|
|
Layaria Datang Bulan yang disiarkan melalui Astro Ria baru-baru ini telah membuka ruang buat kebanyakkan pelakonnya yang terdiri daripada kalangan generasi muda.
Ika, Tunku Hanis, Mimi, Myza dan Zoey antara pelakon muda yang ditonjolkan dalam telemovie yang menampilkan genre drama yang penuh dengan kisah seram sekumpulan remaja.
Biarpun masih baru dalam bidang lakonan tetapi lima pelakon terbabit tidak menyangka diberi peranan penting dalam menjayakan telemovie yang mendapat sambutan ramai itu.
Zoey misalnya, biarpun masih baru dalam bidang lakonan tetapi Datang Bulan memberi makna padanya kerana ia merupakan bidang yang ingin diceburinya selama ini.
"Sebelum menjadi pelakon saya mula dikenali dengan watak Zoey dalam program kanak-kanak iaitu Gerak Geri Gasing di Astro tidak lama dulu. Tetapi saya tidak puas setakat itu sahaja.
"Saya mahu keluar dari dunia kanak-kanak dan cukup teruja kerana selepas itu diberi peluang berlakon drama Kau Dan Aku dan filem Legenda Budak Setan.
"Sebab itu, saya anggap lakonan saya dalam Datang Bulan sebagai kesinambungan dalam kerjaya saya sebagai pelakon," kata pelakon watak Anuar ini dalam satu sesi fotografi dengan Hits baru-baru ini.
Menurut Zoey atau nama sebenarnya Mohd. Hairey Azhar Abdul Rahman, 25, dia lebih puas berlakon drama seperti Datang Bulan kerana ia memberi ruang lebih luas untuk dikenali ramai.
"Kelebihan berlakon drama atau telemovie terutamanya yang disiarkan di Astro ialah ia akan diulang tayang banyak kali. Ini bermakna lakonan saya juga akan ditonton banyak kali," ujarnya.
Myza yang melakonkan watak Zura dalam telemovie itu turut melalui pengalaman sama yang dilalui Zoey apabila menerima banyak tawaran berlakon selepas drama itu.
Pemegang nama sebenar Siti Maizatul Rafika Abdul Razid ini berkata,.
"Telemovie ini benar-benar mencabar saya kerana kebanyakan penggambarannya diadakan dalam hutan dan sungai. Saya banyak kali kena gigit pacat.
"Tetapi kerana watak Zura dan bidang lakonan yang telah menjadi karier saya, saya terpaksa lalui semua itu," kata pelakon berusia 21 tahun ini.
Pengalaman berlakon dalam Gerak Khas dan Roda-Roda Kuala Lumpur serta Datang Bulan membuka ruang kepada Zura untuk berlakon filem.
"Saya rasa amat bertuah kerana diberi peluang berlakon filem Momok Jangan Panggil Aku yang akan memulakan penggambaran minggu depan," katanya.
Di kalangan lima pelakon Datang Bulan, Mimi mungkin lebih menonjol memandangkan dia bukan sahaja dikenali sebagai pelakon tetapi pada masa sama semakin popular sebagai penyanyi.
Bekas peserta Top 7 pertandingan nyanyian Mystars LG terbitan TV3 itu tiada masalah menceburi dua bidang seni serentak kerana ia memberi ruang kerjaya yang luas buatnya.
Pendatang baru berusia 20 tahun ini menganggap pembabitannya dalam bidang lakonan akan memberi lebih banyak pendedahan selain akan terus terbabit dalam bidang nyanyian.
"Saya mula menyanyi ketika berusia tujuh tahun dan memang bercita-cita mahu menjadi penyanyi tetapi sekarang tidak sangka pula bergelar pelakon pada masa sama.
"Selepas berlakon drama Wira Malam Bisikan Naga dan Hotel Mania, minat saya berlakon bercambah. Datang Bulan menambahkan lagi koleksi lakonan saya," jelasnya.
Mimi yang baru muncul dengan album single berjudul Jatuh Cinta Lagi menyifatkan Datang Bulan antara lakonannya yang paling memberi cabaran kepadanya.
"Walaupun sudah berlakon beberapa buah drama, namun drama ini menguji keupayaan saya sebagai pelakon.
"Bayangkan, saya yang tidak pernah masuk hutan dan meredah sungai sanggup melakukan semua itu kerana tuntutan watak dan skrip," tuturnya.
Biarpun sudah berlakon dalam banyak drama seperti Rias Mutiara dan Dendam Orang Minyak tetapi Datang Bulan seakan-akan meneruskan kesinambungan watak lakonan Tunku Hanis.
Ini kerana, gadis kerabat diraja Negeri Sembilan ini lebih cenderung diberi watak jahat dalam drama-drama lakonannya termasuklah dalam drama ini.
"Selama setahun lebih menjadi pelakon saya belum pernah mendapat watak baik. Tetapi saya puas hati kerana mungkin ramai pengarah yang merasakan ia sesuai dengan saya.
"Biarpun masih belajar di Kolej Taylor dalam bidang undang-undang tetapi saya tetap mencuri masa berlakon kerana ia memberi kepuasan kepada saya," katanya.
Selain Datang Bulan, pelakon yang baru berusia 19 tahun ini bakal mengorak langkah sebagai pelakon filem tidak lama lagi selepas ditawarkan berlakon filem Hantu Bukit Cina.
Ika, 21, yang melakonkan watak Maya dalam Datang Bulan turut menyatakan telemovie itu paling banyak memberi cabaran buatnya kerana dia banyak bermain dengan emosi dan gerak geri.
"Dalam telemovie saya tidak banyak berdialog tetapi cabaran yang paling besar ialah melakonkan watak Maya yang dirasuk oleh makhluk halus,"jelasnya.
Sama seperti kawan-kawannya yang lain, Ika juga sempat muncul dalam filem pertama lakonannya berjudul Pahlawan Mat Kilau yang khabarnya tidak sempat disiapkan kerana sebab-sebab tertentu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: