, suspek ditahan bersama dua anak lelakinya berusia 17 dan 24 tahun di sebuah rumah di Cheneh, Kemaman.
Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat orang ramai kira-kira jam 7 pagi semalam dan polis turut menemui tiga kenderaan dengan dua daripadanya didapati mempunyai kesan ubah suai seolah-olah ada tampalan pada casisnya.“Berikutan itu, kedua-dua kenderaan dirampas dan dibawa ke IPK untuk ujian forensik dan kami akan memohon perintah reman terhadap tahanan bagi membantu siasatan,” katanya.
“Sebenarnya tangkapan kes itu baru saja dilakukan dan polis masih menjalankan siasatan, jadi tidak banyak yang boleh saya katakan setakat ini kerana proses siasatan masih di peringkat awal,” katanya kepada Harian metro.Geng Awang Misai Merah digeruni kerana mempunyai rangkaian hampir di seluruh negeri ini dan dipercayai menjadikan kawasan pedalaman lokasi pasaran kenderaan curi selain menjadikan pemilik kenderaan pacuan empat roda sebagai sasaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: