RAKYAT Malaysia yang menghadapi sebarang masalah dalam Bahasa Inggeris, baik dari aspek pertuturan atau pemahaman, atau mungkin mahu mendapatkan tip dan bahan yang diperlukan dalam proses pembelajaran dan pengajaran Bahasa Inggeris boleh mengajukan pertanyaan kepada anggota Pasukan Penyelamat Bahasa Inggeris (ERT) mulai sekarang.
Pasukan yang dianggotai guru-guru British Council yang berpusat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang itu sedang dalam misi membantu seberapa ramai rakyat Malaysia yang menghadapi masalah dalam penguasaan bahasa Inggeris.
Melalui inisiatif ini juga, British Council menawarkan ganjaran kepada orang ramai yang dapat mengesan kesilapan penggunaan bahasa Inggeris di merata-rata tempat di seluruh negara!
Kumpulan ERT kini menawarkan khidmat nasihat, memberi hadiah dan menyeru orang ramai menyertai misi meningkatkan kesedaran dan memantapkan penguasaan bahasa terebut dalam semua peringkat melalui laman web, www.englishrescueteam.com.
Menurut Pengarah baru Perkhidmatan Bahasa Inggeris British Council, Sam Ayton, sejak beberapa dekad lalu, British Council membantu penguasaan bahasa Inggeris rakyat Malaysia melalui pelbagai cara dan usaha.
"Sejak beberapa tahun lalu, usaha ini diperluaskan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan sektor korporat untuk melatih guru-guru di seluruh negara menyediakan material mengajar bahasa Inggeris dalam talian.
"Kerjasama pintar dengan sekolah-sekolah di Malaysia dan luar negara juga dilaksanakan selain menganjurkan bengkel dengan ibu bapa bagi membantu mereka mengajar bahasa Inggeris untuk anak-anak di rumah.
"Kami juga mengendalikan Pusat Mengajar yang sangat popular di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Di pusat tersebut, kami menyediakan teknik latihan dan pengajaran bahasa Inggeris yang bermutu kepada kanak-kanak, golongan dewasa dan profesional, katanya.
Tambahnya, ERT adalah inisiatif terbaru yang cukup menyeronokkan yang dapat menjangkau lebih ramai rakyat Malaysia.
"Projek ini membolehkan kami berhubung dan berinteraksi dengan siapa saja di Malaysia yang mahu meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Guru kami sangat teruja untuk berinteraksi dengan orang ramai biarpun sekadar berkongsi tip dan menjawab soalan-soalan spesifik yang diutarakan," ujarnya.
Laman web yang mudah digunakan terbahagi kepada empat seksyen. Seksyen Log Book adalah laman yang membolehkan guru bahasa Inggeris berbicara mengenai pelbagai isu berkaitan bahasa Inggeris. Seksyen ini memberi peluang kepada orang ramai berkongsi pandangan guru bahasa Inggeris British Council dan pengalaman mereka mengajar bahasa tersebut.
Laman Grammar Guru pula adalah laman popular untuk sesiapa sahaja mengemukakan soalan mengenai tatabahasa. Pertanyaan itu akan dijawab oleh guru bahasa Inggeris British Council.
Ayton berkata, sejak laman web itu diperkenalkan, banyak soalan menarik diterima daripada pembaca.
Betul atau salah
"Banyak soalan membabitkan kesilapan penggunaan bahasa Inggeris yang sering dilihat, didengari atau dituturkan di kalangan masyarakat. Laman web ini membenarkan sesiapa saja mengemukakan soalan tanpa perlu bimbang sama ada bahasa Inggeris yang digunakan betul atau salah.
"Lebih menyeronokkan, laman English S.O.S menyediakan pertandingan yang mengajak orang ramai memuat naik imej yang memaparkan penggunaan bahasa Inggeris yang salah. Mereka berpeluang memenangi baucar MPH setiap dua minggu dan iPod Touch setiap tiga bulan," ujarnya.
Laman ERT Podcasts pula mengandungi beberapa siri klip rakaman yang dirakamkan guru bahasa Inggeris British Council. Melalui tayangan Podcast itu, mereka berkongsi pengalaman peribadi dalam pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris selain berkongsi tip dan anekdot menarik.
"Kami sering mengemas kini laman web bagi memasukkan maklumat dan bahan berguna kepada ibu bapa, kumpulan pelajar dewasa dan guru-guru. Jadi, kami menggalakkan orang ramai untuk terus melawat laman web ini untuk mencuba perkara baru dan menarik yang dicadangkan selain berkomunikasi dengan guru bahasa Inggeris kami," katanya.
Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan guru bahasa Inggeris kami di Twitter@MYBC_teacher bagi mendapatkan tip atau taktik, malah untuk bertanyakan soalan berkaitan.
Orang ramai juga boleh menjadi ahli kepada laman British Council Malaysia di laman sosial, Facebook. Ini membolehkan mereka mendapat maklum balas mengenai perkembangan terbaru di British Council, selain akses kepada laman web Pasukan Penyelamat Bahasa Inggeris.
Visual kempen ini memaparkan guru bahasa Inggeris British Council sendiri.
Pengarah Pemasaran dan Komunikasi British Council, Reezal Esa, berkata laman web Pasukan Penyelamat Bahasa Inggeris membolehkan guru bahasa Inggeris menawarkan kepakaran mereka di luar bilik darjah melalui pendekatan yang lebih meluas dan berkesan.
"Kami berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus belajar dan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka. Kami fikir ini adalah cara yang mudah tetapi amat menyeronokkan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: