|
|
GERSANG merupakan antara kumpulan rock tanah air yang popular pada tahun-tahun 1980-an. Antara lagu yang menaikkan populariti kumpulan itu berjudul Suratan Takdir dan Masih Aku Terasa.
Sayangnya, tidak sampai 10 tahun bergiat, kumpulan itu dibubarkan pada 1990. Selepas itu, setiap anggota kumpulan terbabit membawa haluan masing-masing.
Kebanyakannya menjadi pemuzik bebas dan vokalisnya, Man Bai pula bergerak sebagai penyanyi solo serta sempat menghasilkan beberapa buah album.
Ramai yang beranggapan selepas 20 tahun dibubarkan Gersang mungkin akan terus berkubur buat selama-lamanya.
Bagaimanapun, ia sebaliknya apabila Dataran Merdeka, Kuala Lumpur menjadi saksi penyatuan semula kumpulan itu pada sebuah konsert yang diadakan di sana baru-baru ini.
Pada Konsert Inspirasi Muzik Muzik TV3 itu, Gersang tampil dengan kesemua anggota asalnya kecuali Kid yang digantikan oleh Shah selaku gitaris pada konsert sulung selepas 20 tahun Gersang dibubarkan.
Pemain keyboard kumpulan itu, Acis, 39, berkata, idea dan inisiatif bagi menubuhkan semula Gersang sudah lama bermain di fikiran anggota-anggotanya yang lain.
Namun, katanya, kerana kesibukan dengan kerjaya masing-masing menyebabkan usaha menyatukan semula anggota kumpulan itu agak lambat untuk direalisasikan.
"Sebenarnya usaha untuk menubuhkan semula Gersang sudah ada sejak kira-kira lima tahun lalu. Sebab itu, apabila TV3 menjemput kami mengadakan konsert ini, ia terus menjadi kenyataan.
"Kami menubuhkan semula Gersang dua minggu sebelum konsert ini diadakan. Kami hanya mengambil masa sehari sebagai persediaan menjayakan konsert ini," katanya kepada Hits semasa ditemui baru-baru ini.
Pada konsert itu ramai artis tempatan seperti Aizat, kumpulan Bunkface, Hujan, Adibah Noor, Noraniza Idris dan Faizal Tahir membuat persembahan secara percuma kepada hampir 15,000 pengunjung pada malam tersebut.
Menurut suami kepada penyanyi jazz, Datuk Sheila Majid ini, permintaan daripada para peminat yang ingin melihat penyatuan semula Gersang merupakan penyuntik utama dalam konsert itu.
"Semua itu kerana adanya permintaan daripada para peminat terutamanya peminat lama kami. Malah, para peminat baru juga dapat melihat kami muncul semula menyanyikan lagu-lagu Gersang yang pernah popular suatu ketika dulu.
"Kali terakhir Gersang mengadakan konsert ialah pada 1990 melalui Konsert Lucky Strike. Mungkin ketika itu ada peminat baru kami yang belum lahir lagi," ujarnya.
Selain Acis dan Shah (gitaris), Gersang kini turut dianggotai oleh Man Bai (vokalis), Man Greng (bass) dan Jojet (dram).
Bukan setakat para peminat yang merindui kemunculan semula Gersang, tetapi vokalis utamanya, Man Bai turut mengakui berasa rindu untuk kembali aktif secara berkumpulan.
Jelas Man Bai atau nama penuhnya Abdul Rahman Osman, 43, sejak menjadi penyanyi solo pada 1995 dia seringkali merindui persembahan-persembahannya yang sering diiringi oleh Gersang sebelum ini.
"Saya tidak menafikan agak bosan menyanyi solo terutamanya di atas pentas konsert. Ini kerana, kalau beraksi berkumpulan ia lebih meriah dan menarik.
"Sebab itu saya menyahut baik saranan bagi menubuhkan semula Gersang. Kami yakin Gersang masih mempunyai ramai peminat dan mampu menarik peminat generasi baru.
"Malah, lagu-lagu lama kami yang kebanyakannya berkonsepkan lengguk 'lentuk ayam' dengan melodi yang cukup kuat mudah menarik perhatian ramai pendengar," jelas Man Bai yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Solo Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik 1996 ini lagi.
Tambah bapa tiga anak ini, ekoran penyatuan semula Gersang itu, dia dan anggota-anggotanya yang lain sedang dalam proses mengumpulkan lagu-lagu baru untuk dirakamkan.
"Setakat ini kami ada empat lagu baru. Mungkin kami akan merakamkannya dalam bentuk album single. Buat masa ini, kami mahu memperkenalkan semula Gersang kepada para peminat baru.
"Kebanyakan pendengar muda ramai yang mengenali lagu-lagu Gersang seperti Masih Aku Terasa tetapi mereka tidak tahu siapakah penyanyinya," ujar Pelakon Lelaki Harapan Terbaik melalui filem Layar Lara pada Festival Filem Malaysia ke-13 pada 1997 ini lagi.
Sewaktu menjayakan Konsert Inspirasi Muzik-Muzik itu, Gersang menyanyikan tiga buah lagu yang pernah mereka popularkan suatu masa dulu berjudul Sunyi, Suratan Takdir dan Masih Aku Terasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: