Monday, July 19, 2010

Dekati alam


MENDEKATI hutan adalah cara terbaik untuk memupuk kesedaran cintakan alam semula jadi.


SEMPENA Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini, Awana Genting Highlands menjemput pencinta alam di negara ini untuk mengikuti pelbagai aktiviti menarik sambil menyelongkar keindahan hutan hujan tropika tertua di negara ini.

Sebagai pusat peranginan yang sentiasa mengutamakan kelestarian alam, Awana Genting meneruskan kempen hijaunya melalui acara Genting's Back To Nature yang diadakan pada 7 Ogos ini bertempat di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Trip selama dua hari itu terbuka kepada peserta berusia antara 15 hingga 25 tahun sebagai usaha memupuk dan memberi kesedaran awam terhadap pemuliharaan alam semulajadi.

Seramai 10 pembaca yang berjaya menjawab kuiz yang disiarkan dalam akhbar ini akan dipilih untuk mengikuti pelbagai aktiviti menarik yang disediakan di resort tanah tinggi itu.

Awana Genting Highlands Golf & Country Resort menawarkan pengalaman yang akan dikenang sepanjang hayat. Jika tahun lalu Awana mengadakan pertandingan fotografi, kali ini lain pula bentuk aktiviti yang disediakan.

Antaranya adalah pengalaman tidur di rumah panjang yang dibina seperti rumah panjang Sarawak, melakukan safari hutan pada waktu malam,meredah hutan pada awal pagi dan banyak lagi.

Sememangnya, pusat peranginan yang terletak pada ketinggian kira-kira 1,000 meter dari paras laut itu terkenal dengan keindahan hutan hujan berusia jutaan tahun yang diselubungi cuaca sejuk.

Aktiviti Eco-Sports yang dikendalikan pasukan Fun & Adventure diketuai oleh Mohd. Najib Ariffin misalnya menawarkan pelbagai aktiviti yang direka untuk membolehkan tetamu menikmati keindahan alam dengan lebih seronok dan selamat.

Tanpa perlu memikirkan soal keselamatan, segala aktiviti dan kemudahan yang disediakan di situ boleh dicuba dengan jaminan keselamatan yang dipantau setiap masa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: