Bukanlah semata-mata urusan Aizat, namun peminat di luar sana harus prihatin apa yang ingin disampaikan Aizat menerusi album terbarunya, Urusan Aizat Amdan. Menjanjikan memori terindah melalui lagu dan mesej yang dicipta, Aizat bertanggungjawab penuh terhadap penerbitan album ini secara keseluruhannya. "Banyak cabaran bila semua proses dilakukan sendiri di bawah label Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd (KGE), namun itulah impian Aizat sejak kecil lagi. Aizat gubah lagu bersama abang, Anas dan kebanyakan lagu adalah hasil daripada pemerhatian kami. Semuanya sangat direct dan simple. Dan Aizat rasa nak menangis bila melihat produk ini dan seperti tak percaya semuanya selesai.
"Puas hati sangat dapat buat lagu sendiri sebab kita lahirkannya dari hati. Bukan tak mahu dapatkan khidmat komposer luar, namun memang Aizat dah ada lagu sendiri so apa salahnya untuk album ini semuanya adalah usaha daripada Aizat dan keluarga sepenuhnya. Apa yang penting, apa yang ingin disampaikan tercapai di dalam album ini," ujarnya yang akan muncul bersama band setiap kali persembahan.
Bukan sekadar berkarya, Aizat cuba mempromosikan mesej kemanusiaan ke seluruh dunia menerusi dua lagu di dalam bahasa Inggeris iaitu Years From Now dan Emotions.
"Saya cuba hasilkan lagu dalam bahasa Inggeris dan syukur ia menjadi. Tujuannya agar mesej kemanusiaan yang ingin disampaikan dapat difahami semua. Bukannya saya nak mengubah dunia, cuma sekurang-kurangnya saya berusaha ke arah itu dan telah lakukan sesuatu," ujarnya yang tidak sedikitpun menyentuh gosip hubungannya yang berpisah kasih dengan Liyana Jasmay.
Album kreatif yang berkonsepkan sampul surat rasmi ini memuatkan tujuh buah lagu antaranya Mana Oh Mana, Senyum, Erti Hari Ini, Susun Silang Kata dan Sungai Lui. |
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: