Monday, July 19, 2010

Ford Focus Sport TDCi




SEANDAINYA anda masih mencari sebuah kereta yang menyeronokkan, Ford Focus Sport TDCi yang berenjin diesel wajar menjadi pilihan. Ini kerana memandu Focus TDCi bagaikan memandu sebuah kereta lumba dan sukar untuk memperlahankan kelajuan, walaupun di jalan yang banyak kenderaan.

Menggunakan enjin 2.0 liter Duratorq, ia menyediakan 134 kuasa kuda dengan kuasa kilas 320 Newton meter (Nm). Malah ia boleh dilonjakkan sebanyak 20 Nm lagi bagi tempoh singkat pecutan awal, walaupun ECU menguruskan ciri ini secara automatik. Tidak terdapat butang menyalakan ciri ini. Kuasa kilas tersebut lebih tinggi berbanding kenderaan sekelas dengannya, seperti Peugeot 308 Turbo yang memiliki 240 Nm. Namun perbandingan itu tidak boleh dikira seimbang tatkala 308 menggunakan enjin petrol, sedangkan Focus adalah diesel.

Kuasa pecutan yang dimiliki Focus disokong oleh satu lagi ciri hebat iaitu transmisi Powershift enam kelajuan, iaitu trasmisi klac berkembar. Ia menukar gear lebih pantas dan mengalirkan kuasa lebih cekap kepada roda berbanding kotak gear automatik biasa. Terdapat mod S di sebelah batang gear. Jika memerlukan daya pecutan atau mahu memecut lebih lagi, tekan butang berkenaan. Keseronokan bermula!

Transmisi yang digabung pula dengan enjin diesel, menjadikan penggunaan bahan api Focus TDCi hanya 5.8 liter bagi setiap 100 km dalam bandar.

Di Malaysia, harga diesel dan petrol tidak jauh berbeza. Hakikat ini menjadikan Focus TDCi satu pilihan yang bagus untuk pembeli yang mahukan kelebihan enjin yang cekap penggunaan bahan apinya dan dinamik. Lebih istimewa, enjin TDCi ini juga boleh menggunakan bahan api biodiesel, itu pun bila Malaysia sudah bersedia menyediakan minyak seumpamanya.

Apabila menyalakan enjin, sememangnya akan kedengaran jelas bunyi enjin diesel, terutama bila berada di luar kenderaan. Namun apabila mula bergerak, bunyi itu akan 'menghilang' bukan sahaja oleh bunyi sistem audio tetapi juga didorong oleh 'darah menyirap' yang mengalihkan perhatian pemandu kepada jalan dan kelajuan! Transmisi Powershift bertukar tanpa mendatangkan gegaran kepada badan kenderaan atau pada tangan yang memegang kemudi roda. Ini kerana pertukaran berlaku secara lancar pada sekitar 2,000 revolusi per minit (rpm).

Difahamkan, enjin Doratorq adalah hasil kerjasama pembangunan antara Ford dengan PSA Peugeot Citroen, malah digunakan sama oleh PSA sebagai enjin HDi.

Daripada segi dalaman, ia tidak banyak berbeza dengan Ford Focus berenjin petrol. Tetapi perbezaan nyata ialah kerusinya dibalut dengan sarung kulit.

Tachometer dan speedometer bagaikan dua batang paip, menyerupai teropong yang pantas menangkap mata daripada berpeleseran ke kiri dan ke kanan. Di tengah-tengahnya terdapat meter suhu air dan meter tangki minyak, yang digelung dengan salutan perak. Terletak di bawahnya ialah paparan maklumat LCD yang menunjukkan jam, suhu luar, tripmeter dan odometer.

Paparan LCD itu juga menunjukkan pilihan menu bagi jarak kepada purata kelajuan dan penggunaan bahan api. Ciri-ciri kualiti Ford Focus juga merangkumi konsol tengah yang terasa kemewahannya, sensor bantuan meletak kereta semasa mengundur, butang kawalan tingkap elektrik dengan sekali sentuh, kerusi boleh diubah secara elektronik, penukar 6 cakera padat dengan keupayaan memainkan MP3 beserta enam pembesar suara.

Antara kekuatan Ford Focus ialah pendekatan tiada kompromi terhadap aspek keselamatan yang merangkumi Sistem Perlindungan Pintar Ford. Ia juga dipasang dengan lampu kecemasan automatik, yang memberi amaran kepada pemandu selepas melakukan brek mengejut. Ia juga dipasang dengan Sistem Kawalan Terjahan (TCS) bagi membantu dalam mengekalkan cengkaman semasa memandu di permukaan licin.

Sementara sistem antikekunci membrek (ABS) dipasang pada semua model Ford Focus, varian Focus Sport TDCi memiliki Progam Stabiliti Elektronik (ESP) yang membantu pemandu mengekalkan kestabilan kenderaan dalam semua situasi pemanduan.

Ford Focus TDCi ini diimport dari kilang Ford di Filipina oleh Sime Darby Auto ConneXion line-dan dijual pada harga RM128,888. Bermakna ia bersaing secara langsung dengan Honda Civic 2.0S dan Honda Civic Hybrid.

Dengan keupayaan enjin diesel, Ford Focus adalah satu-satunya kenderaan penumpang yang dijana turbodiesel yang berharga paling berdaya saing di pasaran Malaysia setakat ini.

Ford Focus TDCi didatangkan dalam dua warna iaitu putih (Diamond White) atau hitam, (Panther Black) dalam bentuk hatchback. Dengan tambahan RM600, pemilik Focus TDCi boleh memasang pelekat dua garis menyerupai kereta lumba (lihat gambar). Untuk Panther Black, pelekatnya berwarna perak muda, bukan biru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: