Saturday, July 10, 2010

Kerapu Pisang Tenggol

pix_gal0
KUALA DUNGUN: Sebaik saja dimaklumkan oleh tekong Mat Din akan penemuan lubuk baru yang didiami ikan merah di perairan Pulau Tenggol baru-baru ini, geng Utara Anglers Team (UAT) terus menghubungi tekong yang dikenali mereka sejak tiga tahun lalu itu.

Malah semangat geng yang dianggotai Amir Hafizi, Ringgo, Mizi, Abang Zainal, Fareez, Saiful, Abang Nasir, Adichrome, Lan, Wak Lele Trengganu dan Gemi Johor, membuak-buak memandangkan dua trip sebelumnya memperoleh hasil kurang memberangsangkan.Mereka juga berharap trip ke Pulau Tenggol sebagai pengubat duka tempoh hari. Menurut Amir, selepas kata sepakat diperoleh, masing-masing berkonvoi ke jeti Kuala Dungun pada hari yang ditetapkan.“Memandangkan musim sotong, malam pertama dipenuhi dengan aktiviti mencandat umpan segar atau hidup. Namun, agak hambar memandangkan hanya beberapa ekor sotong dipenuhi hingga Fareez dan Abang Nasir begitu kecewa kerana hasil diperoleh, di luar jangkaan.

“Melihat raut wajah kekecewaan mulai terpancar, tekong memendekkan masa mencandat dan meneruskan perjalanan ke perairan Pulau Tenggol untuk mencari spesis yang diidamkan. Teknik pancingan malam menggunakan ranggung serta perambut sepanjang 2.5 depa berkekuatan 80 paun menjadi pertaruhan kami.

“Walaupun kedalaman air hanya 50 meter, pesanan tekong untuk menggunakan tali perambut kasar serta umpan yang besar meyakinkan kami bahawa ada mangsa besar yang akan menyambar umpan di bawah air,” katanya.

Kata Amir, seperti diduga, sebaik saja umpan jejak di batu karang, ia terus disambar hingga menimbulkan sedikit ‘kekecohan’ di atas bot kerana masing-masing tidak sabar hendak menaikkan ikan berskala besar.
“Kerapu yang mula-mula mencuri tumpuan, melayan ikan berkenaan bersaiz kasar memang menyeronokkan dan Lan saja memperoleh seekor kerapu pisang sebagai tangkapan bonus. Masing-masing lebih bersemangat untuk memburu spesis yang mahal itu hinggalah pada satu masa Fareez mendapat sentapan yang begitu kasar.

“Dengan menggunakan kekili elektrik Daiwa Hyper Tanacom bukanlah menjadi satu masalah pada beliau dengan sistem tegangan diketatkan manakala kelajuan kekili diperlahankan. Akhirnya seekor ikan merah pucat menjadi habuannya,” katanya.

Pada siang hari, teknik memancing diubah, appolo tiga mata dengan umpan hirisan isi ikan menjadi agenda utama. Tekong Mat Din terus menjelajah lubuk-lubuk baru yang ditemuinya seperti yang dijanjikan.

Daripada pancingan dasar, hinggakan pancingan setengah air dan menghanyut, semuanya dipraktikkan dalam trip kali ini. Hasilnya amat memberangsangkan hingga ada pemancing memasang hasrat untuk datang ke sini lagi pada masa akan datang.

Teknik pancingan appolo dengan bot berhanyut ini memerlukan kepantasan menurunkan umpan. Lagi pantas umpan sampai ke dasar, lagi bagus kerana lama kelamaan bot akan tersasar dari lubuk apabila ditolak arus.

Amir berkata, beliau sendiri berjaya menaikkan kakap merah seberat 6.5 kilogram, Mizi tersenyum dengan Ikan Merah 6 kilogram, manakala Ringgo yang berhajatkan ikan merah berjaya membawa pulang ibu kerisi seberat 4 kilogram.

“Abang Nasir pula ikan mahal kerapu pisang 3.5 kilogram dan yang lain juga berjaya mendapatkan spesis ikan Gred A yang diidamkan,” katanya.

Kesemua hasil tangkapan itu dibahagi sama rata bagi membolehkan keluarga masing-masing merasai ikan berkenaan. Mereka yang berminat untuk memancing di Pulau Tenggol boleh menghantar emel ke Anglermy@yahoo.com atau menghubungi Tekong Mat Din, 017 - 9019088.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: